Monday, November 30, 2009

Bid'ah (Sambungan).

Assalamualaikum,
Ada golongan ulama' dan ilmuwan Islam berpandangan bahawa sesuatu yang baik walaupun tidak dikerjakan atau dibuat oleh Rasulallah (s.a.w) sebagai amalan, boleh diamalkan. Mereka berkata: Sesuatu yang baik jika tidak ditegah oleh Rasulallah (s.a.w), berdasarkan as-Sunnah, diamalkan adalah 'bid'ah hasanah'. Kita telah merujuk kepada sepotong hadith, sebelum ini, yang menyatakan tiap-tiap, tanpa pengecualian, pembaharuan dalam perkara ugama adalah bid'ah, tiap-tiap bid'ah adalah kesesatan, dan tiap-tiap kesesatan tempatnya di neraka. Yakni, sesiapa yang beramal, mengamalkan atau mengajarkan bid'ah dicampakkan ke dalam neraka, kerana jika tidak dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), maka bukanlah sebahagian daripada Islam dan syariatnya.
Kita lihat dua hadith berikut yang menyebutkan tanpa sebarang keraguan bahawa semua bid'ah membatalkan amalan dan ibadah - amalan dan ibadah yang dicemari oleh bid'ah tidak diterima Allah (a.w):
Sabda Rasulallah (s.a.w): Man akhdatha fi amrina haza malaisa minni fahua raddu) [Maksud: Barangsiapa mengadakan pembaharuan (yakni, bid’ah) dalam perkaraku (yakni, Islam dan syariat ugama Islam) yang ianya bukan daripadaku (yakni, didatangkan daripadaku), maka dia (amalan itu) ditolak (yakni, tidak diterima)] [Hadith Bukhari] dan
Sabda Rasulallah (s.a.w): Man ‘amila ‘amalan laisa ‘alaihi amruna fahua raddu) [Maksud: Barangsiapa beramal dengan sesuatu amalan yang tidak datangnya daripada perkara atau urusanku (yang didatangkan oleh aku), maka dia (amalannya) ditolak (yakni, tidak diterima).] [Hadith Muslim].
Justeru itu, sia-sialah segala amalan kita. Malah bukan amalan yang tercemar itu sahaja yang ditolak atau tidak diterima Allah (a.w), kita akan tahu nanti bahawa segala amalan dan ibadah kita tertolak atau tidak diterima.
Berat padahnya membuat dan mengamalkan bid'ah itu. Eloklah kita berhati-hati jika kita inginkan tidak 'muflis' di akhirat kelak.

Jazakallahu khairah

Bid'ah - Pembaharuan Dalam Islam.

Assalamualaikum,
Semua yang Islam di Malaysia pasti telah mendengar kalimah 'bid'ah'. Bid'ah adalah suatu amalan atau ibadah atau perlakuan yang bersifat keugamaan atau separa keugamaan yang menjadi amalan lazim umat Islam di Malaysia hari ini. Amalan ini dikatakan adalah sebahagian dari tuntuan mazhab as-Syafie. Bagi mereka yang sering mengikuti perdebatan tentang 'bid'ah' ini, mereka sering terdengar para ulama' dan ilmuwan Islam menyebut tentang 'bid'ah hasanah'. Para ulama' arus perdana (mainstream) di Malaysia, malah di rantau Nusantara ini, yakin bahawa walaupun Rasulallah (s.a.w) (yakni, Islam) melarang mengamalkan dan menyemarakkan bid'ah, tetapi mereka kuat berpegang kepada wujudnya dua jenis bid'ah, iaitu satu 'bid'ah dolalah' (sesat, yakni yang dilarang) dan 'bid'ah hasanah' (baik, yakni yang dibolehkan). Kata mereka, Rasulallah (s.a.w) melarang 'bid'ah dolalah' tetapi, 'bid'ah hasanah' di bolehkan oleh Islam, kerana ada suatu amalan yang baik dan mendatangkan pahala.
Penulis tidak akan debatkan di sini, tetapi akan dihuraikan suatu masa nanti dengan panjang lebar tajuk 'Pembaharuan dalam Ugama' ini.
Hari ini penulis akan muatkan hadith-hadith - sehari satu hadith -menyentuh ketetapan Rasulallah (s.a.w) tentang 'bid'ah'. Di dalam as-Sunnah, bagi mereka yang faqih dan faham as-Sunnah, Rasulallah (s.a.w) tidak menyebut adanya pengecualian apabila beliau menyebut tentang 'bid'ah'. Rasulallah (s.a.w) menghukum tiap-tiap pembaharuan dalam amalan dan ibadah adalah 'bid'ah' dan tiap-tiap bid'ah adalah kesesatan dan tiap-tiap kesesatan tempat orang yang beramal dan mengembangkannya adalah neraka, wal iyazubillah. Terpulanglah kepada pembaca membuat pendirian sendiri.
Apabila mati seseorang anak Adam, hanya dua tempat menjadi pilihan, mengikut firman Allah (a.w) dalam Ayat 7, Surah as-Syura: ‘... fariqum fil-jannati, wa-fariqun fis-sa’iri ... ) [Maksud: segolongan (kamu) masuk syurga, dan segolongan (kamu) masuk neraka ... ] [Ayat 7, Surah asy-Syura]. Pilihlah sendiri. Tiada jalan tengah. Dalam hadith berikut, Rasulallah (s.a.w) peringatkan kita tentang 'bid'ah' ini. Membuatnya, mengamalkannya dan mengembangkannya mengundang tiket masuk ke neraka.
Diriwayatkan hadith daripada Abi Najih, iaitu al-Irbad bin Sariah (r.a) berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) menyampaikan suatu peringatan yang membuat gerun beberapa hati dan mengalirkan air mata beberapa mata (orang yang mendengar nasihat itu). Kami berkata: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Nasihat ini seolah-olah daripada seorang yang hendak meninggalkan kami. Apakah nasihat engkau kepada kami?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Diwajibkan atas kamu sekelian bertaqwa kepada Allah (a.w) dan dengan mendengar dan taat, jikapun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Barangsiapa di kalangan kamu yang panjang umurnya, akan melihat banyaknya perselisihan (di kalangan umat Islam mengenai ugama Islam). Maka diwajibkan atas kamu sekelian berpegang kepada sunnahku dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, maka gigitlah dia (yakni, sunnahku dan sunnah mereka) dengan gigi geraham (yakni, pegang kuat jangan lepaskan). Dan, takutilah pembaharuan dalam perkara (atau urusan ugama), dan sesungguhnya tiap-tiap pembaharuan adalah bid’ah, dan tiap-tiap bid’ah adalah kesesatan.’ [Hadith Abu Daud dan juga at-Termidzi, katanya hadith sahih]
Peselisihan sedemikian akan berlaku dari masa ke semasa sehinggalah qiamat dunia ini. Kerana, orang Islam semakin jauh dari mengulang kaji tentang Islam dan syariatnya. Mereka semakin meninggalkan al-Quran. Mereka semakin jahil tentang as-Sunnah, walhal as-Sunnah itu adalah preskripsi bagaimana beramal dan beribadah - bagaimana hendak mengabdikan diri kepada Allah (a.w) menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Baru-baru inipun tercetus semula polemik kecil tentang fahaman kemazhaban - pertembungan antara para ulama' dan ilmuwan arus perdana Islam, pengikut mazhab as-Syafie, dengan pengikut as-Sunnah. Timbul pendapat tentang kononnya golongan 'anti mainstream Islam' adalah pengikut fahaman Wahabi, etc etc

Jazakallahu khairah.

Friday, November 27, 2009

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

[Sambungan ...]
Mengangkat Tangan ke Paras Bahu

Di dalam tulisan saudara Zaharudin, seorang penyelidik JAIS, dalam Akhbar Utusan Malaysia tersebut, dituliskan bahawa beliau seterusnya menyebut bahawa mengangkat tangan ketika memulakan solat semasa Takbiratul Ikhram, hingga ke paras bahu adalah ijtihad para ilmuwan atau ulama’ fahaman Wahabi! Betulkah begitu? Apabila kita teliti as-Sunnah nyata dakwaan beliau tersebut tidak betul, kerana, di dalam as-Sunnah kita diberitahu bahawa ada dua kaedah mengangkat kedua tangan dengan jari-jari tegak lurus ketika Takbiratul Ikhram itu: kaedah pertama, tangan diangkat sehingga hujung-hujung jari bersetentangan dengan cuping telinga; atau kaedah kedua, mengangkat tangan dengan kesemua jari tegak lurus ke paras bahu. Yang utama dilazimkan adalah jika kedua tangan di angkat ke para kedua cuping telinga, hendaklah dikekalkan sedemikian sepanjang solat tersebut. Begitu jugalah jika diangkat ke para bahu, maka hendaklah dikekalkan kaedah itu sepanjang solat tersebut. yang pasti adalah, Raulallah (s.a.w) melakukan kedua-dua kaedah tersebut mengikut as-Sunnah. Jelaslah, umat Islam diberikan dua pilihan dalam perkara mengangkat kedua tangan semasa Takbiratul Ikhram itu. Justeru itu, mungkin kerana kejahilanlah yang membuatkan beliau bercakap sesuatu yang batil dan silap.
Cuba kita teliti dua hadith yang kita turunkan di bawah ini. Hadith-hadith ini memberitahu kedua-dua kaedah tersebut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdul Jabbar bin Wail (r.a) katanya hadith daripada bapanya berkata: ‘Sesungguhnya aku melihat Nabi (s.a.w) ketika memulakan solatnya dan menyebut ‘ ’ mengangkat dia kedua-dua tangannya sehingga hampir kedua-dua ibu jari tangannya ke cuping telinganya.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Diriwayatkan hadith daripada Malik bin Huairith (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) apabila takbir ikhram diangkatnya dua tangannya sejajar dengan dua cuping telinganya, demikian pula ketika akan ruku’, dan apabila bangun dari ruku’ sambil membaca ‘Samiallahu liman hamidah.’ [Hadith Muslim]
Kedua-dua hadith di atas memberikan perlakuan Rasulallah (s.a.w) ketika Takbiratul Ikhram dengan mengangkat kedua-dua tangannya ke paras cuping telinganya. Dua hadith di bawah ini pula menunjukkan bahawa Rasulallah (s.a.w) ada juga ketikanya mengangkat kedua-dua tangannya ke paras bahunya ketika Takbiratul Ikhram.
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) apabila memulakan solatnya diangkatkannya kedua-dua tangannya sejajar dengan dua bahunya, kemudian takbir ikhram dia, demikian juga ketika akan ruku’ dan bangkit dari ruku’. Dan tidaklah dia mengangkat tangan ketika berdiri dari sujud (yakni, untuk rakaat kedua).’ [Hadith Muslim]
Hadith di atas itu, dan hadith-hadith lain, menyebutkan bahawa hendaklah kita angkat kedua-dua tangan sampai ke paras telinga/bahu ketika bangun dari Rukuk, iaitu ketika membaca ‘Sami’allahu liman hamidah’, dan ketika bangun berdiri semula untuk rakaat ketiga setiap solat. Ketika bangun untuk rakaat kedua (dan juga keempat), tidak diangkat kedua-dua tangan. Namun, kerana kejahilan, ramai umat Islam mengangkat kedua tangan setiap kali mereka bangun berdiri untuk rakat-rakat seterusnya. Ini tiada dalam ketetapan as-Sunnah. Melakukannya adalah suatu kelainan dari as-Sunnah!
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (r.a) katanya: ‘Adalah Rasulallah (s.a.w) apabila masuk didalam solat (yakni, memulakan solat) mengangkat ia akan tangannya tegak segala jarinya hala kelangit dengan tiada merenggang akan dia, dan adalah angkatnya itu membetuli (bersetentangan dengan) dua bahunya.’ [Hadith hassan at-Termidzi]
Jelaslah, berpandukan hadith-hadith tersebut, mengangkat kedua-dua tangan dengan jari-jari yang lurus tegak, ke paras bahu, adalah perbuatan Rasulallah (s.a.w). Maka dengan itu, kita diberi pilihan iaitu ketika hendak Takbiratul Ikhram, kita mengangkat kedua-dua tangan sama ada ke paras cuping telinga atau ke paras bahu. Jika kita ambil satu kaedah, teruskanlah jangan campuradukkan pula. Mengatakan perbuatan sedemikian adalah mengikut fahaman atau ijtihad kemazahaban atau aliran adalah suatu kesilapan yang nyata! Dengan itulah kita dipringatkan, jangan lakukan/katakan sesuatu tanpa ilmu mengenainya.

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

Thursday, November 26, 2009

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Assalamualaikum,
saudara kita sambut lagi ketetapan as-Sunnah mengenai isu yg diperdebatkan ini selanjutnya.

Menggerak-gerakan Jari Telunjuk Ketika Tasyahud

Dilaporkan dalam Utusan Malaysia bahawa seorang penyelidik JAIS telah mengkaji bentuk-bentuk amalan yang dikatakan mengikut fahaman Wahabi. Antaranya, kata beliau, menggerak-gerakan jari telunjuk ketika Tasyahhud. Bagi mereka yang telah mempelajari ilmu as-Sunnah, mereka akan temui dua kaedah perlakuan ketika Tasyahhud (yakni, memebaca Tahiyat) itu: pertama, mengangkat jari telujuk lurus ke atas, seolah-olah menunjuk ke arah depan. Ini adalah perlakuan yang lazim di kalangan orang Melayu. Kedua, ketika Tasyahhud, Rasulallah (s.a.w) ‘membuat isyarat’ dengan telunjuknya menggerak-gerakkannya turun naik sehinggalah tamat, yakni berhenti ketika memberi ‘Salam’.
As-Sunnah menyebutkan Rasulallah (s.a.w) ada ketikanya menggerak-gerakan jari telunjuknya ke atas ke bawah ketika bertasyahhud (tahiyat) akhir dalam solat. Ada ketikanya juga Rasulallah (s.a.w) tidak menggerak-gerakan jari telunjuknya, dan hanya mengangkatnya sahaja. Justeru itu, perlakuan menggerak-menggerakkan jari yang disebutkan oleh Zaharuddin itu sebenarnya adalah amalan as-Sunnah.
Diriwayatkan hadith daripada seorang daripada para tabi’in yang dipercayai riwayatnya namanya Abbas bin Sail al Sai’di katanya: ‘Telah berkumpul Abu Hamid (Abdul Rahman bin Said bin Munzar), Abu Said (Malik bin Rabi’at), Sahil bin Saad dan Muhammad bin Musalmat, di dalam mereka itu bermuzakarah mereka (yakni mengingatkan masa mereka bersama Nabi (s.a.w) solat berjemaah) sebagaimana kata Abbas: ‘Maka mengingat-ingatkan mereka itu akan solat Rasulallah (s.a.w), [yakni masing-masing berkata solatnya begini-begini dan kata seorang demikian pula menyungguhkan atau menambah tahkiknya]. Maka didalam hal demikian berkatalah Abu Hamid Abdul Rahman bin Saad bin Munzar as-Saadi as-Syaari (r.a): ‘Aku lebih ingat daripada kamu sekelian dengan solat Rasulallah (s.a.w).’ [Mengikut tambahan pada riwayat Abu Daud (r.a) katanya]: ‘Kata mereka itu kerana apa kamu lebih ingat daripada kami? Maka demi Allah (a.w)! Tiada ada engkau lebih daripada kami mengikutinya, dan tiada pula engkau lebih dahulu daripada kami menjadi sahabatnya dan bertambah bagi tahari pula.’ ‘Kata seorang dari mereka: ‘Dari mana kamu lebih ingat daripada kami?’ Jawabnya (Abu Hamid): ‘Aku perhatikan sungguh-sungguh akan solat Nabi (s.a.w) itu hingga aku hafaz akan dia.’Kata Abu Hamid: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah aku lihat duduknya, yakni duduk bagi tahiyat maka menghampar dia (yakni melipat dia) akan kakinya yang kiri, dan memperhadapkan ia dengan hadapan kaki kanannya (yakni jari-jari kaki kanannya) dihalakannya ke qiblat dengan didirikannya, dan ia meletakkan duduknya (yakni, ponggong sebelah kiri) atas lipat kaki kiri, dan meletak ia akan tapak tangan kirinya atas lutut kirinya, dan meletakkan ia akan tangannya yang kanan itu atas lututnya yang kanan dengan menggenggamkan segala jarinya yang kanan kecuali jari telunjuk’ [sebagaimana kata Abu Hamid], dan mengisyarat ia dengan jarinya, yakni dengan telunjuknya. (dengan jari telunjuknya ke atas ke bawah – penjelasan ulama’ hadith).’ [Hadith Hassan lagi sahih, at-Termidzi]
Jelaslah bahawa bukanlah amalan tersebut berupa ijtihad para alim ulama’ mazhab atau fahaman tertentu, tetapi adalah suatu perlakuan yang dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Dengan itu, kita ada dua pilihan tentang kedudukan jari telunjuk ketika membaca Tahiyat dalam solat.
Hadith di atas adalah nas dan dalil hadith tentang perlakuan Rasulallah (s.a.w) ketika mengerjakan tahiyat akhir, menggerak-gerakkan jari telunjuknya seumpama 'mengisyarat' (dijelaskan oleh ulama' muhadithin, Rasulallah (s.a.w) menggerak-gerakkan telunjuknya naik-turun sehinggalah dia memberi 'salam'). Jelaslah, perlakuan tersebut bukanlah ijtihad pemimpin fahaman Wahabi, tetapi adalah perlakuan Rasulallah (s.a.w). Jelaslah, kita diberi dua pilihan: satu, mengangkat telunjuk menunjuk ke depan, atau kedua, mengangkatnya naik-turun seolah-olah memberi isyarat, ketika Tahiyat Akhir.
[Nota: Penulis bukanlah pengikut aliran Wahabbi, tetapi pengikut 'ahlus sunnah wal-jama'ah', kerana mengikut ketetapan Rasulallah (s.a.w) 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu adalah mereka yg Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah,dan golongan ini menepati ketetapan as-Sunnah; iaitu: pertama, mereka jadikan as-Sunnah ilmu mengenai Islam dan syariatnya dan sebagai panduan amalan dan ibadah; dan kedua, mereka juga anuti Islam secara berjema'ah. Tidak dapat dipastikan apakah fahaman Wahabbi itu memenuhi syarat kedua tersebut. Yg pasti mereka ikuti as-Sunnah.]

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Assalamualaikum, 
saudara, di dalam siaran akhbar Sinar Harian tersebut juga, seorang pensyarah UIAM, saudara Zaharuddin b Abdul Rahman, dikatakan memberitahu beberapa dimensi perbezaan fahaman antara mazhab. Beliau menyatakan bahawa fahaman Wahabi bukanlah sebuah mazhab fiq atau aqidah. Nampaknya beliau lebih faham tentang apa yang disebutkan Wahabi itu. Wahabi adalah pergerakan yang dipelopori oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi dalam kurun ke-13 dahulu untuk membersihkan Islam dari amalan kurafat, tahyul, taklid dan bid’ah yang telah berleluasa dalam amalan dan ibadah serta ajakan para ulama’ dijadikan sebahagian daripada syariat Islam di kalangan umat Islam ketika itu. Pergerakan Wahabi adalah pergerakan membersihkan Islam dan syariatnya dan supaya umat Islam kembali semula berpandu kepada al-Quran dan as-Sunnah, tanpa dicemari oleh pendapat dan pandangan manusia.
Penulis bukanlah pengikut atau penyokong Wahabi, tetapi penulis inginkan kebenaran. Penulis berpandangan bahawa Islam dan syariatnya hanya diketahui dengan sempurna oleh Allah (a.w), yang memerintahkan manusia supaya menganutinya, dan Rasulallah (s.a.w), yang menyampaikan ugama Allah (a.w) kepada manusia dan mengajar serta memandu dan membimbing mereka. Oleh itu, sebagai seorang Islam kita tidak perlu berbahas panjang lebar tentang Islam. Tentang Wahabi atau tentang mazhab. Yang perlu kita ‘dengar dan taat’ apa-apa yang disebutkan oleh Allah (a.w) dalam al-Quran dan kata-kata dan perlakuan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah.
Kembali kepada komen saudara Zaharuddin (UIAM) dalam Sinar Harian dan juga saudara Mahfuz pula, dalam Utusan Melaysia, mereka memberi beberapa contoh sebagai ilustrasi perbezaan pegangan tersebut. Antaranya, dia menyebut doa qunut tidak dibaca oleh mazhab Hanbali dan Hanafi berdasarkan ijtihad pemimpin mazhab-mazhab tersebut, mazhab Maliki menggoyangkan jari-jarinya ketika tasyahhud, memegang anjing tanpa perlu disamak, tidak membaca ‘Basmallah’ dengan jahar (kuat) ketika memulakan bacaan al-Fatihah dalam solat-solat Subuh, Maghrib dan Isya’, berjubah senteng, mengangkat takbir ke paras bahu, dan sebagainya. Pandangan mereka merujuk kepada ijtihad. Sebenarnya, bagi mereka yang faqih tentang as-Sunnah, yakni mereka mengkaji as-Sunnah, mereka akan dapati bahawa kesemua ini bukanlah berpandukan ijtihad tetapi adalah ketetapan as-Sunnah (hadith-hadith yang sahih). Hanya orang yang tinggi ilmunya tentang as-Sunnah tahu mengapa sesuatu itu berlaku dan dilakukan. Cuba kita teliti, sebagai contoh, satu dalil hadith untuk menunjukkan kesahihan amalan tidak membaca qunut dalam Solat Subuh.

Qunut dan Solat Subuh

Saudara Mahfuz menyebut antara kelainana amalan mereka yang mengikuti fahaman Wahabi itu adalah mereka bersolat Subuh tanpa membeca Doa Qunut. Cuba kita teliti as-Sunnah. Adakah itu perbuatan Rasulallah (s.a.w) atau ajaran Wahabi?
Mengikut as-Sunnah, Rasulallah (s.a.w) tidak membaca qunut dalam solat Subuh. Rasulallah (s.a.w), pernah suatu masa, membaca Qunut tetapi hanya selama sebulan. Ada kalimah-kalimah yang khusus untuk dibacakan selepas Rukuk pada rakaat terakhir sebelum sujud semasa mengerjakan semua lima waktu solat, bukan setakat Subuh sahaja. Inilah Qunut Nazilah yang dibaca oleh Rasulallah (s.a.w) dan disuruhnya para sahabat baca selama sebulan untuk mendoakan kehancuran kepada pendudukan munafiq dalam empat qariah Arab zaman itu.
Di bawah ini penulis turunkan beberapa hadith menyentuh Qunut Nazilah tersebut yang menjadi sandaran dalil empat hadith mengenainya.
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a) berkata: ‘Membaca Qunut Rasulallah (s.a.w) sebulan lamanya selepas Ruku’ dan berdoa (Rasulallah (s.a.w)) atas (kehancuran kaum musyrikin dan munafiq di) desa-desa Ri’lin dan Zakwan dan ‘Usoiyah yang menentang Allah (a.w) dan RasulNya.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Diriwayatkan hadith daripada Anas (r.a) berkata: ‘Nabi (s.a.w) pernah berqunut (qunut nazilah) sebulan mendoakan dia (akan musibah) atas Ri’lin dan Zakwan.’ [Hadith Bukhari]
Diriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik (r.a): ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) ada membaca qunut pada solat Subuh, mendoa dia pada desa-desa Arab (yang membunuh mubaligh-mubaligh Islam) perkara-perkara keburukan, selama sebulan. Kemudian beliau memberhentikannya.’ [Hadith Ibnu Majah]
Penduduk di empat qariah tersebut telah membunuh 69 daripada 70 orang muabligh Islam yang dihantar Rasulallah (s.a.w) untuk mengajarkan Islam dan syariatnya. Penduduk keempat-empat kampong (desa) tersebut meminta Rasulallah (s.a.w) kirimkan mubaligh. Apabila mereka sampai ke desa-desa tersebut, penduduk desa telah menunggun untuk membunuh mereka. Kesemua dibunuh kecuali seorang yang cedera parah, sempat melarikan diri dan dia melaporkan kepada Rasulallah (s.a.w). Maka rasulallah (s.a.w) memerintahkan umat Islam membaca Doa Qunut (Nazilah) ketika mengerjakan solat fardu yang lima selama sebulan. Doa Qunut ini bukanlah kalimah doa yang dibacakan sekarang ketika solat Subuh.
Diriwayatkan hadith daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman bin Auf berkata mendengar hadith daripada Abu Hurairah yang berkata: ‘Rasulallah (s.a.w) berdoa semasa solat Subuh (doa Qunut Nazilah) ketika sudah takbir selepas Ruku’ dengan bersabda (yakni, membaca): ‘Sami-allahu liman hamidah’, kemudian semasa berdiri dia berdoa: ‘Selamatkanlah al-Walid bin Walid, Salama bin Hisyam, Ayasy bin Rabia’, dan orang-orang yang lemah di kalangan umat Islam. Ya Allah (a.w) ya Tuhan kami! Engkau azablah (kaum) Mudar dan turunkanlah kemarau panjang sebagaimana Engkau turunkan kepada kaum Nabi Yusof (a.s). Ya Allah (a.w) ya Tuhanku! Engkau laknatlah (kaum) Lihyan, Ri’lin, Zakwan dan Usyaya kerana mereka derhaka kepada Allah (a.w) dan RasulNya.’ [Hadith ibnu Majah, juga Abu Daud dan Muslim]
Selepas itu amalan membaca qunut tersebut dihentikan. Tidak ada sandaran nas al-Quran mahupun dalil al-Hadith mengenai Doa Qunut yang kita baca sekarang ini dalam solat Subuh. Adapun kalimah-kalimah Doa Qunut yang dibaca sekarang sebenarnya adalah kalimah-kalimah Doa Qunut yang dikhususkan untuk Solat Witir selepas 15 Ramadhan:
Diriwayatkan hadith daripada Husin bin Ali (r.a) berkata: ‘Mengajar akan aku oleh datukku (yakni, Rasulallah (s.a.w)) beberapa kalimah yang dibacanya pada qunut solat witir ‘(Allahumma ‘afini fiman ‘afait, watawallani fiman tawallait, wahdini fiman hadait, waqini syarama qadait, wabarikli fima ‘atait. Innaka taqdi wala uqda ‘alaik. Innahu la yazillu man walait. Subhanaka rababana tabarakta wata’alait) [Maksud doa: Ya Allah (a.w) ya Tuhan kami semoga memberi kesihatan Engkau atas aku dengan orang yang Engkau kurniakan kesihatan, dan semoga mengatur Engkau akan daku dalam orang-orang yang mengaturkan akan Engkau, dan semoa memberi petunjuk Engkau padaku dalam orang-orang yang Engkau beri petunjuk (hidayah), dan semoa menjauhkan Engkau keburukan yang Engkau hukumkan, dan semoga memberkati Engkau akan daku dalam apa-apa yang Engkau berikan, sesungguhnya Engkau menghukumi dan tidaklah Engkau menghukumi daku, sesungguhnya tidak menjatuhkan Engkau orang-orang yang Engkau sayangi, maha suci Engkau Tuhanku dan memberi berkat Engkau dan maha luhur Engkau.] [Hadith Ibnu Majah & Abu Daud]
Hadith ini menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) mengajar cucundanya kalimah-kalimah Doa Qunut untuk solat Witir selepas 15 Ramadhan. Hari ini, kalimah-kalimah doa ini dijadikan kalimah-kalimah yang dibaca oleh kita dalam Doa Qunut ketika bersolat Subuh! Setelah menyemak sumber-sumber as-Sunnah, tiada ketetapan as-Sunnah yang menyatakan bahawa Rasulallah (s.a.w) membaca Doa Qunut ketika bersolat Subuh. Justeru itu, kemungkinan besar para ulama’ arus perdana yang terdahulu telah membuat ijtihad supaya kita baca ketika bersolat Subuh, wallahu ‘alam.
Mudah-mudahan dengan penjelasan ini kita tahu bahawa as-Sunnah tidak mengajarkan kita membaca Doa Qunut dalam Solat Subuh. Siapakah yang mengajarkannya kepada nenek moyang kita, wallahu 'alam. Namun semenjak kita kecil lagi kita diajarkan berqunut dalam Solat Subuh. Amalan ini adalah berlainan dari ketetapan as-Sunnah. Ini tidak pernah dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Dikhuatiri, jika kita terus kerjakan, kita tergolong antara mereka yang melanggar ketetapan as-Sunnah, maka melanggar ketetapan Allah (a.w) dan menerima akibat yang buruk kerananya. Kita akan teliti suatu masa nanti akibat mengamalkan bid'ah. Antara akibatnya terbatal segala pahala ibadah dan amalan kita dan kita terkeluar dari Islam tanpa kita sedari, dan taubat orang yg mengamalkannya tidak diterima Allah (a.w), wal iyazubillah min zalik!

jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Siapakah Ahlus Sunnah wal-Jamaah?

Bagaimana boleh kita pastikan sesuatu pergerakan atau perkumpulan jema'ah Islam itu tergolong atau tidak dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’? Apakah kayu pengukurnya? Apakah criterianya atau apakah yardstick yang kita boleh gunakan untuk menilai sesuatu jema'ah atau perkumpulan itu tergolong atau tidak tergolong dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Dalam kitab Bharul Mazi, yang dikarang oleh seorang ulama’ terkemuka Malaysia lebih 50 tahun yang lampau, Mohd Idris al-Merbawi, apabila merujuk kepada hadith Rasulallah (s.a.w) yang menyebut tentang 73 golongan Islam dan 72 golongan yang sesat dan hanya satu yang benar itu, dia berpandangan bahawa pengikut keempat-empat mazhab adalah termasuk dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Inilah pendirian beliau dalam mentafsirkan hadith riwayat at-Termidzi tentang perpecahan umat Islam kepada 73 golongan itu. Pengikut mazhab yang empat adalah termasuk dalam golongan satu yang berjaya mendapat syurga. Kita akan teliti hadith ini kemudian nanti. Kita akan bincang kemudian nanti isu ini, iaitu isu sama ada fahaman Wahabi terkeluar dari golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamah’ dan fahaman kemazhaban yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia sekarang ini tergolong dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’ itu.
Berpandukan ketetapan Allah (a.w) dalam Ayat 7, Surah al-Haysr itu dan hadith Rasulallah (s.a.w) di atas itu, kita dapat simpul dan rumuskan bahawa ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’ itu adalah mereka yang menetapai ketetapan as-Sunnah. Sehubungan itu, ‘Ahlus sunnah wal-jamah’ itu semestinyalah golongan yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dalam menjalani kehidupan dunia dan dalam mengerjakan ibadah dan amalan. Di dalam hadith lain Rasulallah (s.a.w) memerintahkan umatnya supaya pegang dengan sekuat-kuatnya ‘as-Sunnah’. Beliau juga memberitahu kita bahawa ‘as-Sunnah’ itu merangkumi sunnah beliau dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin. Maka dengan itu, sebagai contoh, ketetapan Omar ibnu Khattab (r.a), yakni sunnah Omar, adalah sebahagian daripada apa yang disebutkan sebagai ‘as-Sunnah’. Kerana, Rasulallah (s.a.w), di dalam sepotong hadith yang lain, menyuruh umatnya supaya ikuti Abu Bakar dan Omar selepas ketiadaan beliau. Justeru itu jika ada peraturan Islam yang baru (yakni, tambahan kepada syariat ugama Islam yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w)) yang dianjurkan oleh khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin itu, yang mungkin berlainan dengan yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w), selepas kewafatan beliau, peraturan baru itu boleh diterima pakai sebagai as-Sunnah. Inilah yang berlaku dalam amalan mensolatkan Solat Terawih secara berjemaah di bawah seorang imam solat sekarang ini. Dan, inilah juga asas mensolatkan Solat Terawih sebanyak 20 rakaat sekarang ini.
Oleh itu, pra-syarat utama seseorang atau sesuatu kumpulan umat Islam itu tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’ adalah mereka yang menetapi ketetapan al-Quran (terutamanya, Ayat 7, Surah al-Haysr itu) dan as-Sunnah (terutamanya hadith Rasulallah (s.a.w) di atas itu). Ada ciri-ciri lain yang wajib untuk melayakkan seseorang atau sesuatu kumpulan itu tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Ini kita akan huraikan dalam perbicaraan di lain waktu, kerana terlalu panjang perbincangan kita nanti jika kita huraikan pra-syarat lain. Memadai kita lihat pra-syarat utama ini dahulu. Rasulallah (s.a.w) berpesan: ‘Barangsiapa mengerjakan sesuatu amalan (atau ibadah) yang tidak didatangkan dariku, maka dia (yakni, amalannya atau ibadhnya) ditolak.’ [Hadith ibnu Majah]. Jelasnya, sesuatu ibadah atau amalan yang tidak dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) atau yang tidak dicontohkan atau ditunjukkan oleh Rasulallah (s.a.w) bukanlah termasuk dalam as-Sunnah. Jika kita amalkan maka kita melanggar syarat utama ‘Ahlus as-Sunnah wal-jamaah’! ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’ adalah mereka yang menepati ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam hadith di atas itu – iaitu mengambil al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup berugama. Moto hidup mereka adalah 'sami'na wa-ato'na' (maksud: aku dengar dan aku taat).
Sehubungan dengan isu ini, mungkin pembaca boleh baca satu tulisan yang panjang lebar oleh pegawai MAIS, saudara Mahfuz b Muhammad, dalam akhbar Utusan Malaysia keluaran 7 November 2009. Ada banyak pandangan-pandangan beliau dalam menjelaskan fahaman Wahabi itu beliau berkata adalah bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Yang beliau rumuskan adalah segala sesuatu yang tidak dilarang oleh Rasulallah (s.a.w) walaupun tidak dikerjakan oleh Rasulallah (s.a.w) harus atau boleh dibuat atau diamalkan. Mungkin inilah intipati asas pendapat di kalangan ulama’ mainstream di Malaysia tentang ‘bid’ah hasanah’.
Penulis tidak mahu mendebatkan pandangan-pandang mereka sama ada dari JAIS mahupun MAIS lebih-lebih lagi ketetapan manusia atau segolongan manusia, yang cetek ilmunya, tetapi bercakap seolah-olah faqih dalam Islam dan syariatnya, kerana apa yang dikatakan dan dilakukan bertentangan dengan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Umat Islam tidak boleh, malah tidak layak, persoalkan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w).
Menyentuh pandangan saudara Muhamad Isa b Abd. Ralip, yang dikatakan mewakili Persatuan Peguam Syar’i Malaysia (PGSM), penulis hanya ingin merujuk kembali kepada firman Allah (a.w) yang telah kita rujuk awal tadi dalam tulisan ini, iaitu: Firman Allah (a.w):[Maksud: Janganlah kamu melakukan/berbuat sesuatu atau apa-apa yang tiada bagi kamu ilmu mengenainya.] [Ayat 36, Surah al-Isra']. Dan, pesanan Rasulallah (s.a.w):’ Al-ilmu qabla amal’ (Maksud: Hendaklah (kamu) berilmu dahulu sebelum (kamu) membuat sebarang amalan atau perbuatan dalam ugama] [Hadith at-Termidzi]
Kesemua peguam syar’i mendapat kelayakan perundangan Islam (dan mungkin bersekali dengan kelayakan undang-undang sivil juga), tetapi ini tidak bererti mereka faqih tentang ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Maka dengan itu, eloklah mereka berhati-hati dalam usaha untuk memperkecilkan seseorang kerana sebab-sebab tertentu, sanggup menidakkan ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w), wal iya zubillah. Kita wajib berhati-hati dalam melemparkan tuduhan dalam kejahilan. Rasulallah (s.a.w) mengingatkan kita dalam as-Sunnah, jika kita berkata sesuatu yang dikatakan di belakang orang yang kita kata, walaupun betul, maka kita memfitnah. Dan, jika kita mengata di belakang seseorang itu yang tidak betul, maka kita berdusta. Fitnah dan dusta dalam Islam menghakis segala pahala amalan dan ibadah. Kita akan muflis di akhirat, wal iya zubillah! Oleh itu, janganlah kita bertindak sewenang-wenangnya. Lebih baik lakukan sebagaimana YB Menteri (Ugama) di JPM, YB Dato Jamil Khir Baharom lakukan, iaitu bertemu dan bermuzakarah, selesaikan persengketaan. Kemungkinan kita tak tahu apa orang lauin tahu. Apabila sudah sepakat janganlah pula kita berbohong demi sesuatu pertimbangan duniawi.
Penulis hanya ingin melihat pandangan yang timbul dalam konteks ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Semua pandangan adalah batil sekiranya bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah kenyataan yang tidak sama sekali dapat dipersoalkan. Ini ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w).
Sehubungan itu, kita perlu teliti bentuk-bentuk amalan dan ibadah serta cara dan kaedah beramal dan beribadah di kalangan mereka yang mengikuti fahaman kemazhaban dan aliran. Adakah amalan dan ibadah mereka menepati as-Sunnah? Jika tidak, maka mereka tidak boleh dianggap tergolong dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Kita lihat pula pengikut aliran Wahabi. Adakah mereka juga mengikuti ketetapan al-Quran dan as-Sunnah? Jika jawapannya ‘ya’, maka mereka boleh dianggap telah memenuhi pra-syarat utama sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Apabila mereka menepati pra-syarat kedua iaitu mereka Islam secara berjema’ah, maka mereka tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Dalam meneliti pra-syarat (pre-requisite) kedua, iaitu Islam secara berjema’ah, kita akan huraikan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah pada suatu kesempatan lain, insya Allah. Apabila dua pra-syarat (pre-requisite) ini dipeneuhi maka golongan tersebut sah sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’.
Sehubungan itu, jikalah pengikut mazhab itu memenuhi kedua-dua pre-requisite tersebut, maka mereka adalah tergolong dalam ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Kalaulah pengikut aliran Wahabi memenuhi kedua-dua pre-requisite, mereka juga tergolong sebagai golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Begitu jugalah pengikut mazhab yang empat. Jika ajaran mazhab memenuhi kedua-dua pra-syarat tersebut pastilah tergolong sebagai golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’.
Sebenarnya, hari ini majoriti umat Islam tidak benar-benar faham atau faqih tentang panduan mazhab mereka. Soalnya: apakah ajaran mazhab as-Syafie yang selengkapnya? Adakah ajaran mazhab as-Syafie itu sejajar dengan atau menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah? Ini satu persoalan yang amat fundamental. Kerana, Imam as-Syafie, sebagaimana Imam Ahmad ibnu Hanbal, Imam Malik bin Anas, dan Imam Abu Hanifah, adalah juga pengumpul atau periwayat hadith dan ulama’ muhadithin yang muktabar. Jika begitu, semestinyalah mereka tidak mengajarkan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Bagaimana pula dengan aliran Wahabi yang dimulakan oleh Imam Muhamad Abdul Wahab? Muhamad Abdul Wahab, walaupun terkemudian dari imam yang empat itu, juga mendalam ilmunya mengenai al-Quran dan as-Sunnah. Pastilah dia tidak mengajarkan sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah.

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

[Sambungan ...]

Mazhab dan Aliran atau Ikutan

Saya tertarik dengan komen YB Datuk Dr Mashitah, Timbalan Menteri di JPM, bahawa tiada fatwa yang menyebut bahawa ‘aliran Wahabi’ itu aliran sesat atau menyimpang dari Islam. Namun, beliau menyebut kekhuatiran pihak berkuasa ugama Islam dikebanyakan negeri di Malaysia, jika fahaman Wahabi ini dibenarkan, diajar dan dikembangkan di Malaysia kerana mungkin mengelirukan umat Islam di Malaysia. Inilah pandangan para ilmuan dan tokoh-tokoh ugama di Malaysia. Jika fahaman Wahabi tidak sesat dan tidak menyimpang dari akidah dan ketetapan Islam, ianya dilarang kerana umat Islam telah diwajibkan oleh pihak berkuasa ugama negeri supaya ikuti hanya satu fahaman, yakni fahaman mazhab as-Syafie. Justeru itu, dapat kita rumus dan simpulkan bahawa di Malaysia ini orang Melayu hanya dibolehkan anuti Islam mengikut fahaman kemazhaban, khususnya mazhab as-Syafie.
Soalnya: Adakah fahaman mazhab lain seperti Hanbali, Hanafi dan Maliki itu dilarang orang Melayu anuti? Wallahu ‘alam. Setahu penulis, tiada ketetapan sedemikian. Malah segolongan besar ilmuwan Islam akui bahawa keempat-empat mazhab yang utama ini diakui oleh majoriti para ulama’ sebagai tergolong dalam istilah atau definasi ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Tetapi, dalam perdebatan yang berkaitan dengan isu mazhab dan aliran ini, aliran Wahabi tidak diakui atau diragui oleh pentadbir ugama di Malaysia sebagai tergolong dalam golongan ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Jika sesuatu aliran itu tidak termasuk dalam golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah', adakah Islamnya diterima Allah (a.w)? Kita telah teliti sabda Rasulallah (s.a.w) bahawa di akhir zaman kelak umat Islam berpecah menjadi 73 golongan atau mazhab, 72 golongan atau mazhab masuk neraka, yakni tidak berjaya mendapat syurga, dan hanya satu golongan sahaja yang mendapat syurga. Golongan yang satu yang mendapat syurga itu adalah mereka yang menepati sabda Rasulallah (s.a.w): 'Ma ana 'alaihi wa-ashabi', khususnya mereka yang berpandukan sunnah Rasulallah (s.a.w) dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin dan mereka Islam secara berjema'ah. Pendeknya, jika bukan tergolong sebagai 'alus sunnah wal-jama'ah' maka mereka termasuk dalam 72 golongan yang gagal mendapat syurga.
Anihnya pula, semua umat Islam di Malaysia dan di merata dunia menunaikan haji dan umrah di Mekah. Para ulama' menyatalan umat Islam di Saudi Arabia itu mengikuti 'fahaman Wahabi'. Jika begitu pengikut mazhab as-Syafie, bersolat di belakang imam Wahabi! Jadi bagaimana? Terbatal segala amalan dan ibadah semasa berhaji atau menunaikan umrah?
Semasa menjawab soalan Parlimen menyentuk episod penangkapan bekas Mufti Perlis itu, YB Timbalan Menteri tersebut menyokong keputusan JAIS supaya mereka yang ingin berdakwah dalam Selangor perlu mendapat 'tauliah' JAIS. Dalam konteks fahaman kemazhaban YB Datuk Dr Mashitah menyatakan tiada ketetapan Jemaah Mufti, atau fatwa, yang memutuskan bahawa aliran atau ajaran Wahabi itu sesat ataupun menyanggahi fahaman ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’. Jika fahaman Wahabi itu tidak sesat dan sejajar pula dengan golongan 'ahlus sunnah wal-jama'ah', mengapakan ditegah fahaman tersebut disebarkan? Jawapannya: pihak berkuasa ugama di Malaysia tidak memberi kebebasan kepada umat Islam memilih mazhab. Orang Melayu di'wajibkan' mengikuti fahaman mazhab as-Syafie sahaja. Tiada pilihan lain.
Sebenarnya tidak ada faedahnya berdebat tentang mazhab. Kerana dalam Islam tiada mazhab atau golongan-golongan tertentu dalam mengabdikan diri kepada Allah (a.w). Yang perlu diutamakan adalah manusia itu Islam dan mengabdikan diri mereka kepada Allah (a.w) dengan panduan yang satu iaitu panduan al-Quran dan as-Sunnah> Pendeknya mengikuti ketetapan as-Sunnah, yakni mencontohi Rasulallah (s.a.w) dalam semua perkara. Maka dengan itulah sesiapa sahaja yang menetapi perintah Rasulallah (s.a.w) supaya ikuti as-Sunnah (sunnah beliau dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin) dan berada dalam Islam secara berjemaah, maka mereka menepati perintah Allah (a.w) dan suruhan Rasulallah (s.a.w). Mereka dijamin mendapat syurga. Pematuhan kepada ketetapan mazhab tidak menjamin syurga!
Sehubungan dengan itu 'as-sunnah wal-jama'ah' sahaja brand Islam yang sah dan haq. Lain-lain brand Islam mengundang kecelakaan dan padah. Ini yang amat utama kita yang Islam itu beri perhatian dan tumpuan. Sesiapa yang mendalami ilmu as-Sunnah akan tahu bahawa ajaran tokoh-tokoh ulama' terdahulu seumpama Imam as-Syafie, Imam Ahmad ibnu Hanbal, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, yang kononnya menjadi pengasas kepada mazhab masing-masing, tidak bertentangan dengan as-Sunnah. Mereka juga adalah ulama' muhadithin - pengumpul hadith, sebagaimana Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam an-Nasa'i, Imam Abu Daud, Imam at-Termidzi, dan Imam ibnu Majah, yang terkenal sebagai ulama' muhadithin yang tertinggi kedudukan mereka. Malah mereka berpesan kepada pengikut-pengikutnya supaya ketepikan pandangannya yang didapati bertentangan dengan atau berlainan dari ketetapan as-Sunnah. Apa yang kita amalkan hari ini, sebahagiannya, adalah bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Malah sudah semakin banyak yang berlainan dari as-Sunnah. Ini semua tambahan oleh para ilmuwan dan ulama' kemazhaban yang taksub kepada fahaman kemazhaban, sehingga telah mengubah ajaran imam-imam tersebut. Justeru itu, untuk memastikan kita beribadah dan beramal dengan selamat - berjaya mendapat syurga dan terselamat dari neraka - hendaklah kita ikuti ajaran as-Sunnah sahaja. Itu pilihan yang bijak. Pilihan selainnya adalah batil. Inilah maksud sabda Rasulallah (s.a.w): sesiapa yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah pasti masuk syurga itu [Ayat 13, Surah an-Nisa'(sila rujuk hadith di bawah nanti).
Sebelum kita bincangkan dengan panjang lebar siapakah atau golongan manakah tergolong sebagai ‘Ahlus sunnah wal-jamaah’, kita lihat hadith berikut. Rasulallah (s.a.w) dalam sepotong hadith menyebut:
Sabda Nabi (s.a.w): (Taraktu fikum amraini ma in tamasaktum bihima lan tadillu, kitaballahi wasunnati nabiyi) [Maksud: Aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, tidak akan sesat kamu selama-lamanya (dalam mencari dan mendapat serta mengikuti siratul mustaqim, yakni mendapatkan syurga) (iaitu): Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan sunnah nabiNya (yakni, sunnah Rasulallah (s.a.w)) . [Hadith sahih at-Termidzi, Ahmad ibnu Hanbal, Ibni al-Asim, al-Hakim, at-Tobrani, ad-Dalamii dan al-Thahawi]
Hadith ini telah kita rujuk sebelum ini di awal perbincangan kita dalam tajuk ini. Ini adalah jaminan Rasulallah (s.a.w). Jaminan itu: Jika kita ikuti al-Quran dan as-Sunnah, kita pasti tidak akan sesat. Dan, kita pasti mendapat syurga di akhirat kelak. Itu jugalah jaminan Allah (a.w) kepada hambaNya (rujuk Ayat 7, Surah al-Haysr dan Ayat 13 dan 14 Surah an-Nisa'). Seterusnya, cuba kita teliti dan halusi golongan manakah dapat diiktiraf sebagai golongan ‘ahlus sunnah wal-jama’ah berpandukan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Ada dua ciri hakiki golongan ini: pertama, ‘ahli as-Sunnah’ (yakni, mereka berpandukan as-Sunnah) dan kedua, ‘ahli jema’ah’ (yakni, mereka menganuti Islam dalam beramal dan beribadah dan dalam hubungan sesama mereka dalam jema'ah). Golongan ‘ahlus sunnah wal-jama’ah’ itu hendaklah menepati dua ciri, malah pra-syarat atau precondition, tersebut.[Nota: Malangnya hari ini, rata-rata para ulama' dan ilmuwan Islam menolak sabda Rasulallah (s.a.w) ini. Mereka mendahlukan mazhab dan mengkemudiankan as-Sunnah! Adakah mereka ini Islam atau benar-benar Islam? Mereka sendiri faham maksud soalan ini. Sesiapa yg menolak as-Sunnah pastilah tidak islam, Ayat 13, Surah an-Nisa'].

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

Wednesday, November 25, 2009

Ibadah Qurban

Assalamualaikum,
Mungkin tidak terlambat jika kita teliti suatu amalan yang amat besar pahalanya di sisi Allah (a.w) dalam bulan Zulhijjah ini, iaitu amalan qurban.
Amalan qurban ini adalah dikerjakan mengambil contoh ketaatan Nabi Ibrahim (a.s) yang diperintah oleh Allah (a.w) melalui wahyu supaya menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail (a.s), ketika Ismail (a.s) berusia 12 tahun. Peristiwa ini disebutkan dalam Surah al-Hajj. Kemudian amalan qurban ini disebutkan sebagai perintah Allah (a.w) dalam Surah al-Kauthar.
Ramai orang mengerjakan qurban, tetapi ramai juga mereka yang mengerjakan qurban itu terlibat dalam perasaan riak dan ujub diri. Kita diperingatkan oleh Allah (a.w) banyak kali dalam al-Quran bahawa setiap amalan yang dikerjakan dicemari oleh perasaan riak tidak mendapat sebarang ganjaran pahala. Kita akan teliti isu riak dan ujub diri ini disuatu masa yang sesuai. Kerana, ia melibatkan bukan sahaja amalan berkurban tetapi dalam semua dimensi ibadah dan amalan. Buat masa ini, kita fokuskan perhatian kita kepada pahala mengerjakannya.Cuba kita teliti hadith berikut:
Dari Aisyah (r.ah) (berkata dia): ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah bersabda: ‘Tidak beramal anak Adam dari (suatu) amalan pada hari (yakni, hari raya Aidil Adha) yang lebih disukai oleh Allah (a.w) (selain) daripada mengalirkan darah (yakni, menyembelih Qurban). Sesungguhnya (bagi mereka yang) berqurban nescaya pada hari Qiamat (kelak) dimana tanduknya dan bulunya dan kukunya (sampai kepadanya berbentuk pahala), dan sesungguhnya sebelum jatuh darahnya (ke bumi) nescaya daripada Allah (a.w) (mendapat ganjaran pahala). Maka bersenanglah (bergembiralah) sekelian kamu dengan Qurban bagi dirinya.’ [Hadith sahih at-Termidzi]
Hadith di atas itu menyebutkan sebelum jatuh darah binatang qurbannya ke bumi sudah dikira pahalanya untuknya (yang mengerjakan qurban). Maka Rasulallah (s.a.w) menyuruh umatnya supaya mengerjakan qurban kerana amalan itu sangat disukai Allah (a.w) dikerjakan oleh hambaNya.
Daripada Zahid bin Arqam (r.a) berkata dia: ‘Berkata seorang sahabat Rasulallah (s.a.w)(bertanya kepada beliau): ‘Ya, Rasulallah (s.a.w), apakah ini beberapa Qurban?’. Menjawab Rasulallah (s.a.w): ‘Telah disunatkan oleh bapa kamu sekelian Nabi Ibrahim (a.s) (Nota: peristiwa perintah Allah (a.w) kepada Nabi Ibrahim (a.s) untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail (a.s) sebagai menguji ketaatnya terhadap perintah Allah (a.w), yang kemudiannya digantikan dengan seekor qibas (oleh Allah (a.w)) semasa hendak menyembelihnya)’. Maka berkata sahabat lagi: ‘Maka apakah bagi kami (yakni, kefadhalan atau kebaikannya) dalam Qurban, ya Rasulallah (s.a.w)?’
Maka dijawab Rasulallah (s.a.w): ‘Dengan tiap-tiap sehelai rambut (yakni, bulu binatang Qurban itu) satu kebaikan (yakni, pahala dari Allah (a.w)’. Bertanya lagi sahabat tersebut: ‘Maka bagaimana pula dengan bulu-bulu halusnya, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Dijawab oleh Rasulallah (s.a.w):
‘Tiap-tiap satu rambut dari bulu halusnya satu kebaikan.’ [Hadith sahih Ibnu Majah]
Hadith di atas itu menyebutkan juga bahawa kiraan pahala qurban itu termasuk juga bulu-bulu halus ternakan qurban tersebut.
Bagi kita yang pernak menyaksikan upaca menyembelih qurban itu, mungkin kita mendengar orang yang menyembelih itu membaca sesuatu, yakni lafaz kalimah semasa menyembelih. Di dalam hadith berikut kita diberitahu apakah kalimah-kalimah yang dibaca Rasulallah (s.a.w) dan kaedah menyembelih ternakan qurban itu. Yang wajib dibaca adalah kalimah 'Bismillah, Allahu Akbar' sahaja. Tidak perlu membaca lain-lain kalimah. Kita diperingatkan oleh Allah (a.w) bahawa Rasulallah (s.a.w) itu adalah 'uswatun hasanah' (model terbaik bagi orang islam), maka ikuti apa yang dilakukannya, janganlah kita menambah kepada kalimah-kalimah yang dibaca. Kerana ditakuti kita melakukan sesuatu yang bersifat bid'ah pula.
Qatadah (r.a) menyebutkan bahawa Anas bin Malik (r.a) menceritakan kepadanya suatu hadith yang (kata Annas) daripada Nabi (s.a.w): ‘Sembelihlah Qurban dua ekor kibas yang kedua-duanya bertanduk dan gemuk badannya’, (maka) memijak Nabi atas lembong (yakni, perut) badan kedua-dua kambing itu, dan menyembelih dia kedua-duanya, dengan membaca ‘Bismillah’ Nabi dan membaca ‘Takbir’ (yakni, Allahu Akbar) Nabi.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Hadith di atas juga mnenyebutkan perkara yang sama.
Daripada Jabir bin Abdullah (r.a.) berkata dia: 'Telah datang kami atas Rasulallah (s.a.w) semasa (Aidil) Adha pada tempat bersolat. Maka ketika selesai Nabi pada khutbahnya maka turun dari mimbarnya dan diberikan (kepadanya) seekor kambing (kibas) maka menyembelih Rasulallah (s.a.w) dengan tangannya sendiri dengan menyebut: ‘Bismillah, Wallahu Akbar’ atas ini Qurban dariku dan dari orang-orang yang belum menyembelih Qurban dari umatku’'. [Hadith sahih Abu Daud]
Kaedah atau cara menyembelih qurban itu diberitahu melalui hadith berikut:
Diriwayatkan daripada isteri Nabi (s.a.w), Aisyah (r.ah) bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah memerintahkan dengan (yakni, dibawa) seekor kibas yang bertanduk, berwarna hitam dan tidak cacat pada kambing itu dan melihat pada keadaan (atau sifat) kibas itu, maka diberi kepada Nabi dengan kambing kibas itu supaya Nabi menyembelih pada kibas itu. Maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Ya Aisyah, bawakanlah pisau.’ Kemudian bersabda pula: ‘Tajamkanlah pisau dengan batu (pengasah pisau).’ Maka mengerjakan Aisyah (r.ah) (seperti yang disuruh), kemudian mengambil Nabi akan pisau maka mengambil Nabi akan kambing itu, maka ditidurkan oleh Nabi kambing itu, kemudian menyembelih kambing itu dengan membaca ‘Bismillah, Allahumma Taqabbal baina Muhammad, wa aali Muhammad, wamin ummati Muhammad’ [Maksud: Dengan nama Allah (a.w). Wahai Tuhan kami! Engkau (Allah (a.w) terimalah (Qurban) dari Muhammad (s.a.w) dan daripada ahli rumah Muhammad (s.a.w), dan daripada umat Muhammad (s.a.w)] kemudian menyembelih Nabi kibas Qurban itu.' [Hadith Imam Muslim]
Sehubungan ini, kita sering diberitahu bahawa jika kita kurang mampu untuk berkurban dengan seekor ternakan, kita dibolehkan berkongsi tujuh orang bagi seekor lembu. Ada orang mentafsirkan bahawa perkongsian ternakan qurban tidak boleh kurang atau lebih dari tujuh bahagian. Inilah ketetapan mereka yang mengikuti fahaman as-Syafie. Apa kata as-Sunnah?
Sepotong hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) yang berkata: ‘Ada kami berserta Rasulallah (s.a.w) semasa dalam perjalanan (musafir) maka datang hari raya Qurban maka berkongsilah kami dalam mendapatkan seekor unta (untuk Qurban) - berkongsi seekor unta sepuluh orang dan seekor lembu berkongsi tujuh orang.’ [Hadith sahih an-Nasa’i]
Hadith di atas ini memberitahu seekor unta dikongsi 10 orang dan seekor lembu dikongsi 7 orang.
Ramai para ulama' dan ilmuwan Islam membuat ketetapan bahawa itulah formula perkongsian yang dibenarkan oleh Islam. Sebenarnya, hadith itu tidak menetapkan sesuatu ketetapan hukum tetapi memberitahu bahawa perkongsian bagi seekor unta itu hendaklah 10 orang atau seekor lembu itu dikongsi oleh 7 orang. Dalam kes ini terdapat 10 orang berkongsi menyembelih seekor unta qurban dan ada 7 sahabat lain berkongsi menyembelih seekor lembu. Sebenarnya, Islam tidak menyaratkan formula tersebut. Islam menggalakkan umatnya menyembelih qurban. Jika seekor lembu itu tidak mampu dikongsi oleh 7 orang, maka lebih dari 7 orang boleh berkongsi membeli seekor lembu dan menyembelihnya. Oleh kerana pahala qurban itu amat banyak, maka tidaklah adil jika ibadah qurban ini terhad kepada mereka yang berada sahaja. Orang miskinpun boleh menyembelih qurban - seumpama berkongsi 20 orang seekor lembupun digalakkan dalam Islam.

Jazakallahu khairah.

Puasa (Sunat) Arafah

Assalamualaikum,
penulis merasa terkilan jika tidak memberitahu pembaca dan saudara sesama Islam tentang Puasa Arafah ini. Walaupun agak terlambat, penulis perlu sampaikan juga demi kebajikan saudara sesama Islam (lelaki dan perempuan).
Insya Allah (a.w) sebagaimana yang telah diumumkan, jema'ah haji akan Wukuf di Arafah hari Khamis ini (esok) dan keesokan harinya, Jum'at, mereka akan bersolat Aidil Adha. Kali ini jema'ah haji berpeluang meraih pahala yang besar kerana Aidil Adha jatuh pada hari Jum'at - Haji Akbar.
Bagi kita yang tidak berada dalam jema'ah haji, disunatkan berpuasa hari Khamis (esok). Puasa ini memberi ganjaran pahala yang amat besar, jikalah niat kita berpuasa demi mencari keredhaan Allah (a.w). Kita lihat apa sabda Rasulallah (s.a.w) mengenai puasa ini:
Diriwayatkan hadith daripada Ibnu Abbas (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tiada daripada segala hari ‘amal yang soleh di dalamnya lebih suka kepada Allah (a.w) daripada ini sekelian hari sepuluh.’ Maka berkata mereka: ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Dan tiada perang (jihad) di jalan Allah (a.w)?’ Maka bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan tiada perang (jihad) dalam jalan Allah (a.w) melainkan seorang lelaki yang keluar dia dengan dirinya (bersendirian) dan hartanya, maka tiada kembali dia daripada demikian itu dengan sesuatu (yakni, lebih baik daripada ‘amalan soleh dalam sepuluh hari awal Zulhijjah).’ [Hadith Bukhari dan hadith hasan sahih gharib at-Termidzi]
Besarnya pahala mengerjakan Puasa Arafah ini disebutkan di dalam hadith di atas itu, iaitu pahalanya melebihi pahala yang diperolehi oleh seseorang yang berjihad fi sabilillah dengan dirinya dan hartanya, yakni, dia berjihad kemudian hartanya habis dan terkorban - habis harta dan nyawanya.
Diriwayatkan hadith daripada Abdillah Ibni Ma’badin az-Zamani, daripada Abi Qatadah (r.a) berkata bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Adapun puasa hari Arafah sesungguhnya aku mencari di sisi Allah (a.w) apabila melebur Allah (a.w) (dosa-dosa) setahun yang sebelumnya dan setahun yang sesudahnya.’ [Hadith at-Termidzi, Kitab Saum]
Hadith di atas ini pula memberikan satu lagi kefhadalannya, iaitu Allah (a.w) melebur segala dosa (kecuali dosa-dosa besar) setahun sebelum Aidil Adha ini dan setahun selepas Aidil Adha ini pula. Puasa itu mengkifarahkan dosa-dosa mereka yang mengerjakannya demi mencari keredhaan Allah (a.w).
Diriwayatkan hadith daripada Abi Qatadah (r.a) katanya bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Puasa hari arafah sesungguhnya aku atas Allah (a.w) bahawa mengkifarahkan (yakni, melebur atau menghapuskan oleh Allah (a.w) dosa-dosa) (antara) tahun yang dahulunya (sampai) pada tahun yang kemudiannya.’ [Hadith hasan at-Temidzi]
Hadith yang ketiga di atas itu memberi kita tahu kefadhalan yang sama iaitu Allah (a.w) mengkifarahkan dosa-dosa kita dua tahun - dosa-dosa tahun lalu dan dosa-dosa tahun yang akan datang.
Pahala ini bergantung kepada keikhlasan kita mengerjakannya. Sesungguhnya semua amalan dengan niat. Niat yang benar itu adalah niat yang sejajar dengan firman Allah (a.w) dalam Ayat 57, Surah al-Isra': '...wa-yarjuna rahmatahu wa-yakhafuna 'azabahu ...'[maksud: Dan (kerana) mencari kerahmatan Allah (a.w) dan takutkan 'azab Allah (a.w)].
Mudah-mudahan kita mendapat ganjaran pahala yang disebutkan oleh Rasulallah (s.a.w) kerana mengerjakan Puasa Arafah ini pada hari Khamis ini, insya Allah.

Jazakallahu khairah.

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Assalamualaikum,
Kita lanjutkan lagi perbincangan kita mengenai tajuk ini sebagai sambungan kepada post sebelum ini.

Tauliah dan Ilmu: Ketetapan JAIS

Di dalam akhbar Utusan Malaysia, disebutkan bahawa Pengarah JAIS telah bertemu dengan DYMM Sultan Selangor menyembahkan episod penangkapan bekas Mufti Perlis tersebut dan, rasanya, telah menasihatkan DYMM Sultan, apakah ketetapan yang terbaik dibuat. Keputusan yang dicapai adalah sesiapa yang ingin berdakwah kepada umat Islam negeri Selangor, termasuk hendak berceramah dan membaca khutbah, mestilah terlebih dahulu mendapat ‘tauliah’ dari JAIS. Itulah ketetapan pihak berkuasa ugama negeri Selangor. Dan, kerana itu bekas Mufti tersebut telah didakwa. Isunya apakah pihak JAIS bersedia mentauliahkan mereka yang berilmu yang memohon tauliah? Dilaporkan di dalam akhbar bahawa seorang pendakwah bebas lain, Dr Abdullah Yasin, beberapa kali memohon ditauliahkan, tetapi sehingga sekarang tidak berjaya. Soalnya: Apakah ilmu beliau mengenai Islam jauh lebih rendah? Atau, dia lebih jahil dari mereka di JAIS? Siapakah yang boleh dan mampu menilai ilmu seseorang yang memohon ditauliahkan?
Berhubung dengan soalan pertama, di Selangor, tauliah bukanlah suatu yang otomatis. Kemungkinan besar mereka yang ada ‘rekod buruk’ dengan JAIS tidak akan diberi tauliah. Contohnya adalah apakala Dr Abdullah Yasin dilaporkan berkali-kali memohon tetapi tidak diluluskan. Malahan, penulis rasakan oleh kerana Dr. Asri tidak lagi menjawat jawatan formal dalam kerajaan, jika dia memohonpun apakah kemungkinan besar beliau tidak ditauliahkan. Katanya, beliau sering mengkritik banyak pihak - Mufti negeri-negeri lain, jabatan-jabatan ugama Islam negeri lain, termasuklah JAIS. Malah beliau digam sebagai pengikut dan pendokong fahaman Wahabi. Anihnya, JAIS berpandangan atau berpendirian bahawa fahaman Wahabi bertentangan dengan fahaman perdana Mazhab as-Syafie sebagaimana yang diikuti di Malaysia, dan fahaman Wahabi, bukanlah sejajar dengan pemahaman ahlus sunnah wal-jam'ah yang difahami di Malaysia, yakni tidak sejajar dengan ketetapan golongan tersebut.
Sememangnya sifat ajali manusia, termasuklah, orang ugama sekalipun, tertakluk kepada pengaruh perasaan dan hawa nafsu mereka. Mudah tersinggung oleh komen dan kritikan dan pandangan yang berbeza. Oleh kerana itu kemungkinan besar dalam menimbangkan seseorang untuk ditauliahkan, hawa nafsu serta lain-lain pertimbangan yang batil akan mempengaruhi pemikiran serta keputusan yang rasional. Mereka pula berkuasa. Mereka mungkin akan mencari pelbagai helah untuk tidak membenarkan seseorang yang tidak sealiran atau memiliki ‘rekod buruk’ untuk berdakwah dalam negeri Selangor.
Menyentuh isu kedua pula, adalah suatu kemestian bahawa orang atau pihak yang menimbangkan dan meluluskan tauliah pastilah memiliki ilmu yang jauh lebih banyak dan lebih faqih tentang Islam dan syariatnya dari mereka yang hendak ditauliahkan. Maka dengan itulah Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis yang menggantikan Dr. Asri, disebutkan sebagai berkata: ‘Adakah logik mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya?’ Dalam konteks ini kita boleh bertanya, sebagai contoh, adakah pegawai-pegawai JAIS lebih faqih tentang Islam dan syariatnya, khususnya faqih dan mendalam ilmunya mengenai al-Quran dan as-Sunnah berbanding dengan, katalah, peronaliti seumpama Dr Asri, Dr. Juanda atau Dr Ridzuan Tee? Atau, adakah orang yang mendapat ilmu setelah mengaji al-Quran dan as-Sunnah beberapa tahun di pesantren atau sekolah ugama rakyat, kurang ilmunya berbanding dengan mereka yang memiliki Ph D dalam bidang ugama dari universiti ulong Islam seperti al-Azhar, Umul Qura, Jordan, atau Madinah dan seumpamanya? Bagaimana pula taraf mereka yang mendapat Ph D dalam bidang ‘Islamic Theology’ dari Universiti St Andrew di UK dan Temple University di USA? Mereka juga mengkaji al-Quran dan as-Sunnah. Apakah mereka a’lim tentang Islam dan syariatnya sebagaimana mereka yang memegang ijazah Ph D dari al-Azhar, Umul Qura, Madinah atau Jordan?
Yang utama dalam menimbangkan tauliah ini adalah dasar dan asas ilmu orang yang mentauliah dan orang yang ditauliahkan. Dalam konteks Islam dan syariatnya, ukuran ilmu dan relevannya ilmu, bukan bersandarkan ijazah Ph D, Sarjana (MA) atau BA dalam bidang ugama. Atau, mendapat ilmu dari institusi pengilmuwan tradisional seperti pesantren atau sekolah ugama rakyat atau sekolah pondok. Bukan juga mengkaji kitab-kitab karangan ilmuwan atau ulama’ secara berguru. Sumber ilmu yang haq itu adalah al-Quran dan as-Sunnah. Hendaklah dipelajari juga secara berguru. Allah (a.w) memberi kita tahu ilmu itu adalah apa yang disebutkan dalam Ayat 13 dan 14 Surah an-Nisa’, Ayat 7, Surah al-Haysr dan diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w) dalam sabda beliau, antaranya:
Sabda Nabi (s.a.w): [Maksud: Aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, tidak akan sesat kamu selama-lamanya (dalam mencari dan mendapat serta mengikuti siratul mustaqim, yakni mendapatkan syurga) (iaitu): Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan sunnah nabiNya (yakni, sunnah Rasulallah (s.a.w)) . [Hadith sahih at-Termidzi, Ahmad ibnu Hanbal, Ibni al-Asim, al-Hakim, at-Tobrani, ad-Dalamii dan al-Thahawi]
Kemudian, Rasulallah (s.a.w) secara khusus pula memberi kita tahu bahawa ilmu yang menjadikan seseorang itu ‘alim atau berilmu dalam konteks Islam adalah seperti sabdanya berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ass (r.a) berkata: ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda:[Maksud: Bahawasanya ilmu yang wajib dipelajari itu adalah tiga, adapun di belakangnya (yakni, selepas atau selain ilmu yang tiga itu) maka ilmu tersebut baik (dipelajari): (Yang wajib) iaitu (pertama) ayat-ayat yang menghukum (yakni, al-Quran), (kedua) sunnah yang tegak (yakni, al-hadith atau as-Sunnah), dan (ketiga) hukum faraid yang adil][Hadith Abu Daud & ibnu Majah]
Kenapa? Segala sesuatu dalam Islam adalah tertakluk kepada ketetapan Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (yakni, as-Sunnah). Kerana Rasulallah (s.a.w) adalah ‘uswatun hasanah’ (model terbaik sebagai ikutan) mencontohkan bentuk-bentuk ibadah dan cara serta kaedah beribadah dan amalan. Beliau memberi panduan hakiki akhlak terbaik dan termulia orang Islam yang beriman. Justeru itu, tidak kira ijazah atau kelulusan apa atau sekolah mana seseorang itu belajar mengenai Islam dan syariatnya, sekiranya dia faqih dalam ilmu al-Quran dan as-Sunnah melalui suatu sistem pengajian formal yang ada gurunya, maka orang itu boleh diiktiraf ‘alim atau berilmu. Kefaqihan dalam al-Quran melibatkan sekurang-kurangnya tiga dimensi, iaitu membacanya dengan baik dari segi lagu dan sebutan, faham isi kandungan apa yang dibaca dan boleh mentafsirkan ayat-ayatnya berpandukan as-Sunnah. Dalam konteks kefaqihan dalam ilmu as-Sunnah pula, seseorang itu hendaklah khattam ‘Kuttubul Sittah’. Enam kitab tersebut adalah koleksi hadith-hadith utama yang memberitahu kita as-Sunnah dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin. Mereka yang memiliki ilmu sedemikian boleh dianggap berilmu dalam Islam dan mereka boleh menimbang kesahihan apa-apa yang hendak disampaikan atau yang disampaikan oleh mana-mana pendakwah. Justeru itu, merekalah berkelayakan yang haq menilai keilmuan seseorang itu tentang Islam dan syariatnya!
Sehubungan itulah, Allah (a.w) menyuruh kita hendaklah kita kerjakan atau lakukan atau cakapkan sesuatu hanya dengan kafaqihan kita mengenainya terlebih dahulu. Jangan bercakap sesuka hati atau sembarangan tentang sesuatu dalam kejahilan. Dengan itulah juga, Rasulallah (s.a.w) menyuruh supaya seseorang itu berilmu dahulu sebelum beramal atau hendaklah seseorang itu beramal dan bercakap dengan sandaran ilmu yang haq, iaitu ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah.
Sehubungan itu, yang utama kita beri perhatian adalah seseorang itu hanya betul-betul faqih tentang Islam dan syariatnya jika mereka faqih dalam ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Dua ilmu ini diwajibkan seseorang Islam itu mempelajarinya dan mengajarkan orang lain yang tidak tahu atau kurang berilmu tentangnya. Allah (a.w) mengingatkan hambaNya dengan firman: [Maksud: Janganlah kamu melakukan/berbuat sesuatu atau apa-apa yang tiada bagi kamu ilmu mengenainya.] [Ayat 36, Surah al-Isra']. Dan, Rasulallah (s.a.w) berpesan kepada kita dengan sabdanya: ’Al-ilmu qabla amal’ (Maksud: Hendaklah (kamu) berilmu dahulu sebelum (kamu) membuat sebarang amalan atau perbuatan dalam ugama] [Hadith at-Termidzi]. Ilmu itu amat penting, kerana seseorang yang Islam itu ingin berjaya mematuhi ketetapan Allah (a.w). Allah (a.w) berfirman: ‘Barangsiapa taatkan Allah (a.w) (yakni, ikuti ketetapan al-Quran) dan taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah) dimasukkan ke dalam syurga.’ [Ayat 13, Surah an-Nisa] dan supaya dapat dipatuhi firman Allah (a.w) iaitu: ’Barangsiapa menentang Allah (a.w) (yakni, tidak patuhi ketetapan al-Quran) dan menentang Rasulallah (s.a.w) (yakni, tidak patuhi ketetapan as-Sunnah) dan melanggar ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah (a.w) akan dimasukkan ke dalam neraka.’ [Ayat 14, Surah an-Nisa]. Dan, Allah (a.w) mewajibkan semua yang Islam mencontohi Rasulallah (s.a.w) dalam memandu kehidupan dunia dan dalam mengerjakan ibadah dan amalan kerana Rasulallah (s.a.w) adalah ‘uswatun hasanah’ (model ikutan terbaik). Tiada manusia yang lebih baik dari Rasulallah (s.a.w).
Firman Allah (a.w): {Maksud: Nescaya sungguh-sungguh ada bagi kamu sekelian dalam (segala sesuatu pada) Rasulallah (s.a.w) itu contoh terbaik bagi mereka yang berkehendakkan bertemu dengan Allah (a.w) (di akhirat kelak) dan (yakin dia tentang pertemuan mereka dengan Allah (a.w)) pada hari akhirat (yakni, hari pembalasan) dan (mereka sentiasa) mengingati Allah (a.w) sebanyak-banyaknya (dengan cara mengerjakan amal dan ibadah yang ditetapkan oleh Allah (a.w) dan RasulNya, meliputi amalan wajib dan amalan sunat)] [Ayat 21, Surah al-Ahzab]
Dan, hanya mereka yang mendapat syurga yang akan berkesempatan bertemu Allah (a.w) dan melihat wajah Allah (a.w), nikmat teristimewa di akhirat kelak. Allah (a.w) wajibkan umat Islam berpandukan as-Sunnah. Ini jelas sebagaimana diperintahkan dalam Ayat 7, Surah al-Haysr: ‘Dan apa-apa yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w) (yakni, al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah kamu ambil, dan apa-apa yang ditegahnya (yakni, ketetapan al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah kamu tinggalkan.’ Allah (a.w) memberi jaminan bahawa sesiapa yang menetapi as-Sunnah, yakni taatkan Rasulallah (s.a.w), maka dia telah mentaati Allah (a.w). Orang-orang yang beriman itu sentiasalah dia menjadikan as-Sunnah panduannya dalam semua perkara dan patuhi peraturan as-Sunnah. Kerana dengan kepatuhan sedemikian itu dia telah, secara otomatis, mematuhi ketetapan Allah (a.w).
Allah (a.w) berfirman:[Maksud: Barangsiapa taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah) sungguh-sungguh mereka telah mentaati Allah (a.w) (yakni, ikuti ketetapan al-Quran)’ [Ayat 80, Surah an-Nisa’]
Justeru itu juga, ilmu seseorang itu mengenai Islam dan syariatnya hendaklah dinilai dalam konteks kefaqihan dalam ilmu as-Sunnah. As-Sunnah memberitahu segala sesuatu bagaimana hendak mengikuti Rasulallah (s.a.w) sebagai ‘uswatun hasanah’ dalam menjalani kehidupan dunia yang diredhai Allah (a.w) dan berjaya diakhirat mendapat kerahmatan Allah (a.w). Islam dan syariatnya bukanlah bahan kajian akademik. Islam dan syariatnya bukanlah sesuatu yang sentiasa mengalami evolusi sebagaimana ilmu duniawi. Islam dan syariatnya telah ditetapkan oleh Allah (a.w) dan disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w). Apabila Rasulallah (s.a.w) diwafatkan, maka sempurnalah Islam dan syariatnya. Maka dengan itu jugalah Rasulallah (s.a.w) adalah ‘Rasul terakhir’ dan ‘Penutup para nabi’ (khattamal nabiyin) yang disebutkan dalam al-Quran. Walaupun Islam dan syariatnya sudah sempurna, tetapi ilmu manusia itu yang belum sempurna! Oleh kerna itulah ramai mereka yang bergelar ulama’ dan ilmuwan Islam bercakaran kerana masing-masing belum sempurna ilmunya tentang Islam dan syariatnya. Pastilah berdebatan antara orang yang sama-sama jahil tidak ada penamatnya. Kalau mereka benar-benar faham tentang Islam dan syariatnya, pastilah wujud kesamaan antara mereka. kerana sumbernya satu, iaitu as-Sunnah.
Setelah kita rumuskan isu-isu utama tentang ilmu dan siapa yang boleh diakui berilmu, kita lihat pula ketetapan Islam selanjutnya. Rasulallah (s.a.w) memperingatkan kita yang Islam dalam hadith berikut sebagai mengulangi perintah Allah (a.w) dalam Ayat 80, Surah an-Nisa tersebut:
Diriwayatkan hadith daripada Abi Hurairah (r.a) bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Barangsiapa mentaati aku maka sungguh-sungguh dia mentaati Allah (a.w). Dan, barangsiapa engkar (atau, melanggar) perintahku, maka sesungguhnya dia derhaka kepada Allah (a.w). Dan, barangsiapa mentaati pembesar (amir atau imam) aku, maka sungguh-sungguh dia mentaati aku, dan barangsiapa mengengkari (atau, melanggar) perintah pembesar (amir atau imam) aku, maka sungguh-sungguh dia engkar (atau, melanggar perintahku.’ [Hadith Bukhari]
Kesemua ini hanya boleh dipatuhi dengan mempelajari al-Quran (bukan setakat membacanya dan melagukannya) dan mempelajari ilmu as-Sunnah. Kerana, segala bentuk amalan dan ibadah, cara dan kaedah beribadah dan beramal serta akhlak kamil seorang Muslim dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), yakni as-Sunnah. Maka yang utama bagi sebuah badan pentadbiran jemaah umat Islam dan para ilmuwan Islam adalah mengajarkan dua ilmu tersebut, terutama ilmu as-Sunnah. Jika mereka yang diberi tanggung jawab mengurus umat Islam dan mengilmukan umat Islam sendiri masih jahil atau deficient dalam kedua-dua ilmu tersebut, manakan mungkin mereka boleh memainkan peranan dan menjalankan fungsi tersebut sebaik mungkin. Namun, jika mereka kekurangan ilmu, tindakan yang wajar adalah mencari ilmu dan memperlengkapkan diri dengan ilmu yang haq atau mendapatkan bantuan serta sokongan orang lain yang berilmu untuk membantu. Yang penting ilmu itu hendaklah sah dan disandarkan kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, bukan disandarkan kepada pandangan manusia’ kecualilah manusia yang kita rujuk itu faqih dalam dua ilmu tersebut.
Dalam konteks ini, kita pasti merasa terkilan kerana, pihak berkuasa ugama dan pendakwah suka melabel seseorang tanpa bersandarkan ilmu. Maksudnya, jika sesuatu perlakuan atau perbuatan itu menyanggahi atau bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, maka seseorang Islam itu berhak melarang dan menegur. Jika, sesuatu yang diperkatakan atau yang dianjurkan itu menepati al-Quran dan as-Sunnah, pastilah kata-kata itu adalah haq dan ajakan itu boleh dijadikan panduan kerana wujud kebenarannya kerana menepati ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Prinsip inilah yang sepatutnya dijadikan panduan oleh semua pihak. Bukan menegur seseorang bersandarkan pandangan kemazhaban atau aliran atau kerana pertimbangan selainnya. Atau, kerana kita pernah atau sering disinggung oleh seseorang. Teguran dalam Islam adalah nasihat. Allah (a.w) menyebut di dalam al-Quran bahawa nasihat menasihati sesama orang Islam mendatangkan kesedaran, kebaikan dan kemanfaatan.

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]

JAIS dan Polemik Mazhab (Sambungan ...)

Assalamualaikum,
Sebagai menyambung perbincangan kita dalam post yang lalu mengenai tajuk diatas, kita teruskan seperti berikut:
Sebenarnya, untuk menjadi umat Islam yang berjaya itu, kita hanya perlukan dua panduan yang haq, iaitu panduan al-Quran dan panduan as-Sunnah, bukan panduan manusia yang berkata serta menyuruh atau menganjurkan kita buat itu dan ini, walhal mungkin kita tidak pasti dari manakah dia mendapati apa yang dikatakan. Kita tidak diberitahu sandaran ketetapan yang disampaikan kepada kita, selain pandangan dan pendapat sipolan dan sipolan atau menggunakan kata-kata seperti ‘para ulama’ atau ’ulama’ bersepakat’ (ijma’ ulama’) atau ‘kesepakatan para ulama’ (jumhur ulama’) dan seumpamanya. Di dalam Islam kebenaran itu adalah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Sumber lain tidak boleh diiktiraf benar kecuali dengan sokongan atau sandaran nas dan dalil al-Quran dan hadith.
Logiknya mudah. Islam adalah ugama Allah (a.w). Syariatnya, yakni perincian mengenai Islam itu, diperjelaskan oleh Rasulallah (s.a.w), yakni as-Sunnah. Selain Allah (a.w), tiada siapa yang tahu secara sempurna Islam, kecualilah Rasulallah (s.a.w). Rasulallah (s.a.w) juga memberi pengakuan bahawa, selain sunnah beliau, umat Islam boleh berpandu kepada sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin. Islam dan syariatnya yang haq itu, jika disampaikan oleh sesiapa sahaja yang berilmu, menepati as-Sunnah adalah betul dan haq. Jika, disampaikan atau diajarkan berlainan dari apa yang terdapat dalam as-Sunnah adalah batil. Keseragaman dalam ibadah dan amalan dan umumnya carahidup Muslim dan Mukmin itu hanya berlaku jika kesemua yang Islam itu berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Jika inilah berlaku, maka sudah barang pasti umat Islam itu beramal dan beribadah serta menjalani kehidupan mereka sebagai satu ummah, tidak kira bangsa apa, mereka tinggal di mana, dan bahasa apapun mereka bertutur serta zaman manapun mereka hidup.
Umat Islam akan berbeza dalam amalan dan ibadah apabila mereka bermazhab. Bukan kerana mazhab itu salah, tetapi landasan fahaman kemazhaban itu sudah berubah dari asalnya, kerana telah ditokok tanmbah dan diubahsuaikan oleh ‘cerdik pandai’ ilmuwan Islam kemudian. Jika kita teliti dan halusi amalan orang Melayu sekarang dengan ajaran mereka yang kononnya dikatakan sebagai pengasas kemazhaban, jauh berbeza. Kerana, Imam yang empat dalam mazhab yang empat, iaitu as-Syafie, Ibnu Hanbal, Malik dan Abu Hanifah, adalah ulama’ muktabar zamannya dan mereka juga adalah ulama’ muhadithin, yakni pengumpul hadith. Mereka faham ilmu as-Sunnah. Sudah pastilah mereka tidak membuat sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Cuba kita kaji apakah ajaran mereka mengikut kitab-kitab mereka dan bandingkan apa-apa yang kita amalkan hari ini. Pasti tidak sama. Yang pasti, akan wujud keseragaman dalam ibadah dan amalan hanya jika kita kembali kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, yakni ‘back to basic’.
Ekoran kepada penangkapan bekas mufti Perlis, Dr. Asri, bersemarak semula polemik tentang mazhab, tentang Wahabi dan tentang undang-undang Islam yang dicipta sendiri oleh manusia, tentang ‘kewajipan’ orang Islam Melayu berpegang kepada fahaman Mazhab as-Syafie, tetapi tidak pula secara khusus mereka merujuk kepada as-Sunnah. Walhal, al-Quran dan as-Sunnah adalah penentu kepada segala sesuatu yang mereka pertikaikan dan perbalahkan. Maka dengan itu perbalahan yang tidak berlandaskan ketetapan dan panduan yang haq, iaitu al-Quran dan as-Sunnah, pasti tidak akan dapat diselesaikan sampai kiamat dunia. Jika perbahasan kita berbangkit dari kepandaian manusia atau pandangan dan kebijaksanaan manusia, tidak akan kehabisan, kerana semakin lama tahun berlalu, akan semakin ramai manusia yang pandai dan bijak. Lagipun semakin menjurus manusia mengkaji kitab-kitab karangan manusia dan semakin jauh ditinggalkan oleh as-Sunnah, maka semakin kaburlah apa yang mereka debatkan. Maka, semakin kelirulah semua pihak. Manusia tidak akan keliru jika mereka kembali kepada ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Inilah ketetapan Ayat 59, Surah an-Nisa: ‘Jika kamu berselisih faham atau bertelingkah tentang sesuatu (terutama tentang Islam dan syariatnya), kembalilah merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah, dan itulah penyelesaian terbaik bagi mereka yang ingin menemui Allah (a.w) di akhirat kelak.’ Allah (a.w) telahpun beri kita tahu bagaimana hendak menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi itu.
Sehubungan itu, janganlah mana-mana pihak tanpa bukti yang jelas atau dalam kejahilan mengenai sesuatu membuat tuduhan sipolan dan sipolan itu pengikut Wahabi. Atau, janganlah kita taksub bahawa ajaran kumpulan itu dan ini adalah tidak serasi dengan orang Melayu, semata-mata kerana kita ujub dan taksub kepada sesuatu fahaman atau aliran. Kita boleh melabel seseorang itu pengikut mazhab dan aliran jika kita sendiri faham apakah ajaran mazhab dan aliran terebut yang kita tuduhi mereka ikuti. Kemudian, hendaklah kita teliti berpandukan spesifikasi al-Quran dan as-Sunnah perkumpulan manakah betul atau menyimpang. Sesuatu perbuatan itu mungkin kelihatan menyalahi amalan atau tradisi kemazhaban, tetapi jika sejajar dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, pastilah benar. Dalam perkara ‘tauliah’, inilah satu sekatan yang nyata yang menghalang orang yang berilmu menyampaikan ilmu yang haq. Maksudnya: orang yang berilmu mengenai Islam itu adalah mereka yang faqih dalam ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Yang lain belum dapat diiktiraf berilmu, walaupun mungkin dia berkelusan Ph D, walaupun dalam bidang ugama sekalipun. Al-Quran dan as-Sunnah membuat ketetapan yang haq tentang ‘tauliah’, iaitu sesiapa sahaja yang memiliki ilmu al-Quran dan as-Sunnah telahpun di’tauliahkan’ oleh Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) untuk menyampaikan ilmu mereka. Malah mereka wajib menyampaikan ilmu. Adalah satu dosa yang besar bagi seseorang yang berilmu atau mendapat ilmu menyembunyikan ilmunya atau tidak menyampaikannya untuk manfaat saudara sesama Islam yang mungkin dahagakan ilmu atau masih jahil tentang sesuatu ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w). Berat ancamannya terhadap mereka yang berilmu, hanya sanggup menyampaikan ilmunya kerana dunia seumpama mengenakan bayaran, lebih-lebih lagi bayaran yang tinggi. Ilmu mengenai Islam dan syariatnya tidak boleh didagangkan atau digunakan sebagai alat untuk meraih kekayaan.
Jazakallahu khairh
[Bersambung ...]

Tuesday, November 24, 2009

JAIS dan Polemik Mazhab

Assalamualaikum,
saudara, kita komen sedikit perdebatan antara beberapa tokok ilmuwan dgn pihak yg bersabit mengenai isu 'tauliah', atau siapa yg berhak memberi kebenaran orang mengajar dan menyebarkan ilmu dalam masyarakat Islam?

Mukaddimah

Saya amat tertarik membaca dalam akhbar Sinar Jum’at tanggal 6 November 2009pandangan beberapa pihak ekoran penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri b Zainul Abidin, yang tiga hari sebelumnya memberi ceramah ugama di Taman Ukey tanpa tauliah. Pada 7 November 2009 polemik, terutama mengenai fahaman Wahabi, tersiar dalam banyak akhbar, terutama Utusan Melaysia dan Sinar. Dilaporkan seorang lagi bekas ahli akademik, Dr Abdullah Yasin, sedang dibicarakan kerana berceramah di dalam wilayah negeri Selangor tanpa tauliah JAIS. Beliau juga dicop sebagai pengikut fahaman Wahabi.
Saya bukanlah seorang ulama’, tetapi saya mempelajari ilmu as-Sunnah hampir 7 tahun semata-mata untuk mencari kebenaran apakah sebenarnya Islam dan syariatnya sebagaimana yang dibawakan dan dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w), yakni mengikut ketetapan Allah (a.w) (yakni, al-Quran) dan as-Sunnah. Memang wujud banyak perbezaan amalan di kalangan umat Islam, jika kita perhatikan cara dan kaedah mereka mengerjakan solat. Perbezaan yang ketara ini lebih jelas apabila kita bandingkan cara dan kaedah bersolat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Apabila kita tanya para ulama’ Malaysia mereka menyebut isu fahaman kemazhaban. Umat Islam Melayu Malaysia dan organisasi yang mentadbiruruskan umat Islam (ugama Islam) di Malaysia, berpihak kepada kononnya ajaran mazhab as-Syafie, manakala orang Islam keturunan bukan Melayu, mengikuti mazhab Hanafi atau Hanbali atau Maliki. Orang Islam Arab, kata merka, mengikuti fahaman Wahabi.
Orang Melayu tidak dibolehkan mengikuti fahaman mazhab-mazhab lain, lebih-lebih lagi fahaman Wahabi. Inilah pendirian semua jabatan ugama Islam di Malaysia, kecuali mungkin yang di Perlis, tidak taksub dengan fahaman kemazhaban. Anehnya, apabila orang Melayu mengerjakan haji atau umrah, majoriti para ilmuwan Islam memyarankan supaya mereka yang mengerjakan haji/umrah, bertaklid berpindah kepada fahaman lain-lain mazhab supaya memudahkan mereka mengerjakan haji/umrah. Malah mereka dibolehkan, kononnya kerana dharurat, bersolat di belakang imam-imam masjid di Arab Saudi, terutama di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, walaupun kononnya para imam di sana adalah pengikut fahaman Wahabi. Solat mereka tetap sah, kata mereka.

Islam, as-Sunnah dan Mazhab

Umat Islam itu, mengikut al-Quran, adalah satu umat. Islam dan syariatnya itu tidak ada banyak versi, hanya satu. Tetapi, mengapakah begitu banyak perbezaan amalan dan cara beribadah di kalangan umat Islam di dunia, malah di Malaysia sendiri? Manakah Islam yang betul? Islam dan syariatnya diperintahkan oleh Allah (a.w) kepada manusia sebagai landasan bagi mereka memperhambakan diri kepadaNya seperti firman Allah (a.w): ‘Tidaklah Aku (Allah (a.w)) jadikan jinn dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaKu’, Ayat 56, Surah az-Zariat. Rasulallah (s.a.w) diutus Allah (a.w) untuk menyampaikan Islam dan syariatnya kepada manusia. Dan, Allah (a.w) memberitahu manusia bahawa Rasulallah (s.a.w) itu adalah ‘uswatun hasanah’, model ikutan terbaik, bagi manusia yang ingin berjaya bertemu dengan Allah (a.w) di akhirat kelak. Untuk menjadi orang Islam yang haq, Allah (a.w) perintahkan bahawa hendaklah kita menepati ketetapan Ayat 13, Surah an-Nisa: ‘Barangsiapa taatkan Allah (a.w) (yakni, ikuti ketetapan al-Quran) dan taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah), dimasukkan ke dalam syurgaNya.’ Jika sebaliknya, Allah (a.w) berfirman dalam Ayat 14, Surah an-Nisa: ‘Barangsiapa menentang (yakni, tidak taatkan) Allah (a.w) (yakni, tidak ikuti ketetapan al-Quran) dan tidak taatkan Rasulallah (s.a.w) (yakni, tidak ikuti ketetapan as-Sunnah), dan melanggar ketetapan-ketetapan Allah (a.w) dan Rasulnya, dimasukkan ke dalam neraka.’ Kemudian Allah (a.w) memberi pengakuan dalam Ayat 80, Surah an-Nisa: ‘Barangsiapa mentaati Rasulallah (s.a.w) (yakni, ikuti ketetapan as-Sunnah), maka sungguh-sungguh mereka telah mentaati Allah (a.w).’ Allah (a.w) kemudian perintahkan manusia dalam Ayat 7, Surah al-Haysr: ‘Dan apa-apa yang dibawakan/disampaikan oleh Rasulallah (s.a.w) (yakni, as-Sunnah) hendaklah kita yang Islam ambil/terima pakai, dan apa-apa yang ditegahnya (dalam as-Sunnah), hendaklah kita tinggalkan.’ Jika kita menepati suruhan-suruhan tersebut, kita adalah orang Islam yang berjaya di dunia dan di akhirat. Berkat dan halal hidup kita di dunia dan selamat dari neraka dan mendapat syurga di akhirat. Dan, kesudahan manusia itu setelah mati, hanya dua: masuk syurga atau masuk neraka. Itulah penyudah kehidupan manusia. Untuk mendapat kerahmatan Allah (a.w) hendaklah akur dengan ketetapan Rasulallah (s.a.w), yakni ambil as-Sunnah sebagai panduan. Kesimpulan ini mudah bagi mereka yang faham Islam dan syariatnya.
Rasulallah (s.a.w) menyampaikan semua perintah Allah (a.w) menerangkan kepada manusia, mengajar manusia dan membimbing manusia, dan umatnya. Maka dengan itu as-Sunnah adalah panduan hidup Mukminyang haq serta panduan tentang Islam dan syariatnya – bentuk-bentuk amalan dan ibadah, cara dan kaedah beribadah dan beramal, menepati ketetapan Allah (a.w). Maka dengan itulah juga Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa wajib kita berilmu (jika kurang berilmu, maka tuntuti ilmu) dan ‘beramallah hanya dengan landasan ilmu’. Ilmu yang wajib dituntut itu supaya kita faham Islam dan syariatnya adalah ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Ilmu as-Sunnah mencerakinkan dan menjelaskan sepenuhnya Islam dan syariatnya, bagaimana menjadi hamba Allah (a.w) terbaik, menjadi insan yang kamil, dan berjaya terlepas dari neraka dan mendapat syurga di akhirat kelak. Maka dengan itulah juga Allah (a.w) berfirman dalam Ayat 36, Surah al-Isra’: ‘Janganlah kamu mengerjakan/berbuat sesuatu tanpa mengetahui ilmu mengenainya terlebih dahulu.’ Dan, Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa ilmu yang wajib dikuasai (faham dan faqih) itu adalah ilmu al-Quran, ilmu as-Sunnah dan hukum faraid yang adil [Hadith].

[Bersambung ...]

Sunday, November 22, 2009

Siapakah Golongan 'Ahlus sunnah wal-jama'ah'? (Sambungan)

Assalamualaikum,
Dalam post yang lalu kita telah olahkan dengan berpandukan nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah golongan yang berjaya mendapat syurga itu. Rasulallah (s.a.w) memberitahu di akhir zaman kelak (yakni, selepas kewafatan beliau) umat Islam akan berpecah menjadi 73 firqah atau golongan atau mazhab, 72 firqah atau golongan atau mazhab gagal mendapat syurga tetapi masuk neraka, dan hanya satu golongan sahaja yang berjaya mendapat syurga. Apabila para sahabat bertanya kepada beliau golongan yang manakah atau yang satu manakah yang berjaya mendapat syurga itu. Rasulallah (s.a.w) menjawab mereka adalah yang menepati ketetapan Rasulallah (s.a.w): 'Ma ana 'alahi wa-ashabi' [maksud: 'Apa-apa yang aku (Rasulallah (s.a.w) berpegang atasnya (yakni, syariat Islam yang dibawakannya) dan (apa-apa) yang sahabatku (berpegang atasnya)']. Rasulallah (s.a.w) merujuk kepada 'sahabat' itu adalah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyin, iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Omar bin Khattab, Othman ibni Affan, dan Ali bin Abi Thalib, radiallahu 'anhum.
Kemudian dalam hadith yang lain pula Rasulallah (s.a.w) menyebutkan bahawa satu golongan daripada 73 golongan yang berjaya mendapat syurga itu adalah mereka yang menganuti Islam secara berjemaah. Jelaslah, golongan yang berjaya mendapat syurga itu adalah mereka yang mengikuti 'as-Sunnah' dan mereka mengamalkan Islam 'secara berjema'ah'. Hakikatnya, ada dua ciri utama tau pra-syarat untuk digolongkan sebagai 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu.
Di dalam post terdahulu itu kita telah teliti dan bincangkan satu ciri atau pra-syarat, iaitu 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup mereka serta panduan segala ibadah dan amalan (yakni, bentuk-bentuknya, cara dan kaedah beramal atau mengamalkannya) dalam memperhambakan diri mereka kepada Allah (a.w).
Kita sambung perbincangan kita dengan meneliti dan membincangkan ciri atau pra-syarat keduanya, iaitu mereka itu menganuti Islam 'secara berjema'ah'. Hakikatnya 'ahlus sunnah wal-jama'ah' itu mengamalkan Islam dan syariatnya berpandukan as-Sunnah dan juga secara berjema'ah. Kalau hanya menetapi Islam berpandukan as-Sunnah tetapi tidak mengamalkan Islam secara berjema'ah, maka tidak menetapi ciri atau pra-syarat tersebut.
Mula-mula kita rujuk firman Allah (a.w) berikut:
Firman Allah (a.w): 'Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (a.w)(yakni, ugama Allah (a.w), iaitu Islam, yang syariatnya adalah al-Quran dan al-Hadith atau as-Sunnah) secara berjemah dan janganlah kamu berfirqah-firqah (yakni, berpecah belah dan berpuak-puak atau bermazhab-mazhab atau berkumpulan yang terasing) dan ingatlah akan ni’mat Allah (a.w) atas kamu ketika ada kamu (sebelum datangnya Islam) bermusuh-musuhan dalam hati-hati kamu antara satu sama lain (yakni, sebelum datangnya Islam atau Rasulallah (s.a.w) bilamana masyarakat Islam itu berpuak-puak, berperang antara satu puak dengan puak yang lain, bermusuh-musuhan sesama sendiri dan antara puak-puak atau kelompok, yakni mereka adalah masyarakat jahiliah) maka Allah (a.w) menjadikan kamu dengan ni’matNya (yakni, ugama Islam) kamu semua bersaudara (yakni, satu umat atau ummah) dan adalah kamu atas tepi jurang Neraka (yakni, tanpa Islam itu dan jika mereka tidak Islam sudah pastilah mereka mengalami neraka dunia kerana persengketaan sesama mereka dan apabila mati dimasukkan ke dalam neraka kerana mengkufuri Allah (a.w) dan syirik terhadap Allah (a.w)), maka menyelamatkan (Allah (a.w) sekelian kamu) darinya (yakni, jurang Neraka itu), maka demikian itulah Kami (Allah (a.w)) terangkan bagi sekelian kamu tanda-tanda (kebesaran Allah (a.w)) mudah-mudahan kamu sekelian (umat Islam) mendapat hidayah (atau petunjuk, yakni mengikuti perintah Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w)).] [Ayat 103, Surah ali-Imran]
Allah (a.w) perintahkan manusia itu menganuti Islam secara berjemaah. Ini adalah perintah wajib atau perintah mesti. Pra-syarat kedua itu adalah mereka hendaklah mengamalkan Islam dan syariatnya secara berjema'ah. Inilah ketetapan as-Sunnah dalam hadith berikut:
Diriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah (r.a) berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sesungguhnya Allah (a.w) redha (yakni, sukakan) bagi kamu tiga perkara: (pertama) tidak menyekutukan akan Dia (Allah (a.w))(yakni, tidak syirik) dengan sesuatu apapun, dan (kedua) bahawa berpegang teguh dengan tali Allah (a.w) (yakni, ugama Allah (a.w), iaitu ugama Islam yang dibawakan oleh Rasulallah (s.a.w)) secara berjemaah, dan (ketiga) jangan berpecah belah (atau berfirqah-firqah atau bermazhab-mazhab); dan benci Allah (a.w) bagi kamu tiga perkara (iaitu) (pertama) banyak berkata-kata dan bercakap-cakap, dan (kedua) banyak soal (tentang ugamanya) dan (ketiga) pemboros atau membazirkan harta.’ [Hadith Muslim]
Jelaslah, melalui nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah di atas itu, 'ahlus sunnah wal-jama'ah' adalah mereka yang Islam secara berjema'ah. Jika berjema'ah maka ciri atau pra-syarat kedua itu sudah dipenuhi. Golongan umat Islam yang berpandukan as-Sunnah dan juga mengamalkan Islam secara berjema'ah, menepati ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w) sebagai 'ahlus sunnah wal-jama'ah'. Mereka inilah golongan yang satu dari 73 golongan yang Islam dan pasti mendapat syurga seperti yang disebutkan dalam hadith terdahulu itu. Kedua-dua hadith tersebut memberitahu kita bahawa di akhir zaman nanti (mulai zaman selepas kewafatan Rasulallah (s.a.w)), umat Islam akan berpecah menjadi 73 firqah atau golongan atau mazhab, semuanya mengatakan mereka berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi 72 firqah atau golongan gagal mendapat syurga sebaliknya masuk neraka. Yang berjaya hanya satu golongan iaitu yang menepati dua pra-syarat: pertama, golongan yang mengikuti as-Sunnah dan kedua, mengamalkan Islam secara berjema'ah. Dua pra-syarat itu menjadi penentu kepada golongan mana yang tergolong sebagai 'ahlus sunnah wal-jama'ah' iaitu berpegang kepada as-Sunnah dan Islam secara berjema'ah.
'Berpegang' bermaksud mereka iktui 100% as-Sunnah sebagaimana dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w) tanpa sebarang ubahsuai dan mereka kekal dalam jema'ah Islam mengamalkan Islam dan syariatnya secara berjema'ah.

Jazakallahu khairah
[Bersambung ...]