Wednesday, November 25, 2009

Ibadah Qurban

Assalamualaikum,
Mungkin tidak terlambat jika kita teliti suatu amalan yang amat besar pahalanya di sisi Allah (a.w) dalam bulan Zulhijjah ini, iaitu amalan qurban.
Amalan qurban ini adalah dikerjakan mengambil contoh ketaatan Nabi Ibrahim (a.s) yang diperintah oleh Allah (a.w) melalui wahyu supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail (a.s), ketika Ismail (a.s) berusia 12 tahun. Peristiwa ini disebutkan dalam Surah al-Hajj. Kemudian amalan qurban ini disebutkan sebagai perintah Allah (a.w) dalam Surah al-Kauthar.
Ramai orang mengerjakan qurban, tetapi ramai juga mereka yang mengerjakan qurban itu terlibat dalam perasaan riak dan ujub diri. Kita diperingatkan oleh Allah (a.w) banyak kali dalam al-Quran bahawa setiap amalan yang dikerjakan dicemari oleh perasaan riak tidak mendapat sebarang ganjaran pahala. Kita akan teliti isu riak dan ujub diri ini disuatu masa yang sesuai. Kerana, ia melibatkan bukan sahaja amalan berkurban tetapi dalam semua dimensi ibadah dan amalan. Buat masa ini, kita fokuskan perhatian kita kepada pahala mengerjakannya.Cuba kita teliti hadith berikut:
Dari Aisyah (r.ah) (berkata dia): ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah bersabda: ‘Tidak beramal anak Adam dari (suatu) amalan pada hari (yakni, hari raya Aidil Adha) yang lebih disukai oleh Allah (a.w) (selain) daripada mengalirkan darah (yakni, menyembelih Qurban). Sesungguhnya (bagi mereka yang) berqurban nescaya pada hari Qiamat (kelak) dimana tanduknya dan bulunya dan kukunya (sampai kepadanya berbentuk pahala), dan sesungguhnya sebelum jatuh darahnya (ke bumi) nescaya daripada Allah (a.w) (mendapat ganjaran pahala). Maka bersenanglah (bergembiralah) sekelian kamu dengan Qurban bagi dirinya.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Hadith di atas itu menyebutkan sebelum jatuh darah binatang qurbannya ke bumi sudah dikira pahalanya untuknya (yang mengerjakan qurban). Maka Rasulallah (s.a.w) menyuruh umatnya supaya mengerjakan qurban kerana amalan itu sangat disukai Allah (a.w) dikerjakan oleh hambaNya.
Daripada Zahid bin Arqam (r.a) berkata dia: ‘Berkata seorang sahabat Rasulallah (s.a.w)(bertanya kepada beliau): ‘Ya, Rasulallah (s.a.w), apakah ini beberapa Qurban?’. Menjawab Rasulallah (s.a.w): ‘Telah disunatkan oleh bapa kamu sekelian Nabi Ibrahim (a.s) (Nota: peristiwa perintah Allah (a.w) kepada Nabi Ibrahim (a.s) untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail (a.s) sebagai menguji ketaatnya terhadap perintah Allah (a.w), yang kemudiannya digantikan dengan seekor qibas (oleh Allah (a.w)) semasa hendak menyembelihnya)’. Maka berkata sahabat lagi: ‘Maka apakah bagi kami (yakni, kefadhalan atau kebaikannya) dalam Qurban, ya Rasulallah (s.a.w)?’
Maka dijawab Rasulallah (s.a.w): ‘Dengan tiap-tiap sehelai rambut (yakni, bulu binatang Qurban itu) satu kebaikan (yakni, pahala dari Allah (a.w)’. Bertanya lagi sahabat tersebut: ‘Maka bagaimana pula dengan bulu-bulu halusnya, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Dijawab oleh Rasulallah (s.a.w):
‘Tiap-tiap satu rambut dari bulu halusnya satu kebaikan.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Hadith di atas itu menyebutkan juga bahawa kiraan pahala qurban itu termasuk juga bulu-bulu halus ternakan qurban tersebut.
Bagi kita yang pernak menyaksikan upaca menyembelih qurban itu, mungkin kita mendengar orang yang menyembelih itu membaca sesuatu, yakni lafaz kalimah semasa menyembelih. Di dalam hadith berikut kita diberitahu apakah kalimah-kalimah yang dibaca Rasulallah (s.a.w) dan kaedah menyembelih ternakan qurban itu. Yang wajib dibaca adalah kalimah 'Bismillah, Allahu Akbar' sahaja. Tidak perlu membaca lain-lain kalimah. Kita diperingatkan oleh Allah (a.w) bahawa Rasulallah (s.a.w) itu adalah 'uswatun hasanah' (model terbaik bagi orang islam), maka ikuti apa yang dilakukannya, janganlah kita menambah kepada kalimah-kalimah yang dibaca. Kerana ditakuti kita melakukan sesuatu yang bersifat bid'ah pula.
Qatadah (r.a) menyebutkan bahawa Anas bin Malik (r.a) menceritakan kepadanya suatu hadith yang (kata Annas) daripada Nabi (s.a.w): ‘Sembelihlah Qurban dua ekor kibas yang kedua-duanya bertanduk dan gemuk badannya’, (maka) memijak Nabi atas lembong (yakni, perut) badan kedua-dua kambing itu, dan menyembelih dia kedua-duanya, dengan membaca ‘Bismillah’ Nabi dan membaca ‘Takbir’ (yakni, Allahu Akbar) Nabi.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Hadith di atas juga mnenyebutkan perkara yang sama.
Daripada Jabir bin Abdullah (r.a.) berkata dia: 'Telah datang kami atas Rasulallah (s.a.w) semasa (Aidil) Adha pada tempat bersolat. Maka ketika selesai Nabi pada khutbahnya maka turun dari mimbarnya dan diberikan (kepadanya) seekor kambing (kibas) maka menyembelih Rasulallah (s.a.w) dengan tangannya sendiri dengan menyebut: ‘Bismillah, Wallahu Akbar’ atas ini Qurban dariku dan dari orang-orang yang belum menyembelih Qurban dari umatku’'. [Hadith sahih Abu Daud]
Kaedah atau cara menyembelih qurban itu diberitahu melalui hadith berikut:
Diriwayatkan daripada isteri Nabi (s.a.w), Aisyah (r.ah) bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah memerintahkan dengan (yakni, dibawa) seekor kibas yang bertanduk, berwarna hitam dan tidak cacat pada kambing itu dan melihat pada keadaan (atau sifat) kibas itu, maka diberi kepada Nabi dengan kambing kibas itu supaya Nabi menyembelih pada kibas itu. Maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Ya Aisyah, bawakanlah pisau.’ Kemudian bersabda pula: ‘Tajamkanlah pisau dengan batu (pengasah pisau).’ Maka mengerjakan Aisyah (r.ah) (seperti yang disuruh), kemudian mengambil Nabi akan pisau maka mengambil Nabi akan kambing itu, maka ditidurkan oleh Nabi kambing itu, kemudian menyembelih kambing itu dengan membaca ‘Bismillah, Allahumma Taqabbal baina Muhammad, wa aali Muhammad, wamin ummati Muhammad’ [Maksud: Dengan nama Allah (a.w). Wahai Tuhan kami! Engkau (Allah (a.w) terimalah (Qurban) dari Muhammad (s.a.w) dan daripada ahli rumah Muhammad (s.a.w), dan daripada umat Muhammad (s.a.w)] kemudian menyembelih Nabi kibas Qurban itu.' [Hadith Imam Muslim]
Sehubungan ini, kita sering diberitahu bahawa jika kita kurang mampu untuk berkurban dengan seekor ternakan, kita dibolehkan berkongsi tujuh orang bagi seekor lembu. Ada orang mentafsirkan bahawa perkongsian ternakan qurban tidak boleh kurang atau lebih dari tujuh bahagian. Inilah ketetapan mereka yang mengikuti fahaman as-Syafie. Apa kata as-Sunnah?
Sepotong hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) yang berkata: ‘Ada kami berserta Rasulallah (s.a.w) semasa dalam perjalanan (musafir) maka datang hari raya Qurban maka berkongsilah kami dalam mendapatkan seekor unta (untuk Qurban) - berkongsi seekor unta sepuluh orang dan seekor lembu berkongsi tujuh orang.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Hadith di atas ini memberitahu seekor unta dikongsi 10 orang dan seekor lembu dikongsi 7 orang.
Ramai para ulama' dan ilmuwan Islam membuat ketetapan bahawa itulah formula perkongsian yang dibenarkan oleh Islam. Sebenarnya, hadith itu tidak menetapkan sesuatu ketetapan hukum tetapi memberitahu bahawa perkongsian bagi seekor unta itu hendaklah 10 orang atau seekor lembu itu dikongsi oleh 7 orang. Dalam kes ini terdapat 10 orang berkongsi menyembelih seekor unta qurban dan ada 7 sahabat lain berkongsi menyembelih seekor lembu. Sebenarnya, Islam tidak menyaratkan formula tersebut. Islam menggalakkan umatnya menyembelih qurban. Jika seekor lembu itu tidak mampu dikongsi oleh 7 orang, maka lebih dari 7 orang boleh berkongsi membeli seekor lembu dan menyembelihnya. Oleh kerana pahala qurban itu amat banyak, maka tidaklah adil jika ibadah qurban ini terhad kepada mereka yang berada sahaja. Orang miskinpun boleh menyembelih qurban - seumpama berkongsi 20 orang seekor lembupun digalakkan dalam Islam.

Jazakallahu khairah.

No comments:

Post a Comment