Wednesday, November 25, 2009

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Assalamualaikum,
Kita lanjutkan lagi perbincangan kita mengenai tajuk ini sebagai sambungan kepada post sebelum ini.

Tauliah dan Ilmu: Ketetapan JAIS

Di dalam akhbar Utusan Malaysia, disebutkan bahawa Pengarah JAIS telah bertemu dengan DYMM Sultan Selangor menyembahkan episod penangkapan bekas Mufti Perlis tersebut dan, rasanya, telah menasihatkan DYMM Sultan, apakah ketetapan yang terbaik dibuat. Keputusan yang dicapai adalah sesiapa yang ingin berdakwah kepada umat Islam negeri Selangor, termasuk hendak berceramah dan membaca khutbah, mestilah terlebih dahulu mendapat ‘tauliah’ dari JAIS. Itulah ketetapan pihak berkuasa ugama negeri Selangor. Dan, kerana itu bekas Mufti tersebut telah didakwa. Isunya apakah pihak JAIS bersedia mentauliahkan mereka yang berilmu yang memohon tauliah? Dilaporkan di dalam akhbar bahawa seorang pendakwah bebas lain, Dr Abdullah Yasin, beberapa kali memohon ditauliahkan, tetapi sehingga sekarang tidak berjaya. Soalnya: Apakah ilmu beliau mengenai Islam jauh lebih rendah? Atau, dia lebih jahil dari mereka di JAIS? Siapakah yang boleh dan mampu menilai ilmu seseorang yang memohon ditauliahkan?
Berhubung dengan soalan pertama, di Selangor, tauliah bukanlah suatu yang otomatis. Kemungkinan besar mereka yang ada ‘rekod buruk’ dengan JAIS tidak akan diberi tauliah. Contohnya adalah apakala Dr Abdullah Yasin dilaporkan berkali-kali memohon tetapi tidak diluluskan. Malahan, penulis rasakan oleh kerana Dr. Asri tidak lagi menjawat jawatan formal dalam kerajaan, jika dia memohonpun apakah kemungkinan besar beliau tidak ditauliahkan. Katanya, beliau sering mengkritik banyak pihak - Mufti negeri-negeri lain, jabatan-jabatan ugama Islam negeri lain, termasuklah JAIS. Malah beliau digam sebagai pengikut dan pendokong fahaman Wahabi. Anihnya, JAIS berpandangan atau berpendirian bahawa fahaman Wahabi bertentangan dengan fahaman perdana Mazhab as-Syafie sebagaimana yang diikuti di Malaysia, dan fahaman Wahabi, bukanlah sejajar dengan pemahaman ahlus sunnah wal-jam'ah yang difahami di Malaysia, yakni tidak sejajar dengan ketetapan golongan tersebut.
Sememangnya sifat ajali manusia, termasuklah, orang ugama sekalipun, tertakluk kepada pengaruh perasaan dan hawa nafsu mereka. Mudah tersinggung oleh komen dan kritikan dan pandangan yang berbeza. Oleh kerana itu kemungkinan besar dalam menimbangkan seseorang untuk ditauliahkan, hawa nafsu serta lain-lain pertimbangan yang batil akan mempengaruhi pemikiran serta keputusan yang rasional. Mereka pula berkuasa. Mereka mungkin akan mencari pelbagai helah untuk tidak membenarkan seseorang yang tidak sealiran atau memiliki ‘rekod buruk’ untuk berdakwah dalam negeri Selangor.
Menyentuh isu kedua pula, adalah suatu kemestian bahawa orang atau pihak yang menimbangkan dan meluluskan tauliah pastilah memiliki ilmu yang jauh lebih banyak dan lebih faqih tentang Islam dan syariatnya dari mereka yang hendak ditauliahkan. Maka dengan itulah Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis yang menggantikan Dr. Asri, disebutkan sebagai berkata: ‘Adakah logik mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya?’ Dalam konteks ini kita boleh bertanya, sebagai contoh, adakah pegawai-pegawai JAIS lebih faqih tentang Islam dan syariatnya, khususnya faqih dan mendalam ilmunya mengenai al-Quran dan as-Sunnah berbanding dengan, katalah, peronaliti seumpama Dr Asri, Dr. Juanda atau Dr Ridzuan Tee? Atau, adakah orang yang mendapat ilmu setelah mengaji al-Quran dan as-Sunnah beberapa tahun di pesantren atau sekolah ugama rakyat, kurang ilmunya berbanding dengan mereka yang memiliki Ph D dalam bidang ugama dari universiti ulong Islam seperti al-Azhar, Umul Qura, Jordan, atau Madinah dan seumpamanya? Bagaimana pula taraf mereka yang mendapat Ph D dalam bidang ‘Islamic Theology’ dari Universiti St Andrew di UK dan Temple University di USA? Mereka juga mengkaji al-Quran dan as-Sunnah. Apakah mereka a’lim tentang Islam dan syariatnya sebagaimana mereka yang memegang ijazah Ph D dari al-Azhar, Umul Qura, Madinah atau Jordan?
Yang utama dalam menimbangkan tauliah ini adalah dasar dan asas ilmu orang yang mentauliah dan orang yang ditauliahkan. Dalam konteks Islam dan syariatnya, ukuran ilmu dan relevannya ilmu, bukan bersandarkan ijazah Ph D, Sarjana (MA) atau BA dalam bidang ugama. Atau, mendapat ilmu dari institusi pengilmuwan tradisional seperti pesantren atau sekolah ugama rakyat atau sekolah pondok. Bukan juga mengkaji kitab-kitab karangan ilmuwan atau ulama’ secara berguru. Sumber ilmu yang haq itu adalah al-Quran dan as-Sunnah. Hendaklah dipelajari juga secara berguru. Allah (a.w) memberi kita tahu ilmu itu adalah apa yang disebutkan dalam Ayat 13 dan 14 Surah an-Nisa’, Ayat 7, Surah al-Haysr dan diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam sabda beliau, antaranya:
Sabda Nabi (s.a.w): [Maksud: Aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, tidak akan sesat kamu selama-lamanya (dalam mencari dan mendapat serta mengikuti siratul mustaqim, yakni mendapatkan syurga) (iaitu): Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan sunnah nabiNya (yakni, sunnah Rasulallah (s.a.w)) . [Hadith sahih at-Termidzi, Ahmad ibnu Hanbal, Ibni al-Asim, al-Hakim, at-Tobrani, ad-Dalamii dan al-Thahawi]
Kemudian, Rasulallah (s.a.w) secara khusus pula memberi kita tahu bahawa ilmu yang menjadikan seseorang itu ‘alim atau berilmu dalam konteks Islam adalah seperti sabdanya berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ass (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda:[Maksud: Bahawasanya ilmu yang wajib dipelajari itu adalah tiga, adapun di belakangnya (yakni, selepas atau selain ilmu yang tiga itu) maka ilmu tersebut baik (dipelajari): (Yang wajib) iaitu (pertama) ayat-ayat yang menghukum (yakni, al-Quran), (kedua) sunnah yang tegak (yakni, al-hadith atau as-Sunnah), dan (ketiga) hukum faraid yang adil][Hadith Abu Daud & ibnu Majah]
Kenapa? Segala sesuatu dalam Islam adalah tertakluk kepada ketetapan Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (yakni, as-Sunnah). Kerana Rasulallah (s.a.w) adalah ‘uswatun hasanah’ (model terbaik sebagai ikutan) mencontohkan bentuk-bentuk ibadah dan cara serta kaedah beribadah dan amalan. Beliau memberi panduan hakiki akhlak terbaik dan termulia orang Islam yang beriman. Justeru itu, tidak kira ijazah atau kelulusan apa atau sekolah mana seseorang itu belajar mengenai Islam dan syariatnya, sekiranya dia faqih dalam ilmu al-Quran dan as-Sunnah melalui suatu sistem pengajian formal yang ada gurunya, maka orang itu boleh diiktiraf ‘alim atau berilmu. Kefaqihan dalam al-Quran melibatkan sekurang-kurangnya tiga dimensi, iaitu membacanya dengan baik dari segi lagu dan sebutan, faham isi kandungan apa yang dibaca dan boleh mentafsirkan ayat-ayatnya berpandukan as-Sunnah. Dalam konteks kefaqihan dalam ilmu as-Sunnah pula, seseorang itu hendaklah khattam ‘Kuttubul Sittah’. Enam kitab tersebut adalah koleksi hadith-hadith utama yang memberitahu kita as-Sunnah dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin. Mereka yang memiliki ilmu sedemikian boleh dianggap berilmu dalam Islam dan mereka boleh menimbang kesahihan apa-apa yang hendak disampaikan atau yang disampaikan oleh mana-mana pendakwah. Justeru itu, merekalah berkelayakan yang haq menilai keilmuan seseorang itu tentang Islam dan syariatnya!
Sehubungan itulah, Allah (a.w) menyuruh kita hendaklah kita kerjakan atau lakukan atau cakapkan sesuatu hanya dengan kafaqihan kita mengenainya terlebih dahulu. Jangan bercakap sesuka hati atau sembarangan tentang sesuatu dalam kejahilan. Dengan itulah juga, Rasulallah (s.a.w) menyuruh supaya seseorang itu berilmu dahulu sebelum beramal atau hendaklah seseorang itu beramal dan bercakap dengan sandaran ilmu yang haq, iaitu ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah.
Sehubungan itu, yang utama kita beri perhatian adalah seseorang itu hanya betul-betul faqih tentang Islam dan syariatnya jika mereka faqih dalam ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Dua ilmu ini diwajibkan seseorang Islam itu mempelajarinya dan mengajarkan orang lain yang tidak tahu atau kurang berilmu tentangnya. Allah (a.w) mengingatkan hambaNya dengan firman: [Maksud: Janganlah kamu melakukan/berbuat sesuatu atau apa-apa yang tiada bagi kamu ilmu mengenainya.] [Ayat 36, Surah al-Isra']. Dan, Rasulallah (s.a.w) berpesan kepada kita dengan sabdanya: ’Al-ilmu qabla amal’ (Maksud: Hendaklah (kamu) berilmu dahulu sebelum (kamu) membuat sebarang amalan atau perbuatan dalam ugama] [Hadith at-Termidzi]. Ilmu itu amat penting, kerana seseorang yang Islam itu ingin berjaya mematuhi ketetapan Allah (a.w). Allah (a.w) berfirman: ‘Barangsiapa taatkan Allah (a.w) (yakni, ikuti ketetapan al-Quran) dan taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah) dimasukkan ke dalam syurga.’ [Ayat 13, Surah an-Nisa] dan supaya dapat dipatuhi firman Allah (a.w) iaitu: ’Barangsiapa menentang Allah (a.w) (yakni, tidak patuhi ketetapan al-Quran) dan menentang Rasulallah (s.a.w) (yakni, tidak patuhi ketetapan as-Sunnah) dan melanggar ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah (a.w) akan dimasukkan ke dalam neraka.’ [Ayat 14, Surah an-Nisa]. Dan, Allah (a.w) mewajibkan semua yang Islam mencontohi Rasulallah (s.a.w) dalam memandu kehidupan dunia dan dalam mengerjakan ibadah dan amalan kerana Rasulallah (s.a.w) adalah ‘uswatun hasanah’ (model ikutan terbaik). Tiada manusia yang lebih baik dari Rasulallah (s.a.w).
Firman Allah (a.w): {Maksud: Nescaya sungguh-sungguh ada bagi kamu sekelian dalam (segala sesuatu pada) Rasulallah (s.a.w) itu contoh terbaik bagi mereka yang berkehendakkan bertemu dengan Allah (a.w) (di akhirat kelak) dan (yakin dia tentang pertemuan mereka dengan Allah (a.w)) pada hari akhirat (yakni, hari pembalasan) dan (mereka sentiasa) mengingati Allah (a.w) sebanyak-banyaknya (dengan cara mengerjakan amal dan ibadah yang ditetapkan oleh Allah (a.w) dan RasulNya, meliputi amalan wajib dan amalan sunat)] [Ayat 21, Surah al-Ahzab]
Dan, hanya mereka yang mendapat syurga yang akan berkesempatan bertemu Allah (a.w) dan melihat wajah Allah (a.w), nikmat teristimewa di akhirat kelak. Allah (a.w) wajibkan umat Islam berpandukan as-Sunnah. Ini jelas sebagaimana diperintahkan dalam Ayat 7, Surah al-Haysr: ‘Dan apa-apa yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) (yakni, al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah kamu ambil, dan apa-apa yang ditegahnya (yakni, ketetapan al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah kamu tinggalkan.’ Allah (a.w) memberi jaminan bahawa sesiapa yang menetapi as-Sunnah, yakni taatkan Rasulallah (s.a.w), maka dia telah mentaati Allah (a.w). Orang-orang yang beriman itu sentiasalah dia menjadikan as-Sunnah panduannya dalam semua perkara dan patuhi peraturan as-Sunnah. Kerana dengan kepatuhan sedemikian itu dia telah, secara otomatis, mematuhi ketetapan Allah (a.w).
Allah (a.w) berfirman:[Maksud: Barangsiapa taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah) sungguh-sungguh mereka telah mentaati Allah (a.w) (yakni, ikuti ketetapan al-Quran)’ [Ayat 80, Surah an-Nisa’]
Justeru itu juga, ilmu seseorang itu mengenai Islam dan syariatnya hendaklah dinilai dalam konteks kefaqihan dalam ilmu as-Sunnah. As-Sunnah memberitahu segala sesuatu bagaimana hendak mengikuti Rasulallah (s.a.w) sebagai ‘uswatun hasanah’ dalam menjalani kehidupan dunia yang diredhai Allah (a.w) dan berjaya diakhirat mendapat kerahmatan Allah (a.w). Islam dan syariatnya bukanlah bahan kajian akademik. Islam dan syariatnya bukanlah sesuatu yang sentiasa mengalami evolusi sebagaimana ilmu duniawi. Islam dan syariatnya telah ditetapkan oleh Allah (a.w) dan disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w). Apabila Rasulallah (s.a.w) diwafatkan, maka sempurnalah Islam dan syariatnya. Maka dengan itu jugalah Rasulallah (s.a.w) adalah ‘Rasul terakhir’ dan ‘Penutup para nabi’ (khattamal nabiyin) yang disebutkan dalam al-Quran. Walaupun Islam dan syariatnya sudah sempurna, tetapi ilmu manusia itu yang belum sempurna! Oleh kerna itulah ramai mereka yang bergelar ulama’ dan ilmuwan Islam bercakaran kerana masing-masing belum sempurna ilmunya tentang Islam dan syariatnya. Pastilah berdebatan antara orang yang sama-sama jahil tidak ada penamatnya. Kalau mereka benar-benar faham tentang Islam dan syariatnya, pastilah wujud kesamaan antara mereka. kerana sumbernya satu, iaitu as-Sunnah.
Setelah kita rumuskan isu-isu utama tentang ilmu dan siapa yang boleh diakui berilmu, kita lihat pula ketetapan Islam selanjutnya. Rasulallah (s.a.w) memperingatkan kita yang Islam dalam hadith berikut sebagai mengulangi perintah Allah (a.w) dalam Ayat 80, Surah an-Nisa tersebut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa mentaati aku maka sungguh-sungguh dia mentaati Allah (a.w). Dan, barangsiapa engkar (atau, melanggar) perintahku, maka sesungguhnya dia derhaka kepada Allah (a.w). Dan, barangsiapa mentaati pembesar (amir atau imam) aku, maka sungguh-sungguh dia mentaati aku, dan barangsiapa mengengkari (atau, melanggar) perintah pembesar (amir atau imam) aku, maka sungguh-sungguh dia engkar (atau, melanggar perintahku.’ [Hadith Bukhari]
Kesemua ini hanya boleh dipatuhi dengan mempelajari al-Quran (bukan setakat membacanya dan melagukannya) dan mempelajari ilmu as-Sunnah. Kerana, segala bentuk amalan dan ibadah, cara dan kaedah beribadah dan beramal serta akhlak kamil seorang Muslim dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), yakni as-Sunnah. Maka yang utama bagi sebuah badan pentadbiran jemaah umat Islam dan para ilmuwan Islam adalah mengajarkan dua ilmu tersebut, terutama ilmu as-Sunnah. Jika mereka yang diberi tanggung jawab mengurus umat Islam dan mengilmukan umat Islam sendiri masih jahil atau deficient dalam kedua-dua ilmu tersebut, manakan mungkin mereka boleh memainkan peranan dan menjalankan fungsi tersebut sebaik mungkin. Namun, jika mereka kekurangan ilmu, tindakan yang wajar adalah mencari ilmu dan memperlengkapkan diri dengan ilmu yang haq atau mendapatkan bantuan serta sokongan orang lain yang berilmu untuk membantu. Yang penting ilmu itu hendaklah sah dan disandarkan kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, bukan disandarkan kepada pandangan manusia’ kecualilah manusia yang kita rujuk itu faqih dalam dua ilmu tersebut.
Dalam konteks ini, kita pasti merasa terkilan kerana, pihak berkuasa ugama dan pendakwah suka melabel seseorang tanpa bersandarkan ilmu. Maksudnya, jika sesuatu perlakuan atau perbuatan itu menyanggahi atau bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, maka seseorang Islam itu berhak melarang dan menegur. Jika, sesuatu yang diperkatakan atau yang dianjurkan itu menepati al-Quran dan as-Sunnah, pastilah kata-kata itu adalah haq dan ajakan itu boleh dijadikan panduan kerana wujud kebenarannya kerana menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Prinsip inilah yang sepatutnya dijadikan panduan oleh semua pihak. Bukan menegur seseorang bersandarkan pandangan kemazhaban atau aliran atau kerana pertimbangan selainnya. Atau, kerana kita pernah atau sering disinggung oleh seseorang. Teguran dalam Islam adalah nasihat. Allah (a.w) menyebut di dalam al-Quran bahawa nasihat menasihati sesama orang Islam mendatangkan kesedaran, kebaikan dan kemanfaatan.

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

No comments:

Post a Comment