Assalamualaikum,
Semua yang Islam di Malaysia pasti telah mendengar kalimah 'bid'ah'. Bid'ah adalah suatu amalan atau ibadah atau perlakuan yang bersifat keugamaan atau separa keugamaan yang menjadi amalan lazim umat Islam di Malaysia hari ini. Amalan ini dikatakan adalah sebahagian dari tuntuan mazhab as-Syafie. Bagi mereka yang sering mengikuti perdebatan tentang 'bid'ah' ini, mereka sering terdengar para ulama' dan ilmuwan Islam menyebut tentang 'bid'ah hasanah'. Para ulama' arus perdana (mainstream) di Malaysia, malah di rantau Nusantara ini, yakin bahawa walaupun Rasulallah (s.a.w) (yakni, Islam) melarang mengamalkan dan menyemarakkan bid'ah, tetapi mereka kuat berpegang kepada wujudnya dua jenis bid'ah, iaitu satu 'bid'ah dolalah' (sesat, yakni yang dilarang) dan 'bid'ah hasanah' (baik, yakni yang dibolehkan). Kata mereka, Rasulallah (s.a.w) melarang 'bid'ah dolalah' tetapi, 'bid'ah hasanah' di bolehkan oleh Islam, kerana ada suatu amalan yang baik dan mendatangkan pahala.
Penulis tidak akan debatkan di sini, tetapi akan dihuraikan suatu masa nanti dengan panjang lebar tajuk 'Pembaharuan dalam Ugama' ini.
Hari ini penulis akan muatkan hadith-hadith - sehari satu hadith -menyentuh ketetapan Rasulallah (s.a.w) tentang 'bid'ah'. Di dalam as-Sunnah, bagi mereka yang faqih dan faham as-Sunnah, Rasulallah (s.a.w) tidak menyebut adanya pengecualian apabila beliau menyebut tentang 'bid'ah'. Rasulallah (s.a.w) menghukum tiap-tiap pembaharuan dalam amalan dan ibadah adalah 'bid'ah' dan tiap-tiap bid'ah adalah kesesatan dan tiap-tiap kesesatan tempat orang yang beramal dan mengembangkannya adalah neraka, wal iyazubillah. Terpulanglah kepada pembaca membuat pendirian sendiri.
Apabila mati seseorang anak Adam, hanya dua tempat menjadi pilihan, mengikut firman Allah (a.w) dalam Ayat 7, Surah as-Syura: ‘... fariqum fil-jannati, wa-fariqun fis-sa’iri ... ) [Maksud: segolongan (kamu) masuk syurga, dan segolongan (kamu) masuk neraka ... ] [Ayat 7, Surah asy-Syura]. Pilihlah sendiri. Tiada jalan tengah. Dalam hadith berikut, Rasulallah (s.a.w) peringatkan kita tentang 'bid'ah' ini. Membuatnya, mengamalkannya dan mengembangkannya mengundang tiket masuk ke neraka.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Najih, iaitu al-Irbad bin Sariah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) menyampaikan suatu peringatan yang membuat gerun beberapa hati dan mengalirkan air mata beberapa mata (orang yang mendengar nasihat itu). Kami berkata: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Nasihat ini seolah-olah daripada seorang yang hendak meninggalkan kami. Apakah nasihat engkau kepada kami?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Diwajibkan atas kamu sekelian bertaqwa kepada Allah (a.w) dan dengan mendengar dan taat, jikapun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Barangsiapa di kalangan kamu yang panjang umurnya, akan melihat banyaknya perselisihan (di kalangan umat Islam mengenai ugama Islam). Maka diwajibkan atas kamu sekelian berpegang kepada sunnahku dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, maka gigitlah dia (yakni, sunnahku dan sunnah mereka) dengan gigi geraham (yakni, pegang kuat jangan lepaskan). Dan, takutilah pembaharuan dalam perkara (atau urusan ugama), dan sesungguhnya tiap-tiap pembaharuan adalah bid’ah, dan tiap-tiap bid’ah adalah kesesatan.’ [Hadith Abu Daud dan juga at-Termidzi, katanya hadith sahih]
Peselisihan sedemikian akan berlaku dari masa ke semasa sehinggalah qiamat dunia ini. Kerana, orang Islam semakin jauh dari mengulang kaji tentang Islam dan syariatnya. Mereka semakin meninggalkan al-Quran. Mereka semakin jahil tentang as-Sunnah, walhal as-Sunnah itu adalah preskripsi bagaimana beramal dan beribadah - bagaimana hendak mengabdikan diri kepada Allah (a.w) menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Baru-baru inipun tercetus semula polemik kecil tentang fahaman kemazhaban - pertembungan antara para ulama' dan ilmuwan arus perdana Islam, pengikut mazhab as-Syafie, dengan pengikut as-Sunnah. Timbul pendapat tentang kononnya golongan 'anti mainstream Islam' adalah pengikut fahaman Wahabi, etc etc
Jazakallahu khairah.
salam.
ReplyDeletekepada penulis blog yayasan ilmu,
pertamanya, saya ingin memberi sedikit teguran sebagai ingat mengingati untuk diri saya dan orang lain, eloklah saya mulakan dengan perkara ini dahulu sebelum saya menyentuh bab BID'AH yang anda utarakan...berhati-hatilah dalam menyebarkan dakwah, kerana terlalu ramai orang yang menyangka mereka menyebarkan dakwah...tetapi sebenarnya ilmu yang dangkal...mereka menjadi sesat..bahkan menyesatkan.saudara menggunakan ayat tulisan rumi dalam blog saudara, sedangkan kita boleh gunakan ayat al-Quran sebenarnya.ketahuilah bahawa bacaan ayat al-Quran dengan tulisan rumi adalah tidak sah dan tidak diterima kerana tulisan rumi itu menyebabkan bacaan salah dan menyimpang daripada maksud sebenar.
Benar, al-Quran hanya boleh dibaca mengikut kaedah bahasa Arab yang sesuai dengan Rasam Uthmani saja bagi mengelakkan kesalahan dalam menyebut makhraj huruf dan hukum tajwid kerana kesilapan itu boleh membawa kepada kesalahan makna.
Usaha mempelajari al-Quran adalah fardu ain bagi orang Islam, malah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya” (Riwayat Bukhari). Bahkan dengan membaca al-Quran, seseorang itu memperoleh pahala dan kebajikan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka ia akan mendapatkan satu kebajikan dan setiap kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda.” (Riwayat Tirmizi).
Berkenaan doa pula, sekiranya tidak mampu untuk berdoa dalam bahasa Arab, maka boleh berdoa dalam bahasa yang anda fahami. Bagaimanapun, sekiranya dapat menghafal doa dalam bahasa Arab dan memahaminya ketika berdoa, perkara itu lebih baik.
salam perjuangan