Sunday, February 24, 2013

Peringatan ... (Samb.)


Assalamualaikum,
Saudara dalam post sebelum ini kita telah teliti dua perkara yg kalau kita libatkan diri dalamnya memusnahkan kebjaikan akhirat kita. Justeru itu, janganlah kita bersekongkol dgn mereka yg sememang kelaziman mereka melakukannya, iaitu (a) mengadu domba - atau menjadi batu api dgn menyebutkan sesuatu yg menyebabkan timbul atau terjadi permusuhan antara kita sesama Islam; dan (b) mendedahkan rahsia seseorang yg kita tahu atau diberitahu, kemudian kita hebahkan pula kpd orang lain supaya ramai orang tahu keburukan saudara kita yg Islam.
Saudara, sebagai usaha menyelamatkan diri dalam perkara-perkara sedemikian itu, wajiblah kita jadikan amalan kita bahawa: ada mata lihat (kalau terpaksa lihat), ada telinga terpaksa dengar, kita dengar dan ada mulut tutup, insya Allah selamat kita dari dua perkara yg diancam tersebut. Kalau kita mendapat tahu sesutu yg buruk terhadap saudara kita sesama Islam, yg terbaik adalah kita tarbiah mereka dan kita nasihatkan mereka sekurang-kurang-kurangnya kita berdepan dgnnya memberi nasihat, bukan berdiam diri kemudian mencanangkan apa yg kita lihat dan dengar kpd orang lain. Itu lebih baik dari menceritakan keburukan seseorang itu. Kerana kit sering diberitahu bahawa dua perkara yg menjerumuskan kita ke dalam neraka iaitu perbuatan kita dan kata-kata yg kita luahkan tanpa usul periksa. 
Dalam arena politik, terutama dalam usaha mencari dan mengekal pengaruh politik, ahli politik atau orang politik suka mendedahkan keburukan lawan. Sepatutnya yg diutamakan adalah apakah program yg dilakarkan oleh sesebuah parti politik atau organisasi itu untuk menunjukkan betapa hebat dan baiknya nawaitu, program dan perencanaan mereka bagi menolong dan memakmurkan rakyat, bukan mencaci hamun, merongkai keburukan lawan, supaya diburukkan, kerana kalau diburukkan akan dibenci oleh orang.
Saudara, dalam post ini kita sambung lagi melihat beberapa panduan Islam kpd kita supaya, kalau kita akur, kita pasti selamat di akhirat kelak, kalaulah dalam perkara lain kita sudahpun selamat.

Balasan Mengumpat

Hadith berikut menceritakan siapakah atau apakah yang dimaksudkan dengan ‘mengumpat’ itu. Kita orang Melayu seringkali terdengar dan mendengar pelbagai cakap-cakap mengenai perbuatan mengumpat itu. Di dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘mengumpat’ itu.
Diriwayatkan hadith darpada ‘Ala bin Abdul Rahman hadith daripada bapanya hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata: ‘Ditanyakan orang akan Rasulallah (s.a.w): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Mal ‘ghibatu’? [Yg bermaksud: Apa itu ‘mengumpat’?], bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘ 'Zikruka akhaka bima yakrahu.' [Yg bermaksud: ‘Menceritakan engkau akan perihal buruk saudaramu dengan apa-apa yang benci dia akannya]’, berkata (Abi Hurairah):’ Jika ada di dalamnya (yakni, perkaranya atau perangai atau sifatnya) apa-apa yang berkata aku mengenainya (yakni, apa yang dikatakan benar)?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘ In kana fihi ma taqulu faqad ightabtahu wa-in lam yakun fihi ma taqulu faqad bahattahu.' [Yg bermaksud: Jika ada padanya (sifat-sifat) apa yang berkata engkau mengenainya, maka sungguh-sungguh engkau mengumpat akan dia, dan jika tidak ada padanya (sifat-sifat itu) apa yang engkau katakan, maka sungguh-sungguh engkau memfitnah.] [Hadith at-Termidzi]
Mengumpat itu adalah menceritakan suatu cerita tentang sesuatu terhadap seseorang yg lain, sama ada di minta memberitahunya atau tidak diminta memberitahunya. Dan, menjadi mengumpat apakala perkara yang dihebahkan atau diberitahu kepada orang lain itu adalah perkara yang buruk atau tidak disukai atau yang dibenci oleh orang tersebut. Mengumpat itu kerana orang yang menjadi sasaran kita tidak suka dengan perkara yang kita ceritakan itu. Ia menjadi mengumpat apakala perkara yg kita katakan terhadap seseorang itu kita sendiri takpun tahu. Kita tahu melalui khabar dari orang lain sahaja. Mengikut hadith ini, walaupun benar apa yang diceritakan, maka menjadi ‘mengumpat’, kerana kita sendiri tak tahu apa yg kita hebahkan (i.e. kita tak dengar sendiri atau lihat sendiri apa yg berlaku). Dan, jika cerita itu tidak benar lebih buruk lagi, iaitu perkara tersebut termasuk dalam apa yang dikatakan membuat dusta dan memfitnah orang tersebut.
Jelasnya, jikapun kita mengetahui sesuatu perkara yang buruk terhadap seseorang, dan kita tahu dia tidak suka atau benci dengan perkara tersebut jika diketahui orang, maka kita mengetahuinya maka kita beritahu orang lain, maka itu adalah perbuatan mengumpat. Walaupun betul perkara yang kita sebarkan itu, tetap itu adalah mengumpat. Apatah lagi jika tidak betul atau kita silap terima perkara yang disebutkan itu, maka kita hebahkan juga. Maka kita sudah membuat fitnah terhadap orang itu.
Maka dengan itulah di dalam Islam, semua yang Islam itu bersaudara. Jika begitu, hendaklah kita sentiasa menjaga nama baik saudara kita sesama Islam. Kita wajib berbaik sangka. Kita wajib melindungi keburukan saudara kita. Maka tidak wajarlah kita menjatuhkan air muka saudara kita. Yang digalakkan oleh Islam adalah kita menyebut dan menceritakan tentang kebaikan seseorang itu, buka mencari keburukannya.

Sifat Dengki

Satu lagi sifat buruk atau jelik atau keji orang Melayu, atau kelemahan orang Melayu, adalah sifat hasad dengki dan khianat terhadap saudara yang lain. Orang Islam yang beriman disuruh ‘iri hati’ hanya dalam dua perkara iaitu, pertama, iri hati terhadap ketaqwaan seseorang lain berbanding dengan ketaqwaan kita sendiri. Kedua, kita iri hati dengan sifat dermawan seseorang itu dalam perkara agaama atau fi sabilillah. Orang tersebut rajin membantu  orang lain, suka bersedekah dan menginfaqkan sebahagian rezki yg diperolehinya demi membela agama dan umaat Islam, berbanding dengan kita. Jelasnya, kita dibolehkan iri hati terhadap kebaikan seseorang itu, maka dengan itu menjadikan suatu motivasi kepada kita untuk mencontoho orang yg baik dan soleh serta kita jadikan model untuk memperbaiki diri kita supaya baik kelakuan dan perangai.
Diriwayatkan hadith daripada Ibrahim ibni Abi Uasaidin hadith daripada datuknya hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘ Iyakum wal-hasada fainnal hasada yak-kulul hasanati kama takkulun-narul hataba au qalal ‘usba.'[Yg bermaksud: Takutkanlah kamu akan perasaan hasad, maka sesungguhnya hasad itu memakan segala kebaikan (yakni, pahala), sebagaimana memakan api akan kayu’ atau ‘bersabda dengan katanya (mamakan) ‘(api akan) rumput kering’.][Hadith Abu Daud, Kitab Adab]
Kita sering mendengar orang menyebut tentang sifat orang Melayu dan hasad dan dengki terhadap seseorang yang lain. Sifat hasad ini adalah suatu sifat yang membahayakan diri kita dalam konteks keimanan dan dalam konteks memperbaiki diri kita sebagai seorang Islam dengan bersedia demi akhirat kita. Tetapi, jika perasaan hasad dan dengki wujud dengan kita, maka segala pahala amalan baik kita terhakis sama sekali.

Prasangka (Buruk) Terhadap Orang Lain

Antara adab yang diajarkan oleh Islam kepada umatnya adalah janganlah kita memiliki sifat ‘prasangka yg buruk’ terhadap seseorang. Kesemua umat Islam hendaklah sentiasa akur dengan ajaran Islam bahawa semua yang Islam bersaudara. Maka dengan itu perlu wujud semangat atau rasa keinginan serta perlakuan berbaik-baik terhadap saudaranya sesama Islam. Tidak wajar melakukan sesuatu yang boleh menyakiti perasaan dan menjatuhkan meruah saudara kita yang Islam. Maka dengan itulah, hadith berikut memperingatkan kita supaya berjaga-jaga supaya jangan menaruh syak wasangka serta menyimpan perasaan prasangka (buruk) terhadap saudara kita sesama Islam.
Buruk sangka adalah sifat yang buruk bagi setiap yang Islam. Menaruh prasangka buruk tanpa mengetahui sebenarnya sesuatu adalah suatu sifat yang jelik lagi keji. Semua prasangka itu adalah tidak benar, kerana kita tidak mengetahu sesuatu yang diluar kemampuan kita mengetahuinya. Apakah kita mampu mentakrifkan perasaan atau geraklaku serta rasional geraklaku seseorang lain terhadap kita dan terhadap orang ketiga? Maka dengan itulah, Rasulallah (s.a.w) menyuruh kita berwaspada, kerana prasangka itu adalah cerita atau berita dusta, kerana kita tidak tahu kedudukan sebenarnya.
Diriwayatkan hadith daripada al-‘Araj hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘ Iyakum waz-zanna fainna zanna kazabul-hadithi wa-la tahassasu wa-la tajassasu wa-la tanajasyu wa-la tahasadu wa-la tabaghadu wa-la tadabaru wa-kunu ‘ibadallahi ikhwanan.' [Yg bermaksud: Takutilah oleh kamu persangkaan (buruk) (terhadap seseorang), maka sesungguhnya persangkaan itu cerita dusta, jangan suka mengikuti mata (yakni, menjeling atau melihat-melihat meliarkan mata), dan jangan dengan telinga, dan jangan menjatuhkan orang, dan jangan dengki, dan jangan bertengkar, dan jangan berselisih pendapat, dan jadilah hamba Allah (a.w) yg bersaudara (satu sama lain)] [Hadith Bukhari, Kitab Adab]
Hadith di atas itu, memperingatkan kita beberapa perkara yang perlu kita jauhi daripada terjebak ke dalamnya, atau melakukannya, iaitu:

(a) Hendaklah kita takut berprasangka buruk terhadap orang lain, kerana kesemua prasangka itu tidak lebih dari prasangka, yakni tidak benar;

(b) Jangan suka ‘mengikuti pergerakan mata’, yakni mencari-cari sesuatu terhadap seseorang spt kelemahannya, perbuatan atau perlakuannya yg buruk atau keaipan seseorang supaya kita tahu boleh bercerita kpd orang lain kelemahan atau keburukannya;

(c) Janganlah juga kita suka ‘mengikuti telinga’ yakni, memasang telinga untuk mendengar cakap-cakap atau kata-kata orang terhadap seseorang yang lain dan suka pula bercerita atau bercakap-cakap tentang orang, terutama mengenai keburukan seseorang, i.e. menjaga tepi kain orang lain bukan untuk memperbaiki mereka dgn nasihat tetapi untuk dicanangkan;

(d) Janganlah pula kita suka menjatuhkan air muka atau kewibawaan orang lain sama ada kedudukannya atau meruahnya, yakni membuat sesuatu demi untuk memalukan atau menjatuhkan imegnya, melalui kata-kata dan perbuatan kita;

(e) Jangan kita dengki terhadap orang lain atas apa sebab sekalipun (melainkan, mengikut hadith kita dibolehkan irihati atau dengki terhadap seseorang yang lain kerana kebaikannya atau kerana kelebihan ilmunya dalam Islam ataukedudukannya dalam Islam, kerana ingin menjadikan dia model;

(f) Jangan suka bertengkar atau menegakkan benang basah atau sering bergaduh dengan orang lain atas apa-apa sebab sekalipun;

(g) Jangan suka ‘berselisih pendapat’ atau berdebat atau berhujjah kerana tujuan yang batil, yakni berdebat bertujuan untuk membenarkan hujjah dan pendirian diri sendiri walaupun kita tahu orang yang kita berdebat dengannya adalah benar; dan

(h) Kita digalakkan sentiasalah bergaul sesama orang Islam sebagai saudara dengan bertutur dengan sopan, merendah diri, berbuat baik kepadanya, sentiasa ingin menyenangkan hatinya, sentiasa menaruh anggapan dan niat yang baik terhadapnya, dan tidak menyakiti hatinya.
Di dalam hadith berikut disebutkan dialog pendek antara seorang sahabat di hadapan Abdullah b Omar, i.e. ibnu Omar dengan Rasulallah (s.a.w) mengenai sifat manusia yang ‘baik’ atau afdhal di sisi Allah (a.w). Rasulallah (s.a.w) menyebut dua ciri, satu ciri beliau faham, tetapi satu lagi ciri dia kurang faham. Maka diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) kepadanya.
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Omar (r.a) berkata: ‘Ditanyakan orang akan Rasulallah (s.a.w): ‘Manakah manusia yang afdhal (yakni, baik)?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘ Kullu makhmumil-qalbi sadduqiil-lisani.' [Yg bermaksud: (iaitu, pertama, orang yang) Menyembunyikan pada hati, dan (kedua) benar dalam ucapan (atau kata-kata) (yakni, bercakap benar setiap masa)], berkata Abdullah bin Omar: ‘Kebenaran dalam ucapan’ (atau kata-kata) itu kami tahu.Tetapi, apa dia ‘mahmumul-qalbi’ (suci hati) itu?’ bersabda Nabi (s.a.w): ‘ Hual-taqiun-naqau, la ithmi fihi wa-la baghya wa-la ghilla wa-la hasada.' [Yg bermaksud: Orang yang bertaqwa (takutkan Allah (a.w)) tiada dosa di dalam sedemikian itu dan tiada melanggar (membuat maksiat) dan tiada buruk sangka dan tiada dengki hati.] [Hadith ibnu Majah, Kitab Zuhud]
Konsep ‘mahmumul-qalbi’ (atau kesucian hati) itu diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) suatu hati yang memiliki sifat-sifat berikut:

(a) Sifat taqwa kepada Allah (a.w) (yakni, takutkan melakukan sesuatu yang memungkinkan kemarahan atau kemurkaan Allah (a.w)) ;

(b) Tiada sifat buruk sangka terhadap sesiapapun; dan

(c) Tiada perasaan atau sifat dengki terhadap sesiapapun.

Kalaulah kita telek ketiga-tiga sifat tersebut, kita dapati kita gagal dalam sekurang-kirangnya satu, melainkan jiwa kita telah diberishkan atau kita sentiasa waspada dan berusaha membersihkan jiwa kita. Kita hanya boleh membersihkan diri kita dgn ilmu al-Quran dan as-Sunnah, kerana ilmu memperingatkan kita apakah akibat perlakuan dan lisan kita terhadap kesejahteraan akhirat kita.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment