[Sambungan ...]
Mazhab dan Aliran atau Ikutan
Saya tertarik dengan komen YB Datuk Dr Mashitah, Timbalan Menteri di JPM, bahawa tiada fatwa yang menyebut bahawa ‘aliran Wahabi’ itu aliran sesat atau menyimpang dari Islam. Namun, beliau menyebut kekhuatiran pihak berkuasa ugama Islam dikebanyakan negeri di Malaysia, jika fahaman Wahabi ini dibenarkan, diajar dan dikembangkan di Malaysia kerana mungkin mengelirukan umat Islam di Malaysia. Inilah pandangan para ilmuan dan tokoh-tokoh ugama di Malaysia. Jika fahaman Wahabi tidak sesat dan tidak menyimpang dari akidah dan ketetapan Islam, ianya dilarang kerana umat Islam telah diwajibkan oleh pihak berkuasa ugama negeri supaya ikuti hanya satu fahaman, yakni fahaman mazhab as-Syafie. Justeru itu, dapat kita rumus dan simpulkan bahawa di Malaysia ini orang Melayu hanya dibolehkan anuti Islam mengikut fahaman kemazhaban, khususnya mazhab as-Syafie.
Soalnya: Adakah fahaman mazhab lain seperti Hanbali, Hanafi dan Maliki itu dilarang orang Melayu anuti? Wallahu ‘alam. Setahu penulis, tiada ketetapan sedemikian. Malah segolongan besar ilmuwan Islam akui bahawa keempat-empat mazhab yang utama ini diakui oleh majoriti para ulama’ sebagai tergolong dalam istilah atau definasi ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Tetapi, dalam perdebatan yang berkaitan dengan isu mazhab dan aliran ini, aliran Wahabi tidak diakui atau diragui oleh pentadbir ugama di Malaysia sebagai tergolong dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Jika sesuatu aliran itu tidak termasuk dalam golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah', adakah Islamnya diterima Allah (a.w)? Kita telah teliti sabda Rasulallah (s.a.w) bahawa di akhir zaman kelak umat Islam berpecah menjadi 73 golongan atau mazhab, 72 golongan atau mazhab masuk neraka, yakni tidak berjaya mendapat syurga, dan hanya satu golongan sahaja yang mendapat syurga. Golongan yang satu yang mendapat syurga itu adalah mereka yang menepati sabda Rasulallah (s.a.w): 'Ma ana 'alaihi wa-ashabi', khususnya mereka yang berpandukan sunnah Rasulallah (s.a.w) dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin dan mereka Islam secara berjema'ah. Pendeknya, jika bukan tergolong sebagai 'alus sunnah wal-jama'ah' maka mereka termasuk dalam 72 golongan yang gagal mendapat syurga.
Anihnya pula, semua umat Islam di Malaysia dan di merata dunia menunaikan haji dan umrah di Mekah. Para ulama' menyatalan umat Islam di Saudi Arabia itu mengikuti 'fahaman Wahabi'. Jika begitu pengikut mazhab as-Syafie, bersolat di belakang imam Wahabi! Jadi bagaimana? Terbatal segala amalan dan ibadah semasa berhaji atau menunaikan umrah?
Semasa menjawab soalan Parlimen menyentuk episod penangkapan bekas Mufti Perlis itu, YB Timbalan Menteri tersebut menyokong keputusan JAIS supaya mereka yang ingin berdakwah dalam Selangor perlu mendapat 'tauliah' JAIS. Dalam konteks fahaman kemazhaban YB Datuk Dr Mashitah menyatakan tiada ketetapan Jemaah Mufti, atau fatwa, yang memutuskan bahawa aliran atau ajaran Wahabi itu sesat ataupun menyanggahi fahaman ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Jika fahaman Wahabi itu tidak sesat dan sejajar pula dengan golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah', mengapakan ditegah fahaman tersebut disebarkan? Jawapannya: pihak berkuasa ugama di Malaysia tidak memberi kebebasan kepada umat Islam memilih mazhab. Orang Melayu di'wajibkan' mengikuti fahaman mazhab as-Syafie sahaja. Tiada pilihan lain.
Sebenarnya tidak ada faedahnya berdebat tentang mazhab. Kerana dalam Islam tiada mazhab atau golongan-golongan tertentu dalam mengabdikan diri kepada Allah (a.w). Yang perlu diutamakan adalah manusia itu Islam dan mengabdikan diri mereka kepada Allah (a.w) dengan panduan yang satu iaitu panduan al-Quran dan as-Sunnah> Pendeknya mengikuti ketetapan as-Sunnah, yakni mencontohi Rasulallah (s.a.w) dalam semua perkara. Maka dengan itulah sesiapa sahaja yang menetapi perintah Rasulallah (s.a.w) supaya ikuti as-Sunnah (sunnah beliau dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin) dan berada dalam Islam secara berjemaah, maka mereka menepati perintah Allah (a.w) dan suruhan Rasulallah (s.a.w). Mereka dijamin mendapat syurga. Pematuhan kepada ketetapan mazhab tidak menjamin syurga!
Sehubungan dengan itu 'as-sunnah wal-jama'ah' sahaja brand Islam yang sah dan haq. Lain-lain brand Islam mengundang kecelakaan dan padah. Ini yang amat utama kita yang Islam itu beri perhatian dan tumpuan. Sesiapa yang mendalami ilmu as-Sunnah akan tahu bahawa ajaran tokoh-tokoh ulama' terdahulu seumpama Imam as-Syafie, Imam Ahmad ibnu Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, yang kononnya menjadi pengasas kepada mazhab masing-masing, tidak bertentangan dengan as-Sunnah. Mereka juga adalah ulama' muhadithin - pengumpul hadith, sebagaimana Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam an-Nasa'i, Imam Abu Daud, Imam at-Termidzi, dan Imam ibnu Majah, yang terkenal sebagai ulama' muhadithin yang tertinggi kedudukan mereka. Malah mereka berpesan kepada pengikut-pengikutnya supaya ketepikan pandangannya yang didapati bertentangan dengan atau berlainan dari ketetapan as-Sunnah. Apa yang kita amalkan hari ini, sebahagiannya, adalah bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Malah sudah semakin banyak yang berlainan dari as-Sunnah. Ini semua tambahan oleh para ilmuwan dan ulama' kemazhaban yang taksub kepada fahaman kemazhaban, sehingga telah mengubah ajaran imam-imam tersebut. Justeru itu, untuk memastikan kita beribadah dan beramal dengan selamat - berjaya mendapat syurga dan terselamat dari neraka - hendaklah kita ikuti ajaran as-Sunnah sahaja. Itu pilihan yang bijak. Pilihan selainnya adalah batil. Inilah maksud sabda Rasulallah (s.a.w): sesiapa yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah pasti masuk syurga itu [Ayat 13, Surah an-Nisa'] (sila rujuk hadith di bawah nanti).
Sebelum kita bincangkan dengan panjang lebar siapakah atau golongan manakah tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’, kita lihat hadith berikut. Rasulallah (s.a.w) dalam sepotong hadith menyebut:
Sabda Nabi (s.a.w): (Taraktu fikum amraini ma in tamasaktum bihima lan tadillu, kitaballahi wasunnati nabiyi) [Maksud: Aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, tidak akan sesat kamu selama-lamanya (dalam mencari dan mendapat serta mengikuti siratul mustaqim, yakni mendapatkan syurga) (iaitu): Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan sunnah nabiNya (yakni, sunnah Rasulallah (s.a.w)) . [Hadith sahih at-Termidzi, Ahmad ibnu Hanbal, Ibni al-Asim, al-Hakim, at-Tobrani, ad-Dalamii dan al-Thahawi]
Hadith ini telah kita rujuk sebelum ini di awal perbincangan kita dalam tajuk ini. Ini adalah jaminan Rasulallah (s.a.w). Jaminan itu: Jika kita ikuti al-Quran dan as-Sunnah, kita pasti tidak akan sesat. Dan, kita pasti mendapat syurga di akhirat kelak. Itu jugalah jaminan Allah (a.w) kepada hambaNya (rujuk Ayat 7, Surah al-Haysr dan Ayat 13 dan 14 Surah an-Nisa'). Seterusnya, cuba kita teliti dan halusi golongan manakah dapat diiktiraf sebagai golongan ‘ahlus sunnah wal-jama’ah berpandukan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Ada dua ciri hakiki golongan ini: pertama, ‘ahli as-Sunnah’ (yakni, mereka berpandukan as-Sunnah) dan kedua, ‘ahli jema’ah’ (yakni, mereka menganuti Islam dalam beramal dan beribadah dan dalam hubungan sesama mereka dalam jema'ah). Golongan ‘ahlus sunnah wal-jama’ah’ itu hendaklah menepati dua ciri, malah pra-syarat atau precondition, tersebut.[Nota: Malangnya hari ini, rata-rata para ulama' dan ilmuwan Islam menolak sabda Rasulallah (s.a.w) ini. Mereka mendahlukan mazhab dan mengkemudiankan as-Sunnah! Adakah mereka ini Islam atau benar-benar Islam? Mereka sendiri faham maksud soalan ini. Sesiapa yg menolak as-Sunnah pastilah tidak islam, Ayat 13, Surah an-Nisa'].
Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]
No comments:
Post a Comment