Thursday, November 26, 2009

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Assalamualaikum,
saudara kita sambut lagi ketetapan as-Sunnah mengenai isu yg diperdebatkan ini selanjutnya.

Menggerak-gerakan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud

Dilaporkan dalam Utusan Malaysia bahawa seorang penyelidik JAIS telah mengkaji bentuk-bentuk amalan yang dikatakan mengikut fahaman Wahabi. Antaranya, kata beliau, menggerak-gerakan jari telunjuk ketika Tasyahhud. Bagi mereka yang telah mempelajari ilmu as-Sunnah, mereka akan temui dua kaedah perlakuan ketika Tasyahhud (yakni, memebaca Tahiyat) itu: pertama, mengangkat jari telujuk lurus ke atas, seolah-olah menunjuk ke arah depan. Ini adalah perlakuan yang lazim di kalangan orang Melayu. Kedua, ketika Tasyahhud, Rasulallah (s.a.w) ‘membuat isyarat’ dengan telunjuknya menggerak-gerakkannya turun naik sehinggalah tamat, yakni berhenti ketika memberi ‘Salam’.
As-Sunnah menyebutkan Rasulallah (s.a.w) ada ketikanya menggerak-gerakan jari telunjuknya ke atas ke bawah ketika bertasyahhud (tahiyat) akhir dalam solat. Ada ketikanya juga Rasulallah (s.a.w) tidak menggerak-gerakan jari telunjuknya, dan hanya mengangkatnya sahaja. Justeru itu, perlakuan menggerak-menggerakkan jari yang disebutkan oleh Zaharuddin itu sebenarnya adalah amalan as-Sunnah.
Diriwayatkan hadith daripada seorang daripada para tabi’in yang dipercayai riwayatnya namanya Abbas bin Sail al Sai’di katanya: ‘Telah berkumpul Abu Hamid (Abdul Rahman bin Said bin Munzar), Abu Said (Malik bin Rabi’at), Sahil bin Saad dan Muhammad bin Musalmat, di dalam mereka itu bermuzakarah mereka (yakni mengingatkan masa mereka bersama Nabi (s.a.w) solat berjemaah) sebagaimana kata Abbas: ‘Maka mengingat-ingatkan mereka itu akan solat Rasulallah (s.a.w), [yakni masing-masing berkata solatnya begini-begini dan kata seorang demikian pula menyungguhkan atau menambah tahkiknya]. Maka didalam hal demikian berkatalah Abu Hamid Abdul Rahman bin Saad bin Munzar as-Saadi as-Syaari (r.a): ‘Aku lebih ingat daripada kamu sekelian dengan solat Rasulallah (s.a.w).’ [Mengikut tambahan pada riwayat Abu Daud (r.a) katanya]: ‘Kata mereka itu kerana apa kamu lebih ingat daripada kami? Maka demi Allah (a.w)! Tiada ada engkau lebih daripada kami mengikutinya, dan tiada pula engkau lebih dahulu daripada kami menjadi sahabatnya dan bertambah bagi tahari pula.’ ‘Kata seorang dari mereka: ‘Dari mana kamu lebih ingat daripada kami?’ Jawabnya (Abu Hamid): ‘Aku perhatikan sungguh-sungguh akan solat Nabi (s.a.w) itu hingga aku hafaz akan dia.’Kata Abu Hamid: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah aku lihat duduknya, yakni duduk bagi tahiyat maka menghampar dia (yakni melipat dia) akan kakinya yang kiri, dan memperhadapkan ia dengan hadapan kaki kanannya (yakni jari-jari kaki kanannya) dihalakannya ke qiblat dengan didirikannya, dan ia meletakkan duduknya (yakni, ponggong sebelah kiri) atas lipat kaki kiri, dan meletak ia akan tapak tangan kirinya atas lutut kirinya, dan meletakkan ia akan tangannya yang kanan itu atas lututnya yang kanan dengan menggenggamkan segala jarinya yang kanan kecuali jari telunjuk’ [sebagaimana kata Abu Hamid], dan mengisyarat ia dengan jarinya, yakni dengan telunjuknya. (dengan jari telunjuknya ke atas ke bawah – penjelasan ulama’ hadith).’ [Hadith Hassan lagi sahih, at-Termidzi]
Jelaslah bahawa bukanlah amalan tersebut berupa ijtihad para alim ulama’ mazhab atau fahaman tertentu, tetapi adalah suatu perlakuan yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Dengan itu, kita ada dua pilihan tentang kedudukan jari telunjuk ketika membaca Tahiyat dalam solat.
Hadith di atas adalah nas dan dalil hadith tentang perlakuan Rasulallah (s.a.w) ketika mengerjakan tahiyat akhir, menggerak-gerakkan jari telunjuknya seumpama 'mengisyarat' (dijelaskan oleh ulama' muhadithin, Rasulallah (s.a.w) menggerak-gerakkan telunjuknya naik-turun sehinggalah dia memberi 'salam'). Jelaslah, perlakuan tersebut bukanlah ijtihad pemimpin fahaman Wahabi, tetapi adalah perlakuan Rasulallah (s.a.w). Jelaslah, kita diberi dua pilihan: satu, mengangkat telunjuk menunjuk ke depan, atau kedua, mengangkatnya naik-turun seolah-olah memberi isyarat, ketika Tahiyat Akhir.
[Nota: Penulis bukanlah pengikut aliran Wahabbi, tetapi pengikut 'ahlus sunnah wal-jama'ah', kerana mengikut ketetapan Rasulallah (s.a.w) 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu adalah mereka yg Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah,dan golongan ini menepati ketetapan as-Sunnah; iaitu: pertama, mereka jadikan as-Sunnah ilmu mengenai Islam dan syariatnya dan sebagai panduan amalan dan ibadah; dan kedua, mereka juga anuti Islam secara berjema'ah. Tidak dapat dipastikan apakah fahaman Wahabbi itu memenuhi syarat kedua tersebut. Yg pasti mereka ikuti as-Sunnah.]

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

No comments:

Post a Comment