Saturday, August 3, 2013

Islam yang benar itu apa dia? (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan penelitian kita mengenai tajuk atau topik di atas. Kerana, amat penting kita faham. Supaya kita tidaklah berjaya di dunia tetapi rugi dan karam di akhirat kelak. Oleh itu wajar kita berwaspada dan mengubah haluan kita dengan berpedomankan ketetapan Allah (a.w) (i.e. al-Quran) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (i.e. as-Sunnah atau al-Hadith).

Ciri-ciri Agama Islam yang Murni
(dan amalan yang murni)

(a) Syariat Agama Islam yang Benar dan Murni

Ketetapan Allah (a.w)

Firman Allah (a.w): ‘Inna anzalna ilaikal-Kitaba bil-haqqi fa’budillaha mukhlisan lahud-dina @ ala lillahid-dinul-khalisu … al-ayat’ (Yang bermaksud: Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan Kitab al-Quran kepadamu (Muhammad) dengan kebenaran (yakni, membawa kebenaran), maka mengabdikanlah dirimu (yakni, beribadahlah) kepada Allah (a.w) dengan memurnikan agama kepadaNya @ Ketahuilah bagi Allah (a.w) agama yang murni …’ sehingga akhir ayat). [Ayat 2 dan 3, Surah az-Zumar]
[Nota: Manusia itu diperintah oleh Allah (a.w) supaya beribadah berdasarkan al-Quran (dan as-Sunnah). Manusia itu tidak diperintahkan beribadah atas dasar selainnya. Al-Quran itu adalah panduan mutlak bagi manusia dalam memenuhi perintah Allah (a.w) yang disebutkan pada Ayat 56, Surah az-Zariat (iaitu: 'Tidalah Aku (Allah) jadikan jin dan manusia kecuali semata-mata untuk mengabdikan diri mereka (yakni, beribadah) kepadaKu'). Selain al-Quran itu, manusia diperintah oleh Allah (a.w) supaya ikuti segala ketetapan yang didatangkan oleh Rasulallah (s.a.w) pada Ayat 7, Surah al-Haysr (iaitu: 'Apa-apa yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) hendaklah kamu ambil (terima dan amalkan) dan apa-apa yang ditegahnya hendaklah kamu tinggalkan.' Jika manusia itu ikuti ketetapan tersebut, maka pastilah mereka Islam dan beriman. Dan, jika mereka Islam dan beriman dan akur dengan ketetapan Ayat 13, Surah an-Nisa’ (iaitu: 'Sesiapa yang mentaati Allah (a.w) (i.e. ikuti ketetapan dan panduan al-Quran) dan mentaati Rasulallah (s.a.w) (i.e. ikuti ketetapan dan panduan as-Sunnah), pasti dimasukkan ke dalam syurga'). Sebaliknya adalah Ayat 14, Surah an-Nisa’ (iaitu: 'Sesiapa yang berpaling dari (yakni, tak ikuti atau patuhi ketetapan) Allah (a.w) (i.e. ikuti al-Quran) dan berpaling dari (yakni, tak ikuti atau patuhi ketetapan) Rasulallah (s.a.w) (yakni, tak ikuti as-Sunnah), dan melanggar ketetapan Allah (a.w) dan RasulNya dari apa-apa yang ditetapkan dalam al-Quran dan as-Sunnah, pasti dimasukkan ke dalam neraka'. Dan, Allah (a.w) memberitahu pada Ayat 80, Surah an-Nisa’ (iaitu: 'Sesiapa yang mentaati Rasulallah (s.a.w) sudah pasti dia mentaati Allah (a.w)'. Dan as-Sunnah itu memperincikan pula ketetapan al-Quran menjelaskan segala sesuatu yang perlu diperjelaskan dalam al-Quran. Jelaslah, Islam yang benar itu adalah ikuti ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam mengabdikan diri seseorang yang Islam itu wajib mempunyai aqidah yang murni iaitu mengikuti ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) adalah kemurnian dan keaslian beragama dan beramal. Agama atau syariat agama Islam itu ‘murni’ dalam konteks ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) itu, apabila semuanya adalah asli sebagaimana diperintahkan oleh Allah (a.w) kepada Rasulallah (s.a.w), sebagaimana yang dibawakan dan diajarkan oleh malaikat Jibril (a.s) kepada Rasulallah (s.a.w). Kemudian Rasulallah (s.a.w) sampaikan agama yang murni itu kepada manusia sejagat, khususnya orang Islam. Agama yang kekal asli atau pure itu tidak dicemari atau tercemar oleh sesuatu yang tiada di dalam al-Quran dan as-Sunnah – sama ada dalam konteks aqidah tercemar oleh fahaman atau kepercayaan yang bercorak atau mirip syirik, tahyul, kurafat dan taklid, atau dalam konteks pengamalannya atau praktikalnya dicemari oleh pembaharuan atau pengubahsuaian atau tokok tambah yang tidak ada sandaran atau dasar al-Quran dan as-Sunnah seperti bid’ah (pembaharuan) dan taklid (mengikuti kaa-kata sipolan dan sipolan yang tiada dasar atau sandaran al-Quran dan as-Sunnah). Firman Allah (a.w) ini memperingatkan manusia yang Islam dan beriman itu bahawa hendaklah mereka berwaspda dan ikutilah keaslian atau kemurniaan syariat Islam itu sebagaimana yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) kepada umat manusia zamannya.

Ketetapan Rasulallah (s.a.w)

Diriwayatkan hadith Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Innallaha la yuqbalu minal-‘amali illa ma kana lahu khalisan wabtughiya bihi wajhuhu.’ (Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah (a.w) tidak akan menerima suatu amalan kecuali amalan yang dikerjakan itu murni (yakni, tidak dicemari oleh sesuatu apapun) dan (dikerjakan kerana) mencari wajah Allah (a.w) (yakni, kerana mengharapkan kerahmatan dan keridhaan Allah semata-mata). [Hadith an-Nasa’i, Kitab Jihad]
[Nota: Allah (a.w) hanya menerima hambaNya yang murni Islamnya – dari segi aqidah (kepercayaan dan keyainan) dan murni dari segi praktikalnya atau amalannya serta ibadahnya (i.e. bentuk-bentuk, cara dan kaedah beramal dan mengerjakan ibadah). Rasulallah (s.a.w) memberitahu dalam hadith ini bahawa sesiapa yang tidak murni Islamnya, tidak akan diterima segala amalan dan ibadahnya, yakni pengabdiannya. Murni itu aqidah dan pengamalan yang menepati ketetapan Allah (a.w) yang disebutkan dalam Ayat 2 dan 3, Surah az-Zumar, Ayat 5, Surah al-Baiyinah, Ayat 153, Surah al-An’am dllnya. Islam itu tidak murni kalau sepotong ayat atau sesuatu cerita yang disebutkan dalam al-Quran itu tidak diterima oleh seseorang itu. Islam itu juga tidak murni jika seseorang itu mengketepikan as-Sunnah, dan mengikuti semata-mata al-Quran, kerana Allah (a.w) menyuruh umat Islam itu pegang as-Sunnah – amal dan kerjakan apa yang disuruh sekuat mampu dan tinggalkan apa-apa yang ditegah atau dilarang – Ayat 7, Surah al-Haysr dll. Malahan Allah (a.w) perintahkan manusia yang Islam itu contohi Rasulallah (s.a.w) kerana Rasulallah (s.a.w) itu adalah 'uswatun hasanah’ = model ikutan terbaik dalam perkara dunia dan akhirat – Ayat 21, Surah al-Ahzab. Sesiapa yang inginkan kerahmatan Allah (a.w) dan syurga, ikuti contoh dan petunjuk Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) mengingatkan umatnya supaya jauhi apa yang beliau tegah. Contohnya, mengerjakan amalan dan ibadah – yang fardu maupun yang sunat – supaya menepati sabdanya: ‘Man ‘amila ‘amalan laisa amruna, fahua raddun.’ (Yang bermaksud: Sesiapa yang megerjakan sesuatu amalan yang tidak termasuk dalam perkaraku (Nabi), maka amalannya (atau ibadahnya) di tolak (oleh Allah (a.w), yakni tidak diterima). Maka amalan dan ibadah tersebut sia-sia semata-mata.
Telah disebutkan oleh Allah (a.w) bahawa kemurnian agama itu mewajibkan umat Islam itu belajar ilmu dan menyediakan diri dengan cukup ilmu supaya boleh faham aqidah serta tuntutan Islam yang haq dan syariat Islam yang betul dan bagaimana melaksanakannya – Ayat 36, Surah al-Isra’. Sesuatu amalan itu menjadi murni dan benar jika didasari oleh ilmu, sejajar dengan perintah Allah (a.w) pada Ayat 36, Surah al-Isra’ (iaitu: 'Janganlah amalkan atau buat sesuatu ibadah tanpa terlebih dahulu tahu dan faham ilmu mengenai amalan dan ibadah tersebut.'). Rasulallah (s.a.w) memberitahu dan memperingatkan umatnya: ‘Al-Ilmu qabla ‘amal.’ (Yang bermaksud: Beramallah hanya dengan ilmu atau berilmulah dahulu kemudian barulah amalkan atau ibadahkan). Sebarang amalan dan ibadah yang dikerjakan tanpa ilmu, walaupun betul sebagamana diamalkan oleh orang yang berilmu atau sah ilmunya, tetap dikira tak betul, kalau tidak didasarkan dengan ilmu. Maka setiap amalan dan ibadah itu wajib dipelajari ilmunya terlebih dahulu. Tidak boleh dikerjakan secara ikut-ikutan atau bertaklid kepada cakap-cakap atau suruhan seseorang tanpa mempelajari ilmunya. Inilah ketetapan Rasulallah (s.a.w): ‘Man qala fi kitabillahi ‘aza wa-jala bi-rakyihi fa-asoba faqad akhta-a.’ (Yang bermaksud: Sesiapa yang berkata atau mentafsirkan atau menyebutkan sesuatu dalam Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran – dan termasuklah ketetapan as-Sunnah) zat yang maha agung dan maha tinggi dengan pendapatnya (i.e. tidak belajar), maka didapati betul, maka sungguh-sungguh salah dia) [Hadith Abu Daud, Kitab Ilmu]. Jelasnya, setiap amalan atau ibadah yang hendak dikerjakan wajib dipelajari ilmunya terlebih dahulu. Jika tidak, kalau diamalkan atau dikerjakan ibadah itu, walaupun betul, tetapi tetap dikira salah. Tidak ada jalan pintas dalam Islam. Maka dengan itu Islam mewajibkan belajar ilmu. Sabda Rsulallah (s.a.w): ‘Talabul ilmi faridatun ‘ala kulli Muslim.’ (Yang bermaksud: Mempelajari ilmu (i.e. ilmu al-Quran dan as-Sunnah) itu wajib bagi setiap orang Islam.) [Hadith Abu Daud]
Amalan dan ibadah Islam itu murni jika diniatkan semata-mata kerana mengikuti ketetapan Allah (a.w) pada Ayat 57, Surah al-Isra’ (iaitu: Mencari kerahamatan/keridhaan Allah (a.w), i.e. syurga, dan selamat dari siksaaan Allah (a.w), i.e. neraka). Tanpa ilmu, amalan dan ibadah ditolak dan tanpa niat yang murni, amalan juga tidak diterima walaupun benar dari segi ilmunya.]

(b) Beribadah secara mukhlis/Murni

Ketetapan Allah (a.w)

Firman Allah: ‘Wa-ma umiru illa li-ya’budullaha mukhlisina lahud-dina hunafa-a … al-ayat ‘(Yang bermaksud: Dan mereka (manusia) tidak diperintahkan (oleh Allah (a.w)) kecuali supaya beribadah kepada Allah (a.w) dengan memurnikan agama kepadaNya dengan condong (kepada yang hak) (i.e. tunduk, yakni betul-betul khusyuk mengerjakan ketetapan Allah (a.w)) … sehingga akhir ayat.’ [Ayat 5, Surah al-Maidah]
[Nota: Manusia itu diperintahkan oleh Allah (a.w) beribadah dengan betul dan benar. Ibadah yang betul dan benar itu hendaklah didasarkan kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, itu saja sumber dan panduan yang betul lagi benar. Seseorang yang akui dirinya Islam itu wajib beribadah secara murni berdasarkan ketetapan agama yang asli seperti yang diperingatkan oleh Allah (a.w) dalam ayat ini. Manusia itu wajib menumpukan ketaatan sepenuhnya kepada perintah Allah (a.w) tersebut, memurnikan agamaNya dan beramal dengan syariatnya yang murni tanpa dicemari oleh apapun dalam kontek aqidah dan pengamalan. Jika aqidah tercemar oleh keyakinan dan kepercayaan yang bersifat syirik, tahayul, kurafat atau dipengarhi oleh kepercayaan yang karut marut, maka aqidah Islam sudah tercemar dan tidak murni lagi. Kalau dalam amalan pula dicpengaruhi oleh sesuatu yang bersifat bid’ah dan taklid menyalahi ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, maka amalan dan ibadah sudah tercemar dan tidak murni lagi. Amalan yang tercemar sebagaimana aqidah yang tercemar merosakkan agama, maka terkeluar dari Islam dan kesemua amalan tidak diterima Allah (a.w). Dalam duniapun, kita faham bahawa seseorang itu bekerja dengan majikannya tetapi kerjanya tidak megikuti apa-apa yang ditetapkan oleh majikannya, maka pasti dia tidak dibayar gaji, malah dia diberhentikan. Inikan pula agama yang jauh lebih utama kerana diperintah oleh Allah (a.w) yang mencipta manusia khusus untuk mengabdikan diri kepadaNya semata-amat, wajib menepati kehendakNya sahaja. Agama dan amalan dimurnikan dan difahami serat dilakasanakan ketetapannya menepati perintah Allah (a.w) – yakni ikuti ketetapan atau spesifikasi al-Quran dan as-Sunnah – barulah aqidah itu murni dan pengabdian itu juga murni dan diberi ganjaran pahala oleh Allah (a.w). Jika tidak murni, pastilah ditolak dan tidak diterima, malah disingkirkan oleh Allah (a.w) dari menjadi hambaNya yang mentaatiNya. Patilah orang tersebut tidak diakui oleh Allah (a.w) telah memenuhi kehendak Ayat 56, Surah az-Zariat yang kita rujuk tadi. Segala amalan dan ibadah tak diterima, kita pula disingkir keluar dari Islam, wal iya zubillah. Dan, tidak dibenarkan masuk syurgaNya.]

Ketetapan Rasulallah (s.a.w)

Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Taraktu fikum amraini lan tadillu ma tamassaktum bihima kitaballahi wa-sunnati nabiyihi.’ (Yang bermaksud: Aku (Nabi) telah meninggalkan pada kamu sekelian dua perkara, kamu sekelian tidak akan tersesat selagi (kamu sekelian) berpegang teguh dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah NabiNya (al-Hadith).’ [Hadith Imam Malik dalam al-Muatok]
[Nota: Hadith ini adalah corollary kepada perintah Allah (a.w) pada Ayat 13, Surah an-Nisa: 'Sesiapa taatkan Allah (a.w) (i.e. ikuti ketetapan al-Quran) dan taatkan Rasulallah (s.a.w) (i.e. ikuti as-Sunnah), pasti dimasukkan ke dalam syurga'. Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita umatnya (dan manusia umumnya – semua zaman) bahawa jika mereka berpegang teguh kepada dua hazanah panduan dan ilmu mengenai Islam tersebut – al-Quran dan as-Sunnah – sudah pasti mereka tidak akan sesat mencari 'siratul mustaqim' – jalan ke syurga, dan pasti dia mendapat syurga tersebut, kerana berada di atas landasan yang pasti membawanya ke syurga. Tetapi, kalau tidak berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, pastilah manusia itu terpengaruh oleh aqidah yang batil atau tercemar oleh kesyirikan, kurafat dan tahyul serta amalan yang mencemarkan kemurniaan syariat Islam seperti bid’ah dan taklid, dalam kejahilan ilmu. Kejahilan ilmu itu pasti terhapus apakala sesorang itu mengaji dengan berpandukan al-Quran dan al-hadith.]

(c) Jalan Lurus mendapatkan syurga

Ketetapan Allah (a.w)

Firman Allah (a.w): ‘Wa-anna haza sirati mustaqima fat-tabi’uhu wa-la tat-tabi’us-subula fatafarraqa bikum ‘an sabilihi zalikum was-sakum bihi la’allakum tattaquna.’ (Yang bermaksud: Dan, sesungguhnya ini (al-Quran) adalah jalanKu yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah mengikuti beberapa jalan (selain jalan al-Quran) kerana beberapa jalan itu akan memecah belahkan kamu sekelian dari jalan Allah (a.w), dan demikian itulah Allah (a.w) wasiatkan/perintahkan kepada kamu sekelian agar (atau moga-moga) kamu sekelian bertaqwa (i.e. takutkan Allah).) [Ayat 153, Surah al-An’am]
[Nota: ‘Siratul mustaqim’ itu adalah jalan ke syurga, yang setiap umat Islam yang bersolat fardu (5 waktu sehari semalam) pohon sebanyak 17 kali itu diperjelaskan oleh Allah (a.w) dalam ayat ini. ‘Siratul mustaqim’ itu adalah al-Quran. Maksudnya ikuti al-Quran maka pasti akan ditemuinya dan akan sentiasa berada di atas jalan ke syurga tersebut. Pasti, tidak akan menyimpang atau tergelincir selagi setiap yang Islam itu berpandukan al-Quran. Sekiranya seseorang yang Islam itu ikuti panduan dan tuntutan selain al-Quran pastilah akan sesat atau menyimpang atau tergelincir dari jalan yang lurus tersebut.
Akur dengan al-Quran bermakna akur dengan as-Sunnah. Mengapa as-Sunnah kerana Allah (a.w) perintahkan umat Islam ikuti as-Sunnah, kerana Rasulallah (s.a.w) yang diperintah Allah (a.w) menyapaikan syariat agama Islam kepada manusia. Allah (a.w) perintahkan Jibril (a.s) mengajar beliau bagaimana melaksanakankannya dalam realiti kehidupan manusia. Beliau memperincikan dan memperjelaskan dalam as-Sunnah ketetapan al-Quran yang concise itu. Supaya wujud kesatuan dan keseragaman dalam amalan dan ibadah. Manusia tidak akan berpuak-puak pula mengikuti pelbagai jalan apabila berpandukan dengan panduan lain dari as-Sunnah. Sekiranya seseorang yang Islam itu ikuti ketetapan al-Quran, maka al-Quran dan as-Sunnah akan memandunya kearah mencapai tahap keimanan dan ketaqwaan yang disebutkan dalam al-Quran. Disebutkan dalam al-Quran bahawa sifat ketaqwaan itu menjamin kejayaan akhirat seorang yang Islam dan beriman.
Allah (a.w) dalam firman ini memperingatkan hambaNya yang Islam dan beriman supaya ikuti hanya satu jalan, iaitu jalan al-Quran dan as-Sunnah. Allah (a.w) memberitahu jalan al-Quran itu adalah 'siratul mustaqim' - Surah Yaasin dll. Ketaqwaan serta kejayaan akhirat itu hanya tercapai melalui ketaqwaan dan keimanan yang dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah.]

Ketetapan Rasulallah (s.a.w)

Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘… alaikum bil-jama’ati wa-iyakum wal-firqati …’ (Yang bermaksud: Menetapilah kamu sekelian pada jema’ah dan menjauhilah kamu sekelian pada firqah (i.e. perpecahan) [Hadith hasan sahih gharib at-Termidzi]
[Nota: Dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) memerintahkan umatnya supaya berjema’ah, dan ditegah umatnya supaya jangan berfirqah atau berpecah belah. Malah Allah (a.w) dalam al-Quran menyebut kerapkali melarang hambaNya jangan berfirqah atau berpecah belah.
 
Diriwayatkan hadith dari Abdillah b Dinar hadith dari Ibnu Omar berkata: ‘Telah berkhutbah atas kami Omar (r.a) di tanah Jabiah, maka berkata dia (Omar): ‘Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku, berdiri aku di kalangan kamu sepertimana berdirinya Rasulallah (s.a.w) di kalangan kami (suatu masa dahulu), maka bersabda dia (Nabi): ‘Aku wasiatkan atas kamu sekelian dengan (kehadiran) para sahabatku, kemudian orang-orang yang mendekati mereka (yakni, para tabi’in), kemudian orang-orang yang mendekati mereka (yakni, pengikut para tabi’in), kemudian tersebar luaslah dusta atau pendustaan sehingga bersumpah seorang lelaki dan tidak pula dia diminta bersumpah, dan menjadi saksi (seorang lelaki) walaupun dia tidak diminta menjadi saksi. Ingatlah janganlah menyepi (atau berkhalwat) seorang lelaki dengan seorang perempuan, kecuali ada yang ketiga dari mereka yang berdua adalah syaitan. Diwajibkan atas kamu sekelian dengan berjema’ah dan takutilah kamu akan berfirqah atau perpecahan, maka sesungguhnya syaitan itu adalah bersama-sama dengan orang yang berseorangan (yakni, berada diluar jema'ah Islam) dan dia itu orang keduanya, lebih menjauhi dia (syaitan)(pada orang yang berjema’ah). Barangsiapa inginkan berada ditengah-tengah syurga, maka hendaklah dia menetapi jema’ah … ‘ [Hadith at-Termidzi]. 
Hadith ini memberitahu bahawa untuk pasti dapat syurga hendaklah berjema'ah. Sahnya Islam dengan berjema'ah.

(d) Islam yang murni itu berjema’ah

Ketetapan Allah (a.w)

Firman Allah (a.w.): ‘Wa’tasimu bi-hablillahi jami’an wa-la tafarraqu … al-Ayat’ (Yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (i.e. agama Allah) secara berjema’ah dan janganlah berfirqah (i.e. berpecahbelah) ) [Ayat 103, Surah ali-Imran]
[Nota: Selain memurnikan syariat Islam, yakni tidak dicampuradukkan atau dicemari oleh lain-lain panduan dan pedoman, terutama pedoman yang didatangkan oleh manusia selain Rasulallah (s.a.w), agama Islam itu benar-benar murni apaila perintah berjema’ah itu dilaksanakan oleh orang Islam. Umat Islam disuruh berjema’ah dan ditegah atau dilarang bergerombolan atau berfirqah dalam apa jua bentuk. (Nota: Bermazhab adalah satu bentuk perpcahan atau firqah, kerana terdapat pula beberapa mazhab dan beberapa fahaman lain pula. Umat Islam telah dibahagi menjadi dua iaitu yang ikuti as-Sunnah dan yang ikuti as-Sunnah yang sesat, iaitu Syi’ah. Kemudian dari kalangan kumpulan as-Sunnah pula terdapat 4 mazhab – As-Syafie, al-Maliki, al-Hambali dan al-Hanafi. Kemudian ada pula golongan Salafi dan Wahabbi pula. Malah, Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa umat Islam itu akan perpecah menjadi 73 jenis atau model atau golongan atau fahaman Islam, kesemuanya tak betul atau menyimpang kecualilah satu model Islam iaitu Islam yang dipraktikkan berpandukan as-Sunnah dan mereka berjema’ah dalam mengamakan tuntutan syariat Islam.]

Ketetapan Rasulallah (s.a.w)

Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Wa-inna hazihil-millata sataftariqu ‘ala thalathin wa-sab’in thintani wa-sab’una fin-nari wa-wahidatun fil-jannati, wa-hiya jama’atu …’ (Yang bermaksud: Sesungguhnya agama Islam ini akan berpecah belah menjadi 73 (golongan atau fahaman Islam) yang 72 (golongan atau fahaman Islam) masuk ke dalam neraka dan yang satu masuk syurga, iaitu (yang berjaya dapat syurga itu adalah) berjema’ah.) [Hadith Abu Daud di dalam Kitab Sunnah, hadith hasan]
[Nota: Hadith ini menjelaskan bahawa agama Islam yang murni itu wajib dijema’ahkan, kerana kalau tidak di jema’ahkan, pasti tidak berjaya mendapat syurga. Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa di akhir zaman kelak, ketika Rasulallah (s.a.w) dan para sahabat yang murni pengamalannya telahpun wafat, akan wujud kelompok-kelompok atau golongan-golongan orang Islam yang menyangka mereka benar-benar Islam dengan amalan mereka masing-masing, tetapi mereka bukan sahaja tidak berpandukan as-Sunnah, tetapi mereka juga tidak mengamalkan Islam secara berjema’ah. Atas dasar wahyu, Rasulallah (s.a.w) memberitahu dalam hadith tersebut bahawa umat Islam dalam pegangan mereka serta dalam pengamalan mereka berpecah menjadi 73 kelompok Islam atau fahaman Islam, masing-masing mengakui mereka Islam, malah yakin yang mereka Islam, tetapi semuanya tidak berjaya mendapat syurga. Hanya satu golongan yang mendapat syurga iaitu mereka Islam bepandukan as-Sunnah dan mereka anuti Islam berbentuk jema’ah – berjema’ah dalam Islam. Jika tidak berjema’ah, maka batil Islam seseorang atau mana-mana perkumpulan Islam itu. Bila batil kesemua amalan dan ibadah secara otomatis menjadi batil, tidak menepati ketetapan Allah (a.w), maka tidak diterima oleh Allah (a.w), wal iya zubillah!
Allah (a.w) perintahkan umat Islam berjema’ah – Ayat 103, Surah ali-Imran tersebut. Kemudian, Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa Allah (a.w) perintahkan beliau laksanakan 5 perkara, dan justeru itu, beliau perintahkan umatnya laksanakan 5 perkara itu; iaitu, pertama, berjema’ah; kedua, mendengarkan nasihat dan ijtihad imam/amir (i.e. kepimpinan jema’ah Islam); ketiga, mentaati perintah imam/amir (i.e. kepimpinan jema’ah selagi ijtihad tersebut tidak bertentangan dengan ketetapan Allah (a.w) (i.e. al-Quran) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (i.e. as-Sunnah); keempat, hijrah atau berpindahlah jika situasi atau persekitaran seseorang itu tidak membolehkan dia mengamalkan Islamnya menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah; dan kelima, berjihad membela agama Allah (a.w) dengan dirinya dan hartanya. Maka Rasulallah (s.a.w) memerintahkan umatnya supaya laksanakan 5 perkara tersebut.
Ketetapan berjema’ah ini diperincikan dalam as-Sunnah, termasuklah sabda-sabda Rasulallah (s.a.w) berikut: pertama, diwajibkan atas umat Islam berjema’ah, dan ditegah atau dilarang berfirqah atau berkumpulan terasing – Hadith at-Termidzi; kedua, pertolongan Allah (a.w) itu atas jema’ah, sesiapa yang menyendiri atau tidak berjema’ah dalam Islam, maka menyendiri mereka ke neraka – Hadith at-Termidzi; ketiga, sesiapa yang inginkan kepastian berada di tengah-tengah syurga, hendaklah mereka berjema’ah – Hadith at-Termidzi; keempat, berjema’ah itu kerahmatan (i.e. mendapat kerahmatan Allah (a.w) – kerahmatan Allah (a.w) menjamin syurga, walhal berfirqah itu azab (yakni, masuk neraka) – Hadith Imam Ahmad; kelima, tangan (pertolongan) Allah (a.w) hanya atas jema’ah – Hadith an-Nasa’i.
Berjema’ah itu suatu kewajipan dan pra-syarat sahnya keIslaman seeorang yang mengakui dirinya Islam. Maka dengan itulah Rasulallah (s.a.w) memerintahkan umatnya supaya mendirikan jema’ah walaupun hanya terdapat 3 orang yang Islam di bumi Allah, atau wajib mendirikan jema’ah ketika bermusafir walaupun sekadar 3 orang sahaja dalam perjalanan tersebut. Supaya mereka bertiga mengangkat salah seorang mereka menjadi Imam (ketua). Ketetapan berjema’ah ini dirumuskan oleh Omar b Khattab (r.a) yang berkata: ‘La islama illa bi-jama’atin, wala jama’atin illa bi-imaratin, wala imaratin illa bitoatin, wala toatin illa bi-bai’atin’ [Yang bermaksud: Tidak dikatakan Islam jika tidak berjemaah, dan tidak dikatakan berjemaah jika tidak ada keimaman (imam) (atau kepimpinan) dan tidak ada keimaman jika tidak ada ketaatan dan tidak ada ketaatan jika tidak ada ikrar janji taat setia (bai’at)’] (Hadith ad-Dailami).] 
Soalnya? Adakah saudara betul-betul Islam menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah?

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment