Assalamualaikum,
Dalam post yang lalu kita telah olahkan dengan berpandukan nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah golongan yang berjaya mendapat syurga itu. Rasulallah (s.a.w) memberitahu di akhir zaman kelak (yakni, selepas kewafatan beliau) umat Islam akan berpecah menjadi 73 firqah atau golongan atau mazhab, 72 firqah atau golongan atau mazhab gagal mendapat syurga tetapi masuk neraka, dan hanya satu golongan sahaja yang berjaya mendapat syurga. Apabila para sahabat bertanya kepada beliau golongan yang manakah atau yang satu manakah yang berjaya mendapat syurga itu. Rasulallah (s.a.w) menjawab mereka adalah yang menepati ketetapan Rasulallah (s.a.w): 'Ma ana 'alahi wa-ashabi' [maksud: 'Apa-apa yang aku (Rasulallah (s.a.w) berpegang atasnya (yakni, syariat Islam yang dibawakannya) dan (apa-apa) yang sahabatku (berpegang atasnya)']. Rasulallah (s.a.w) merujuk kepada 'sahabat' itu adalah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Omar bin Khattab, Othman ibni Affan, dan Ali bin Abi Thalib, radiallahu 'anhum.
Kemudian dalam hadith yang lain pula Rasulallah (s.a.w) menyebutkan bahawa satu golongan daripada 73 golongan yang berjaya mendapat syurga itu adalah mereka yang menganuti Islam secara berjemaah. Jelaslah, golongan yang berjaya mendapat syurga itu adalah mereka yang mengikuti 'as-Sunnah' dan mereka mengamalkan Islam 'secara berjema'ah'. Hakikatnya, ada dua ciri utama tau pra-syarat untuk digolongkan sebagai 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu.
Di dalam post terdahulu itu kita telah teliti dan bincangkan satu ciri atau pra-syarat, iaitu 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup mereka serta panduan segala ibadah dan amalan (yakni, bentuk-bentuknya, cara dan kaedah beramal atau mengamalkannya) dalam memperhambakan diri mereka kepada Allah (a.w).
Kita sambung perbincangan kita dengan meneliti dan membincangkan ciri atau pra-syarat keduanya, iaitu mereka itu menganuti Islam 'secara berjema'ah'. Hakikatnya 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu mengamalkan Islam dan syariatnya berpandukan as-Sunnah dan juga secara berjema'ah. Kalau hanya menetapi Islam berpandukan as-Sunnah tetapi tidak mengamalkan Islam secara berjema'ah, maka tidak menetapi ciri atau pra-syarat tersebut.
Mula-mula kita rujuk firman Allah (a.w) berikut:
Firman Allah (a.w): 'Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (a.w)(yakni, ugama Allah (a.w), iaitu Islam, yang syariatnya adalah al-Quran dan al-Hadith atau as-Sunnah) secara berjemah dan janganlah kamu berfirqah-firqah (yakni, berpecah belah dan berpuak-puak atau bermazhab-mazhab atau berkumpulan yang terasing) dan ingatlah akan ni’mat Allah (a.w) atas kamu ketika ada kamu (sebelum datangnya Islam) bermusuh-musuhan dalam hati-hati kamu antara satu sama lain (yakni, sebelum datangnya Islam atau Rasulallah (s.a.w) bilamana masyarakat Islam itu berpuak-puak, berperang antara satu puak dengan puak yang lain, bermusuh-musuhan sesama sendiri dan antara puak-puak atau kelompok, yakni mereka adalah masyarakat jahiliah) maka Allah (a.w) menjadikan kamu dengan ni’matNya (yakni, ugama Islam) kamu semua bersaudara (yakni, satu umat atau ummah) dan adalah kamu atas tepi jurang Neraka (yakni, tanpa Islam itu dan jika mereka tidak Islam sudah pastilah mereka mengalami neraka dunia kerana persengketaan sesama mereka dan apabila mati dimasukkan ke dalam neraka kerana mengkufuri Allah (a.w) dan syirik terhadap Allah (a.w)), maka menyelamatkan (Allah (a.w) sekelian kamu) darinya (yakni, jurang Neraka itu), maka demikian itulah Kami (Allah (a.w)) terangkan bagi sekelian kamu tanda-tanda (kebesaran Allah (a.w)) mudah-mudahan kamu sekelian (umat Islam) mendapat hidayah (atau petunjuk, yakni mengikuti perintah Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w)).] [Ayat 103, Surah ali-Imran]
Allah (a.w) perintahkan manusia itu menganuti Islam secara berjemaah. Ini adalah perintah wajib atau perintah mesti. Pra-syarat kedua itu adalah mereka hendaklah mengamalkan Islam dan syariatnya secara berjema'ah. Inilah ketetapan as-Sunnah dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya Allah (a.w) redha (yakni, sukakan) bagi kamu tiga perkara: (pertama) tidak menyekutukan akan Dia (Allah (a.w))(yakni, tidak syirik) dengan sesuatu apapun, dan (kedua) bahawa berpegang teguh dengan tali Allah (a.w) (yakni, ugama Allah (a.w), iaitu ugama Islam yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w)) secara berjemaah, dan (ketiga) jangan berpecah belah (atau berfirqah-firqah atau bermazhab-mazhab); dan benci Allah (a.w) bagi kamu tiga perkara (iaitu) (pertama) banyak berkata-kata dan bercakap-cakap, dan (kedua) banyak soal (tentang ugamanya) dan (ketiga) pemboros atau membazirkan harta.’ [Hadith Muslim]
Jelaslah, melalui nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah di atas itu, 'ahlus sunnah wal-jama'ah' adalah mereka yang Islam secara berjema'ah. Jika berjema'ah maka ciri atau pra-syarat kedua itu sudah dipenuhi. Golongan umat Islam yang berpandukan as-Sunnah dan juga mengamalkan Islam secara berjema'ah, menepati ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) sebagai 'ahlus sunnah wal-jama'ah'. Mereka inilah golongan yang satu dari 73 golongan yang Islam dan pasti mendapat syurga seperti yang disebutkan dalam hadith terdahulu itu. Kedua-dua hadith tersebut memberitahu kita bahawa di akhir zaman nanti (mulai zaman selepas kewafatan Rasulallah (s.a.w)), umat Islam akan berpecah menjadi 73 firqah atau golongan atau mazhab, semuanya mengatakan mereka berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi 72 firqah atau golongan gagal mendapat syurga sebaliknya masuk neraka. Yang berjaya hanya satu golongan iaitu yang menepati dua pra-syarat: pertama, golongan yang mengikuti as-Sunnah dan kedua, mengamalkan Islam secara berjema'ah. Dua pra-syarat itu menjadi penentu kepada golongan mana yang tergolong sebagai 'ahlus sunnah wal-jama'ah' iaitu berpegang kepada as-Sunnah dan Islam secara berjema'ah.
'Berpegang' bermaksud mereka iktui 100% as-Sunnah sebagaimana dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) tanpa sebarang ubahsuai dan mereka kekal dalam jema'ah Islam mengamalkan Islam dan syariatnya secara berjema'ah.
Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]
No comments:
Post a Comment