Saturday, August 17, 2013

Jadilah orang Islam yang benar, ...(Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara kita sambung sedikit lagi apa yang kita telah faham dalam post sebelum ini, dengan meneliti beberapa perkara fundamental lagi asas berikut.

Ilmu, Amalan dan Islam

Saudara, dalam menyebut tentang pakaian bagi umat Islam dalam post yang lalu, semuanya itu berdasarkan ilmu. Dan ilmu yang dijadikan dasar ketetapan syariat Islam itu adalah ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Melihat lebih jauh dan lebih mendalam lagi, adalah hadith yang fundamental berikut sebagai panduan kita setiap masa, tak kira dimana kita berada.
Diriwayatkan hadith dari ibnu Abbas (r.a) bahawa Rasulallah ((s.a.w) bersabda: ‘Ilmu itu hidupnya Islam dan tiangnya iman.’ [Hadith Abu Shaikh]
[Nota: Hidupnya Islam secara amnya bergantung kepada sejauh mana umat Islam itu diberikan atau memiliki ilmu mengenai agamanya dan menyediakan diri mereka untuk akhiratnya berdasarkan dan berpandukan ilmu tersebut dan berusaha dia memperbanyakkan bekalan untuk akhiratnya. Hidup keIslaman yang kental atau rapuhnya keImanan seseorang yang Islam itu juga bergantung kepada sejauh mana dia mempunyai ilmu akhirat dan memahami ilmu akhirat tersebut, dan mengamalkan segala sesuatu yang dituntut oleh Islam sekuat mampunya. Kalau dia jahilkan ilmu akhirat, maka berkuburlah Islamnya, kosong dalamannya, hanya luarannya dia nampak (seemingly) Islam, tapi isi keIslamannya dan keImanannya kosong semata-mata. Islam mati dalam hidupnya dan rohnya. Tanpa ilmu akhirat tersebut rapuh atau goyah, malah tumbanglah tiang keImanannya. Maka dengan itu lahiriah nampak Islam, dari segi batiniah dia tak lebih dari orang yang tidak Islam. Maka, kalau dia memegang jawatan bersifat keagamaan dia tidak faham Islam maka dia akan menyulitkan dakwah dan menghalang-halangi usaha memurnikan Islam apabila ada golongan yang berusaha menyedarkan orang Islam tentang tuntutan agamanya yang haq dan dalam usaha mereka memertabatkan ilmu akhirat kepada orang Islam.
Berapa ramaikah orang Islam yang benar-benar tahu dan faham bahawa segala amalan dan ibadah yang mereka lakukan hanya valid diterima Allah (a.w) kalaulah dia beramal dan beribadah dengan sandaran ilmu yang haq? Ilmu yang haq itu hanya didapati dari sumber yang haq, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kefahaman dalam ilmu yang haq tersebut hanya boleh didapati oleh mereka jika mereka belajar daripada orang yang tahu dan faham ilmunya dan cara dan kaedah mengamalkannya. Berapa ramaikah orang Islam hari ini yang belajar ilmu yang haq tersebut? Maksudnya berapa ramaikah umat Islam hari ini memberi perhatian kepada menyempatkan diri mereka belajar al-Quran dan as-Sunnah? Majoriti umat Islam hari ini cuba memahami agama Islam melalui media yang tak diterima oleh Allah (a.w) sebagai sah. Dalam zaman maya ini bermacam-macam ilmu mengenai Islam dimuat-turun dalam internet. Ramai orang mengakui diri mereka ilmuwan atau ulama’, maka dengan menggunakan kebijaksanaan akal fikiran mereka, mengajarkan manusia segala sesuatu mengenai Islam. Hari ini ‘Islam’ dan ‘syariat Islam’ itu sudah menjadi satu matapelajaran akademik sebagaimana matapelajaran sains aeronautika, sains kemasyarakatan, filosofi (falsafah) sehinggakan terdapat ijazah Ph D dikeluarkan oleh pusat pengajian menara gading kepada ilmuwan Islam, yang menggelarkan mereka ‘Dr’. Mereka kemudiannya dinobatkan sebagai orang yang berilmu atau ilmuwan. Mereka pula menampilkan diri sebagai orang berilmu, malah ‘pakar’ dalam bidangnya. Kalau bidangnya berkisar di sekeliling Islam dan syariatnya, maka mereka pula dianggap pakar atau ‘ahli’ atau bijak dalam masyarakatnya. Apabila diterima oleh masyarakat sebagai seorang yang berilmu, maka lambat laun mereka dinobatkan sebagai ‘ulama’ (=orang yang berilmu). Maka ramailah manusia yang menjadi pengikut mereka. Ramailah menerima panduan mereka. Oleh kerana kepintaran serta pengaruh golongan ini, maka dia akan menggunakan kebijaksanaannya dalam mentafsir dan mendetailkan sesuatu ketetapan dan hukum Islam walaupun tiada sandaran al-Quran atau as-Sunnah. Akhirnya, ramailah yang menganggap ajaran mereka benar dan pengikutnya mengamalkannya. Inilah satu-satunya sebab Rasulallah (s.a.w) menyebutkan dalam hadith bahawa apabila manusia tidak lagi berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, dan mereka mengutamakan kepintaran otak dan fikiran, maka manusia meminta keputusan dan panduan dan fatwa dari mereka yang seemingly berilmu, dan mereka memberi fatwa tanpa panduan al-Quran dan as-Sunnah, maka sesat mereka dan mereka pula menyesatkan orang lain.
Ilmu yang didapati cara sedemikian dan dari sumber yang sedemikian, tidak mengesahkan ilmu dan membenarkan amalan. Maka dengan itulah Allah (a.w) berfirman pada Ayat 36, Surah an-Nisa’ ‘ … wala taqfu ma laisa bihi ilmun (Yang bermaksud: Janganlah kamu (Muhammad dan umatmu) kerjakan sesuatu (amalan dan ibadah) tanpa kamu terlebih dahulu memiliki ilmu mengenai apa yang kamu kerjakan (amalkan dan ibadahkan)). Kita diperingatkan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam sabdanya: ‘Al-ilmu qabla ‘amal’ (Yang bermaksud: Berilmulah dahulu sebelum mengerjakan amalan). Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa ilmu yang haq dalam Islam itu hanyalah al-Quran dan as-Sunnah (atau al-Hadith). Beramal dan mengerjakan sesuatu amalan atau ibadah tanpa didasari oleh ilmu tersebut adalah batal. Maka dengan itulah dalam sepotong hadith lain Rasulallah (s.a.w) peringatkan kita bahawa neraka wel (atau celakalah) seseorang yang beramal tanpa ilmu (i.e. mengerjakan amalan dalam kejahilan, yakni tidak mempelajari ilmu al-Quran dan as-Sunnah, tetapi mengamalkan sesuatu amalan), dan neraka wellah (i.e. celakalah) seseorang yang berilmu (i.e. memiliki ilmu al-Quran dan as-Sunnah) tetapi tidak mengamalkan ilmunya (atau tidak beramal menggunakan ilmu al-Quran dan as-Sunnah yang ada padanya).
Dalam urusan aqidah dan syariat Islam, khususnya perkara amalan dan ibadah – yang fardu mahupun yang sunat – ilmu yang wajib dipelajari, difahami dan dijadikan dasar serta kaedah beramal dan beribadah hanyalah dua – al-Quran dan as-Sunnah. Ilmu yang sah dijadikan panduan (serta bentuk, kaedah dan cara mengerjakan) amalan dan ibadah adalah al-Quran dan as-Sunnah. Maka dengan itu ilmu yang sumbernya selain al-Quran dan as-Sunnah tidak mengesahkan amalan dan ibadah. Itu hanya atas landasarn persangkaan semata-mata. Dan, Allah (a.w) memberitahu bahawa persangkakaan bukan haq tetapi kebatilan. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) memberitahu sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan atau ibadah dalam kejahilan, walaupun amalan atau ibadah itu betul, tetap dikira salah. Jika seseorang itu beramal dengan berdasarkan ilmu yang haq, walaupun salah amalannya, tetap diberikan satu pahala kerana mengamalkannya berdasarkan ilmu yang haq, dan kalau diamalkan dengan betul pula diberikan dua pahala. Itulah bezanya beramal berpandukan sumber ilmu dan kaedah mengilmukan diri secara sah dalam Islam.
Sehubungan itulah Rasulallah (s.a.w) menyuruh umatnya supaya mengaji atau mempelajari ilmu. Malah wajib bagi seseorang yang mengakui dirinya seorang Islam yang beriman itu mencari, mengaji dan beramal dengan ilmu tersebut. Jika Islam tapi tidak mengaji atau menyempatkan masa belajar ilmu (al-Quran dan as-Sunnah), maka dia mendapat dosa setiap saat! Sebaliknya, sedikit masa yang disempatkan olehnya setiap hari mengaji ilmu (al-Quran dan as-Sunnah) mendatangkan banyak keuntungan akhirat baginya – amalan dan ibadahnya sah dan diterima, dan diberikan ganjaran pahala, para malaikat mendoakan kesejahteraan baginya sehinggakan ikan-ikan di dalam airpun mendoakan kebaikan baginya, dan dia mendapat pahala yang nilainya melebihi nilai dunia dan segala isinya (yang akan diterimanya di akhirat kelak)!
Berdasarkan ilmu yang haq itu, dia selamat dari segala sesuatu yang membatalkan amalan dan pahala amalannya kerana melakukan sesuatu yang dicemari oleh syirik (terutama syirik yang samar), kurafat, tahayul (yakni, perkara yang karut marut), bid’ah (yakni, mengubah syariat Islam) dan beramal secara ikut-ikutan. Maka dia beramal dengan kepastian bahawa segala amalan dan ibadahnya bukan sahaja mendapat pahala, bahkan pahala yang maksimum berdasarkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Ramai orang tak sedar yang dia muflis di akhirat. Muflis kerana beramal dan beribadah tapa ilmu, tak diterima amalan dan ibadahnya. Maka dalam Kitab Catatan Amalannya kosong. Muflis kerana amalan dan ibadah yang tercemar atau dicemari oleh perbuatan syirik, kurafat, kepercayaan tahyul, bida’ah dan taklid. Juga dicatitkan kosong dalam Kitab Catatan Amalan kita. Malah lebih bahaya. Beramal tanpa ilmu, tak dapat pahala. Beramal tapi tercemar, tak dapat pahala. Lebih bahaya, batal segala amalan dan ibadah lain. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) memperingatkan umatnya tentang bahayanya bid’ah. Tapi, amat malang hari ini majoriti umat Islam menyangsikan nasihat Rasulallah (s.a.w) ini, malah kuat dan tegas berhujjah sebaliknya, wal iyazubillah min zalik.]
Saudara, selanjutnya hadith berikut juga menyebut tentang isu atau perkara yang berkaitan. Mudah-mudahan kita dapat kefahaman yang sewajarnya dalam beragama, demi kebajkan akhirat kita, insya Allah.
Diriwayatkan hadith dari Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Akan datang suatu fitnah (cubaan yang berat kepada umat Islam) dimana seorang lelaki (yakni, orang iman) beriman ketika pagi hari dan menjadi kafir di petang hari; kecuali orang yang dihidupkan Allah (a.w) dengan ilmu (yakni, ‘alim dan faham dia tentang Islam berpandukan ilmu al-Quran dan as-Sunnah kerana dengan panduan dua ilmu tersebut dalam beribadah dan beramal serta menjalani kehidupan duniawinya dia faham mana yang haq = benar dan mana yang batil).’ [Hadith at-Termidzi]

Jazaklallahu khairah

2 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Saya zulkifli ingin belajar beribadah berasaskan alquran serta hadis..dimanakah boleh dipelajari disekitar seremban dan siapa gurunya.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumus salam, Sdr boleh berikan alamat sdr dan no hp untuk mudah dihubungi dan di nasihatkan., melalui ruangan komen dalam blog ini.

    ReplyDelete