Wednesday, November 25, 2009

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Assalamualaikum,
Sebagai menyambung perbincangan kita dalam post yang lalu mengenai tajuk diatas, kita teruskan seperti berikut:
Sebenarnya, untuk menjadi umat Islam yang berjaya itu, kita hanya perlukan dua panduan yang haq, iaitu panduan al-Quran dan panduan as-Sunnah, bukan panduan manusia yang berkata serta menyuruh atau menganjurkan kita buat itu dan ini, walhal mungkin kita tidak pasti dari manakah dia mendapati apa yang dikatakan. Kita tidak diberitahu sandaran ketetapan yang disampaikan kepada kita, selain pandangan dan pendapat sipolan dan sipolan atau menggunakan kata-kata seperti ‘para ulama’ atau ’ulama’ bersepakat’ (ijma’ ulama’) atau ‘kesepakatan para ulama’ (jumhur ulama’) dan seumpamanya. Di dalam Islam kebenaran itu adalah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Sumber lain tidak boleh diiktiraf benar kecuali dengan sokongan atau sandaran nas dan dalil al-Quran dan hadith.
Logiknya mudah. Islam adalah ugama Allah (a.w). Syariatnya, yakni perincian mengenai Islam itu, diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w), yakni as-Sunnah. Selain Allah (a.w), tiada siapa yang tahu secara sempurna Islam, kecualilah Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) juga memberi pengakuan bahawa, selain sunnah beliau, umat Islam boleh berpandu kepada sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin. Islam dan syariatnya yang haq itu, jika disampaikan oleh sesiapa sahaja yang berilmu, menepati as-Sunnah adalah betul dan haq. Jika, disampaikan atau diajarkan berlainan dari apa yang terdapat dalam as-Sunnah adalah batil. Keseragaman dalam ibadah dan amalan dan umumnya carahidup Muslim dan Mukmin itu hanya berlaku jika kesemua yang Islam itu berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Jika inilah berlaku, maka sudah barang pasti umat Islam itu beramal dan beribadah serta menjalani kehidupan mereka sebagai satu ummah, tidak kira bangsa apa, mereka tinggal di mana, dan bahasa apapun mereka bertutur serta zaman manapun mereka hidup.
Umat Islam akan berbeza dalam amalan dan ibadah apabila mereka bermazhab. Bukan kerana mazhab itu salah, tetapi landasan fahaman kemazhaban itu sudah berubah dari asalnya, kerana telah ditokok tanmbah dan diubahsuaikan oleh ‘cerdik pandai’ ilmuwan Islam kemudian. Jika kita teliti dan halusi amalan orang Melayu sekarang dengan ajaran mereka yang kononnya dikatakan sebagai pengasas kemazhaban, jauh berbeza. Kerana, Imam yang empat dalam mazhab yang empat, iaitu as-Syafie, Ibnu Hanbal, Malik dan Abu Hanifah, adalah ulama’ muktabar zamannya dan mereka juga adalah ulama’ muhadithin, yakni pengumpul hadith. Mereka faham ilmu as-Sunnah. Sudah pastilah mereka tidak membuat sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Cuba kita kaji apakah ajaran mereka mengikut kitab-kitab mereka dan bandingkan apa-apa yang kita amalkan hari ini. Pasti tidak sama. Yang pasti, akan wujud keseragaman dalam ibadah dan amalan hanya jika kita kembali kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, yakni ‘back to basic’.
Ekoran kepada penangkapan bekas mufti Perlis, Dr. Asri, bersemarak semula polemik tentang mazhab, tentang Wahabi dan tentang undang-undang Islam yang dicipta sendiri oleh manusia, tentang ‘kewajipan’ orang Islam Melayu berpegang kepada fahaman Mazhab as-Syafie, tetapi tidak pula secara khusus mereka merujuk kepada as-Sunnah. Walhal, al-Quran dan as-Sunnah adalah penentu kepada segala sesuatu yang mereka pertikaikan dan perbalahkan. Maka dengan itu perbalahan yang tidak berlandaskan ketetapan dan panduan yang haq, iaitu al-Quran dan as-Sunnah, pasti tidak akan dapat diselesaikan sampai kiamat dunia. Jika perbahasan kita berbangkit dari kepandaian manusia atau pandangan dan kebijaksanaan manusia, tidak akan kehabisan, kerana semakin lama tahun berlalu, akan semakin ramai manusia yang pandai dan bijak. Lagipun semakin menjurus manusia mengkaji kitab-kitab karangan manusia dan semakin jauh ditinggalkan oleh as-Sunnah, maka semakin kaburlah apa yang mereka debatkan. Maka, semakin kelirulah semua pihak. Manusia tidak akan keliru jika mereka kembali kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Inilah ketetapan Ayat 59, Surah an-Nisa: ‘Jika kamu berselisih faham atau bertelingkah tentang sesuatu (terutama tentang Islam dan syariatnya), kembalilah merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, dan itulah penyelesaian terbaik bagi mereka yang ingin menemui Allah (a.w) di akhirat kelak.’ Allah (a.w) telahpun beri kita tahu bagaimana hendak menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi itu.
Sehubungan itu, janganlah mana-mana pihak tanpa bukti yang jelas atau dalam kejahilan mengenai sesuatu membuat tuduhan sipolan dan sipolan itu pengikut Wahabi. Atau, janganlah kita taksub bahawa ajaran kumpulan itu dan ini adalah tidak serasi dengan orang Melayu, semata-mata kerana kita ujub dan taksub kepada sesuatu fahaman atau aliran. Kita boleh melabel seseorang itu pengikut mazhab dan aliran jika kita sendiri faham apakah ajaran mazhab dan aliran terebut yang kita tuduhi mereka ikuti. Kemudian, hendaklah kita teliti berpandukan spesifikasi al-Quran dan as-Sunnah perkumpulan manakah betul atau menyimpang. Sesuatu perbuatan itu mungkin kelihatan menyalahi amalan atau tradisi kemazhaban, tetapi jika sejajar dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, pastilah benar. Dalam perkara ‘tauliah’, inilah satu sekatan yang nyata yang menghalang orang yang berilmu menyampaikan ilmu yang haq. Maksudnya: orang yang berilmu mengenai Islam itu adalah mereka yang faqih dalam ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Yang lain belum dapat diiktiraf berilmu, walaupun mungkin dia berkelusan Ph D, walaupun dalam bidang ugama sekalipun. Al-Quran dan as-Sunnah membuat ketetapan yang haq tentang ‘tauliah’, iaitu sesiapa sahaja yang memiliki ilmu al-Quran dan as-Sunnah telahpun di’tauliahkan’ oleh Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) untuk menyampaikan ilmu mereka. Malah mereka wajib menyampaikan ilmu. Adalah satu dosa yang besar bagi seseorang yang berilmu atau mendapat ilmu menyembunyikan ilmunya atau tidak menyampaikannya untuk manfaat saudara sesama Islam yang mungkin dahagakan ilmu atau masih jahil tentang sesuatu ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Berat ancamannya terhadap mereka yang berilmu, hanya sanggup menyampaikan ilmunya kerana dunia seumpama mengenakan bayaran, lebih-lebih lagi bayaran yang tinggi. Ilmu mengenai Islam dan syariatnya tidak boleh didagangkan atau digunakan sebagai alat untuk meraih kekayaan.
Jazakallahu khairh
[Bersambung ...]

No comments:

Post a Comment