Thursday, January 24, 2013

Mengagungkan Rasulallah (s.a.w) (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita sambung sedikit lagi penelitian kita tentang tajuk di atas berdasarkan program se negara hari ini iaitu 'Mauludur Rasul' = Perayaan hari kelahiran atau keputraan Rasulallah (s.a.w). Kita lihat hadith berikut pula.
Allah (a.w) menjanjikan kepada umat Islam sesiapa yang mentaati Rasulallah (s.a.w) akan dibalas dengan syurga atau mendapat syurga. Kenapa? Rasulallah (s.a.w) yang membawa dan mengajarkan manusia al-Quran (iaitu perintah Allah (a.w). Beliau jugalah yang mengajarkan manusia perincian bagaimana hendak memperhambakan diri (yakni, beramal dan beribadat dan mentaati Allah (a.w)), iaitu melalui as-Sunnah. Maka dengan itu Allah (a.w) memberitahu kita bahawa sesiapa yang mentaati Rasulallah (s.a.w) dia mentaati Allah (a.w). Allah (a.w) memerintahkan manusia bahawa mereka benar-benar Islam dan beriman hanya jika mereka mentaati kedua-duanya, iaitu taatkan Allah (a.w) dan taatkan Rasulallah (s.a.w). Taatkan Allah (a.w) tetapi tolak Rasulallah (s.a.w), atau terima al-Quran dan tolak as-Sunnah (atau al-Hadith) bukan Islam! Kerana sesiapa yang mentaati Rasulallah (s.a.w), yakni ikuti as-Sunnah, pastilah dia taatkan Allah (a.w) kerana Rasulallah (s.a.w) menyampaikan al-Quran dan segala perintah Allah (a.w) dan as-Sunnah mencerakinkan serta menjelaskan perintah Allah (a.w) tersebut supaya difahami oleh manusia.
Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata Rasulallah (s.a.w) bersabda: 'Kullu umatti yadkhulul jannata yaumal qiamati illa man aba. Qalu: Wama (-an) yakba ya Rasulallah (s.a.w)?’ Qala: Man ata’ani dahala jannata, wama ‘asoni faqad aba.' [Yg bermaksud: Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang (yang tergolong sebagai orang yang) ‘aba’ (yakni, menolak atau melanggar). Sahabat bertanya: ‘Siapakah yang ‘aba’ (menolak) ya Rasulallah (s.a.w)?’ Jawab Nabi (s.a.w): ‘Sesiapa yang taat dan patuh padaku masuk syurga; dan yang melanggar dan menentang padaku (yakni, tidak menerima perintah dan suruhan Rasulallah (s.a.w)) maka dia ‘aba’ (menolak)] [Hadith Imam Ahmad & Bukhari]
Di dalam hadith ini, Rasulallah (s.a.w) memberitahu para sahabat (yakni, umat Islam) bahawa semua mereka yang tergolong dalam golongan ‘umat Muhammad’ akan masuk syurga, kecuali mereka yang yang ‘enggan’. Seseorang itu diakui atau dikira umat Muhammad (s.a.w) jika dia mentaati Rasulallah (s.a.w), yakni ikuti ketetapan as-Sunnah. Di dalam Surah al-Kauthar disebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) dikurniakan oleh Allah (a.w) di akhirat kelak dengan telaga al-Kauthar. Sesiapa yang minum airnya tidak akan haus atau dahaga selama-lamanya semasa berkumpul di padang makhsyar, menunggukan diserahkan Kitab Catatan Amalan masing-masing. Disebutkan dalam hadith bahawa ada golongan orang-orang Islam yang menghampiri telaga tersebut untuk minum tetapi tidak dibenarkan oleh para malaikat yang menjaganya. Apabila ditanya oleh Rasulallah (s.a.w) mengapakah sebahagian umat beliau (i.e. umat Islam yg lahir zaman akhir = mulai beliau diangkat menjadi Rasul dan Nabi (s.a.w) menyampaikan syariat agama Islam sampaikan hari terakhir sebelum kiamat) Islam yang ingin minum air telaga al-Kauthar tersebut dihalang malaikat, maka diperjelaskan oleh malaikat yang menjaga bahawa mereka itu lahiriahnya Islam tetapi tidak tergolong sebagai umat Rasulallah (s.a.w) kerana mereka telah membuat pelbagai perubahan atau menokok tambah kepada syariat Islam yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) selepas Rasulallah (s.a.w) sudah wafat. Mereka ini tidak taatkan Rasulallah (s.a.w) kerana mengubah syariat Islam. Golongan sedemikianlah yang termasuk dalam golongan ‘aba’ yang disebutkan dalam hadith di itu. Mereka tidak dapat masuk syurga.
Jelasnya, hadith di atas itu menjelaskan bahawa sesiapa yang mentaati Rasulallah (s.a.w), yakni ikuti atau akur dengan ketetapan as-Sunnah pasti masuk syurga, dan sesiapa yang ingkar atau menolak ketetapan as-Sunnah akan masuk neraka. Sekali lagi kita diperingatkan bahawa amat utama bagi kita yang Islam yang ingin diselamatkan dari siksaan neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, hendaklah kita ikuti as-Sunnah.
Saudara, kita lihat hadith berikut pula yg menunjukkan secara bidalan apakah tugas Rasulallah (s.a.w) dan apakah tugas kita pula sebagai umat beliau.
Diriwayatkan hadith daripada Abu Musa asy-Syaari (r.a) katanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Perumpamaan petunjuk (hidayah) dan ilmu pengetahuan, yang Allah (a.w) mengutus aku untuk menyampaikannya, (adalah) seperti hujan lebat yang jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur, menghisap (atau menyerap) air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula bumi yang keras, tidak menyerap (atau tidak meresap) air sehingga tergenang (atau bertakung) air. Maka Allah (a.w) memberi manfaat dengan dia (yakni, dengan hujan itu) kepada bumi dan makhlok di bumi. Mereka dapat minum dan memberi minum (kepada binatang, dll seumpamanya), dan untuk (manusia) bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain, iaitu di tanah yang tidak menggenangkan (iaitu tidak menakung) air dan tidak pula menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama (yang diibaratkan sebagai hujan), yang mahu memanfaatkannya (yakni, mengambil manfaat dari ilmu dan petunjuk) apa yang aku disuruh Allah (a.w) menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya (kepada orang lain). Dan, begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkannya dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah (a.w) (yakni, membiarkannya, tidak beramal dengannya dan tidak pula diajarkannya kepada orang lain), (ilmu dan petunjuk) yang aku diutus (oleh Allah (a.w)) untuk menyampaikannya.’ [Hadith Bukhari]
Saudara, mudah-mudahan saudara faham apa yg hendak diberi kefahaman dalam dua post ini, insya Allah.

Jazakallahu khairah








 

No comments:

Post a Comment