Assalamualaikum,
Berikutan penangkapan serta pendakwaan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, baru-baru ini ramailah orang yang tau sedikit sebanyak tentang Islam menyebut tentang golongan ini. Antaranya mereka yang berada dalam JAIS, MAIM (sebuah NGO) , YADIM (badan dakwah), PGSM (peguam syar'i) dan pengarang/'pakar' Islam dalam akhbar Utusan, Berita Harian, Sinar dan seumpamanya. Semua mereka yang menyandang jawatan dalam organisasi keugamaan Islam menganggapkan diri mereka tergolong dalam golongan tersebut. Soalnya? Apakah benar atau mereka syok sendiri aje? Semua pengikut fahaman Islam perdana, pengikut fahaman mazhab as-Syafie, merasa selesa dan konfiden bahawa mereka adalah golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu. Tapi, soalnya betulkah begitu? Kalau mereka belum lagi dapat diktiraf 'ahlus sunnah wal-jama'ah' siapakah yang layak mendapat pengiktirafan tersebut? Siapakah yang boleh mengiktiraf?
Yang menentukan sesuatu golongan umat Islam itu adalah' ahlus sunnah wal-jama'ah' adalah Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Kerana Islam itu ugama yang dicipta Allah (a.w). Dan, Islam itu dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w), diajarkan, ditunjukkan, dan didemokan oleh Rasulallah (s.a.w). Kemudian, Islam dan syariatnya dinobatkan pula oleh khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Omar ibni Khattab, Othman ibni Affan dan Ali b Abi Thalib, radiallahu 'anhum. Mereka ini digelar oleh Rasulallah (s.a.w) sebagai 'khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin'. Kemudian syariat Islam yang haq itu diteruskan oleh para tabi'in, kemudian para pengikut tabi'in, dan pengikut-pengikut mereka sehinggalah akhira zaman, yakni qiamat dunia. Keaslian Islam dan syariatnya dilihat dari ketetapan Allah (a.w) (yakni al-quran) dan Rasulllah (s.a.w) (yakni, as-sunnah). Al-Quran dan as-Sunnah itu adalah panduan mutlak Islam dan umat Islam. Segala sesuatu perkara - cara hidup, pedoman hidup, panduan hidup Muslim dan Mukmin serta segala ibadah dan amalan, termasuk amal makruf, yang merupakan manifastasi pengabdian manusia yang mengaku diri mereka Islam dan beriman adalah al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang menerima al-Quran tetapi tidak menerima as-Sunnah sudah pastilah bukan Islam. Mereka yang menerima as-Sunnah dan tidak menerima al-Quran sudah pastilah bukan Islam!
Dalilnya? Sila rujuk Ayat 13, Surah an-Nisa dan Ayat 14, Surah an-Nisa. Allah (a.w) berfirman dalam Ayat 13, Surah an-Nisa: ‘Barangsiapa taatkan Allah (a.w) (yakni, ikuti ketetapan al-Quran) dan taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah), dimasukkan ke dalam syurgaNya.’ Jika sebaliknya, Allah (a.w) memberitahu dalam Ayat 14, Surah an-Nisa: ‘Barangsiapa menentang (yakni, tidak taatkan) Allah (a.w) (yakni, tidak ikuti ketetapan al-Quran) dan tidak taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, tidak ikuti ketetapan as-Sunnah), dan melanggar ketetapan-ketetapan Allah (a.w) dan Rasulnya, dimasukkan ke dalam neraka.’
Seseorang itu tidak Islam jika mereka mengengkari ketetapan dua ayat ini. Kemudian dalam Ayat 7, Surah al-Haysr pula Allah (a.w) memberitahu: ‘Dan apa-apa yang dibawakan/disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) (yakni, as-Sunnah) hendaklah kita yang Islam ambil/terima pakai, dan apa-apa yang ditegahnya (dalam as-Sunnah), hendaklah kita tinggalkan.’ Ayat ini adalah nas dan dalil al-Quran bahawa ketetapan Rasulallah (s.a.w) hendaklah, yakni wajib, diikuti. Maksudnya, seseorang yang Islam itu wajib menerima as-Sunnah. Kemudian Allah (a.w) memperingatkan orang Islam dalam Ayat 80, Surah an-Nisa bahawa: : ‘Barangsiapa mentaati Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah), maka sungguh-sungguh mereka telah mentaati Allah (a.w).’
Ramai orang Islam tahu tetapi masih ramai juga yang berpandangan bahawa ketetapan as-Sunnah itu tidak sama dengan ketetapan al-Quran! Ini satu pendapat yang batil. Pendapat tersebut bertentangan dengan perintah Allah (a.w) dalam Ayat 80, Surah an-Nisa itu. Malah ada yang berpandangan bahawa tidak semua ketetapan as-Sunnah itu wajar diterima dalam zaman maya ini. Ini adalah suatu kesyirikan yang besar! Bukan itu sahaja. Ada yang berpendapat bahawa ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quranpun ada yang tidak sesuai untuk zaman ini! Inipun satu kesyirikan.
Sehubungan itu, 'Ahlus sunnah wal-jama'ah' itu adalah mereka yang menerima ketetapan Allah (a.w) dalam Ayat 13, 14 dan 80 Surah an-Nisa dan mereka yang juga menerima ketetapan Allah (a.w) dalam Ayat 7, Surah al-Haysr.
Cuba kita lihat pula apa kata Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) dalam sepotong hadith menyebutkan seperti berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa mentaati aku maka sungguh-sungguh dia mentaati Allah (a.w). Dan, barangsiapa engkar (atau, melanggar) perintahku, maka sesungguhnya dia derhaka kepada Allah (a.w)...(hingga akhir hadith). ’ [Hadith Bukhari].
Sabda Rasulallah (s.a.w) ini mengulangi firman (yakni, ketetapan) Allah (a.w) dalam Ayat 80, Surah an-Nisa tersebut. Malah Rasulallah (s.a.w) mengulangi perintah Allah (a.w) dalam Ayat 7, Surah al-Haysr yang kita rujuk di atas itu. Kemudian, apa lagi ketetapan Rasulallah (s.a.w)? Kita rujuk pula hadith berikut:
Rasulallah (s.a.w) dalam sepotong hadith menyebut: ‘Aku tinggalkan pada kamu (yakni, umat Islam) dua perkara (yakni, hazanah ilmu sebagai panduan amalan dan ibadah dan juga panduan hidup), iaitu Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan sunnah nabiNya (iaitu as-Sunnah), jika kamu berpegang dengannya, maka tidak sesat kamu selama-lamanya.’ [Hadith sahih at-Termidzi, Ahmad ibnu Hanbal, Ibni al-Asim, al-Hakim, at-Tobrani, ad-Dalamii dan al-Thahawi] ]. Ini adalah jaminan Rasulallah (s.a.w). Itu jugalah jaminan Allah (a.w) kepada hambaNya (rujuk Ayat 7, Surah al-Haysr]
Justeru itu, 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu adalah mereka yang menerima ketetapan dalam hadith ini. Kerana, hanya mereka yang menerimanya tidak akan sesat dalam mencari 'siratul mustaqim', iaitu jalan mendapatkan syurga atau kerahmatan Allah (a.w). 'Ahlus sunnah wal-jama'ah' adalah calun syurga. Tak mungkin mereka yang menolak ketetapan as-Sunnah, lebih-lebih lagi al-Quran berada di atas 'siratul mustaqim' itu. Rasulallah (s.a.w) memberi jaminan kepada kita umatnya bahawa jika kita jadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup serta panduan amalan dan ibadah, sudah pastilah kita tidak akan menyimpang dari Islam dan syariatnya sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) adalah 'uswatun hasnah', yakni model ikutan terbaik bagi umat Islam.
Dengan itu, 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu adalah mereka yang akur dengan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam hadith tersebut. Apabila akur sudah pastilah dia menepati ketetapan Ayat 13 dan Ayat 14 Surah an-Nisa itu. Dan, kerana akur dengan wasiat Rasulallah (s.a.w) tersebut maka dia juga akur secara otomatis ketetapan Ayat 7, Surah al-Haysr.
Justeru itu, untuk mempastikan kita dan pengikut mana-mana fahaman, termasuklah fahaman kemazhaban, itu tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’, kita atau golongan yang berfahaman sedemikian, telah mengikuti as-Sunnah, dan bukanlah mengikut ajakan atau pandangan orang lain, sama ada ulama’ ataupun tidak. Ini diperjelaskan lagi oleh Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) berkata bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Setiap umatku masuk syurga, selain orang yang ‘aba' (yakni, 'enggan’ , maksudnya orang yang enggan mengikuti perintah Allah (a.w) dan RasulNya).’ Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Siapakah yang ‘enggan’ itu?’ Rasulallah (s.a.w) menjawab: ‘Sesiapa yang mematuhi perintahku (yakni, as-Sunnah) masuk syurga, dan sesiapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu ‘enggan’ (yakni, mereka yang ‘enggan’ itu adalah mereka yang tidak mematuhi perintah Rasulallah (s.a.w) tidak masuk syurga, yakni masuk neraka).’ [Hadith Bukhari]
Hadith di atas itu pula menyebutkan caounterfactualnya. Sesiapa yang mematuhi as-Sunnah maka mereka akan berjaya mendapat syurga. Tetapi, sesiapa yang enggan, yakni tidak mahu menerima ketetapan as-Sunnah, maka mereka masuk neraka. Jelaslah, sesiapa yang tergolong sebagai golongan yang diistilahkan 'aba' dalam hadith di atas tidak termasuk dalam golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu.
Dalam konteks lain pula, mereka yang membuat sesuatu yang tidak sejajar dengan yang dicontohkan atau ditunjukkan oleh Rasulallah (s.a.w), yakni as-Sunnah, bukanlah tergolong dalam golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah'. Oleh kerana itulah juga, umat Islam telah diperingatkan oleh Rasulallah (s.a.w) sebagaimana disebutkan dalam hadith-hadith berikut:
Sabda Rasulallah (s.a.w): Barangsiapa mengadakan pembaharuan dalam perkara aku (yakni, syariat ugama Islam) yang ianya (yakni, yang diperbaharui itu) bukan daripadaku (yakni, didatangkan daripadaku), maka dia (amalannya) ditolak (yakni, tidak diterima)] [Hadith Bukhari] dan, hadith berikut:
Sabda Rasulallah (s.a.w): [Maksud: Barangsiapa beramal dengan apa-apa amalan selain daripada perkara atau urusanku (yang didatangkan oleh aku, yakni as-Sunnah dan al-Quran), maka dia (yakni, amalannya atau ibadahnya) ditolak (yakni, tidak diterima).] [Hadith Muslim].
Kedua-dua hadith menyebutkan disqualification pada mereka yang ingin tergolong dalam 'ahlus sunnah wal-jama'ah', kerana sebarang amalan dan ibadah yang tidak dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) atau disuruh oleh Rasulallah (s.a.w) diibadah dan diamalkan adalah bercanggah dengan ketetapan dalam sabda Rasulallah (s.a.w) dalam dua hadith di atas itu. Hadith-hadith ini adalah sahih.
Sehubungan itu juga, mereka yang mempelajari as-Sunnah akan ketemui hadith yang menyebutkan bahawa 'semua pembaharuan dalam perkara ugama' adalah bid'ah, dan semua bid'ah adalah kesesatan dan semua kesesatan adalah tempatnya di dalam neraka. Oleh kerana itu mereka yang tergolong sebagai golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah' semestinya tidak akan mengamalkan atau mengerjakan sesuatu yang bercorak atau bersifat bid'ah, kerana hadith tersebut tidak menyebut sebarang pengecualian (exception) dalam perkara tersebut. Tiap-tiap pembaharuan adalah bid'ah, dan tiap-tiap bid'ah adalah kesesatan, dan tiap-tiap kesesatan adalah batil tempat mereka yang menganjurkannya, mengajarkannya dan mengamalkannya adalah di neraka.
Berpandukan ketetapan hadith-hadith tersebut, kiat dapat rumuskan dalam Islam dan syariatnya tidak ada 'bid'ah hasanah', semuanya dolalah (kesesesatan)!
Kita telah teliti satu ciri atau syarat prima (prime condition) seseorang atau sesuatu kumpulan orang Islam itu dapat diiktiraf sebagai golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah'. Cuba kita teliti hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Najih, iaitu al-Irbad bin Sariah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) menyampaikan suatu peringatan yang membuat gerun beberapa hati (yang mendengarnya) dan mengalirkan air mata beberapa mata (orang yang mendengar nasihat itu). Kami berkata: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Nasihat ini seolah-olah daripada seorang yang hendak meninggalkan kami. Apakah nasihat engkau kepada kami?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Diwajibkan atas kamu sekelian bertaqwa kepada Allah (a.w) dan dengan mendengar dan taat, jikapun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Barangsiapa di kalangan kamu yang panjang umurnya, akan melihat banyaknya perselisihan (di kalangan umat Islam mengenai ugama Islam). Maka diwajibkan atas kamu sekelian berpegang kepada sunnahku dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, maka gigitlah dia (yakni, berpegang teguhlah dengan sunnahku dan sunnah mereka) dengan gigi geraham (yakni, pegang kuat jangan lepaskan). Dan, berjaga-jagalah kamu dengan pembaharuan dalam perkara (atau urusan) ugama, dan sesungguhnya setiap pembaharuan adalah bid’ah, dan tiap-tiap bid’ah adalah kesesatan.’ [Hadith Abu Daud dan juga at-Termidzi, katanya hadith sahih]
Walaupun hadith ini ditujukan kepada sahabat-sahabat beliau, Rasulallah (s.a.w), dalam hadith tersebut, memperingatkan kita umatnya sepanjang zaman supaya berpegang teguh kepada as-Sunnah. As-Sunnah merangkumi sunnah beliau dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin. Kita disuruh pegang sekuat-kuatnya supaya jangan terlepas. Jika terlepas kita akan menyimpang dan tersesat. Yang paling utama menyesatkan umat Islam dari 'siratul mustaqim' adalah perkara berkaitan dengan bid'ah.
Sehubungan itu jugalah Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa di akhir zaman, yakni zaman selepas kewafatan beliau, umat Islam akan berpecah atau berfirqah atau bermazhab. Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa setelah Bani Israil ditinggalkan oleh Musa (a.s) dan para nabi selepas beliau, berpecah menjadi 72 golongan. Kemudian, setelah Isa (a.s) diangkat Allah (a.w) kelangit, kaum Nesrani pun berpecah belah menjadi 72 golongan pula. Kemudian, Rasulallah (s.a.w) memperingatkan umatnya, bahawa di akhir zaman nanti (sekarang sudahpun bermula), orang Islam yang mengakui dirinya Islam akan berpecah pula menjadi 73 golongan. Semuanya mengakui diri mereka berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dalam menganuti Islam (yakni, dalam memandu hidup mereka di dunia dan dalam mengerjakan amalan dan ibadah untuk mempersiapkan diri mereka untuk kehidupan selepas matinya). Tetapi, Rasulallah (s.a.w) berkata hanya satu golongan sahaja yang berjaya mendapat syurga, 72 golongan tersebut gagal mendapat syurga, tetapi merengkok masuk neraka. Bukankah suatu yang anih?
Tetapi, Rasulallah (s.a.w), apakala ditanya oleh para sahabat mengapa begitu akhirnya, Rasulallah (s.a.w) memberitahu hanya golongan yang berpandukan semata-mata sunnah beliau dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin yang berjemaah sahaja yang berjaya mendapat syurga. Kita rujuk dua hadith berikut:
Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Sesungguhkan di kemudian hari nanti akan berpecah-pecah umatku sebagaimana berpecahnya kaum Yahudi dan Nesrani dalam ugama mereka. Berpecah umatku menjadi 73 firqah (atau golongan atau mazhab), 72 golongan atau firqah atau mazhab masuk Neraka dan satu (sahaja) masuk Syurga.’ Maka bertanya para sahabat: ‘Siapa golongan yang satu itu, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Iaitu yang mengikut jalanku (yakni, sunnah beliau atau as-Sunnah) dan jalan sahabat-sahabatku yang benar lagipun diberi petunjuk oleh Allah (a.w) (yakni, ‘Khalifah ar-Rasyidin al-Mahdiyin’) (iaitu, Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali).’] [Hadith sahih riwayat at-Termidzi dll]
Pendeknya, Rasulallah (s.a.w) memberitahu 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu adalah 'Ma ana 'alaihi wa-ashabi' (apa-apa yang aku berpegang dengannya dan sahabatku). [Bersambung]
Jazakallahu khairah
susah betul nak cari kebenaran, lebih2 lagi bagi yg cetek ilmu macam i ni....
ReplyDeletenampaknya kena banyak cari maklumat lagi...
semoga Allah melindungi dari kesesatan
terima kasih utk pengkongsian ilmu,tp tertarik hadis yg menyebut bahawa," yg bid'ah tetap bid'ah..." adakah bd'ah hasanah pun dilarang??
ReplyDelete