Assalamualaikum,
penulis merasa terkilan jika tidak memberitahu pembaca dan saudara sesama Islam tentang Puasa Arafah ini. Walaupun agak terlambat, penulis perlu sampaikan juga demi kebajikan saudara sesama Islam (lelaki dan perempuan).
Insya Allah (a.w) sebagaimana yang telah diumumkan, jema'ah haji akan Wukuf di Arafah hari Khamis ini (esok) dan keesokan harinya, Jum'at, mereka akan bersolat Aidil Adha. Kali ini jema'ah haji berpeluang meraih pahala yang besar kerana Aidil Adha jatuh pada hari Jum'at - Haji Akbar.
Bagi kita yang tidak berada dalam jema'ah haji, disunatkan berpuasa hari Khamis (esok). Puasa ini memberi ganjaran pahala yang amat besar, jikalah niat kita berpuasa demi mencari keredhaan Allah (a.w). Kita lihat apa sabda Rasulallah (s.a.w) mengenai puasa ini:
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tiada daripada segala hari ‘amal yang soleh di dalamnya lebih suka kepada Allah (a.w) daripada ini sekelian hari sepuluh.’ Maka berkata mereka: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Dan tiada perang (jihad) di jalan Allah (a.w)?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan tiada perang (jihad) dalam jalan Allah (a.w) melainkan seorang lelaki yang keluar dia dengan dirinya (bersendirian) dan hartanya, maka tiada kembali dia daripada demikian itu dengan sesuatu (yakni, lebih baik daripada ‘amalan soleh dalam sepuluh hari awal Zulhijjah).’ [Hadith Bukhari dan hadith hasan sahih gharib at-Termidzi]
Besarnya pahala mengerjakan Puasa Arafah ini disebutkan di dalam hadith di atas itu, iaitu pahalanya melebihi pahala yang diperolehi oleh seseorang yang berjihad fi sabilillah dengan dirinya dan hartanya, yakni, dia berjihad kemudian hartanya habis dan terkorban - habis harta dan nyawanya.
Diriwayatkan hadith daripada Abdillah Ibni Ma’badin az-Zamani, daripada Abi Qatadah (r.a) berkata bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Adapun puasa hari Arafah sesungguhnya aku mencari di sisi Allah (a.w) apabila melebur Allah (a.w) (dosa-dosa) setahun yang sebelumnya dan setahun yang sesudahnya.’ [Hadith at-Termidzi, Kitab Saum]
Hadith di atas ini pula memberikan satu lagi kefhadalannya, iaitu Allah (a.w) melebur segala dosa (kecuali dosa-dosa besar) setahun sebelum Aidil Adha ini dan setahun selepas Aidil Adha ini pula. Puasa itu mengkifarahkan dosa-dosa mereka yang mengerjakannya demi mencari keredhaan Allah (a.w).
Diriwayatkan hadith daripada Abi Qatadah (r.a) katanya bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Puasa hari arafah sesungguhnya aku atas Allah (a.w) bahawa mengkifarahkan (yakni, melebur atau menghapuskan oleh Allah (a.w) dosa-dosa) (antara) tahun yang dahulunya (sampai) pada tahun yang kemudiannya.’ [Hadith hasan at-Temidzi]
Hadith yang ketiga di atas itu memberi kita tahu kefadhalan yang sama iaitu Allah (a.w) mengkifarahkan dosa-dosa kita dua tahun - dosa-dosa tahun lalu dan dosa-dosa tahun yang akan datang.
Pahala ini bergantung kepada keikhlasan kita mengerjakannya. Sesungguhnya semua amalan dengan niat. Niat yang benar itu adalah niat yang sejajar dengan firman Allah (a.w) dalam Ayat 57, Surah al-Isra': '...wa-yarjuna rahmatahu wa-yakhafuna 'azabahu ...'[maksud: Dan (kerana) mencari kerahmatan Allah (a.w) dan takutkan 'azab Allah (a.w)].
Mudah-mudahan kita mendapat ganjaran pahala yang disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) kerana mengerjakan Puasa Arafah ini pada hari Khamis ini, insya Allah.
Jazakallahu khairah.
Wednesday, November 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment