Wednesday, September 4, 2013

Jadilah orang yang faham ... (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan penelitian kita mengenai tajuk/topik ini. Ada dua golongan manusia, iaitu: pertama, orang yang faham agama (=Islam), tetapi tidak menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah (aw), tuhan yang dia wajib sembah dan laksanakan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah; dan kedua, orang yang tidak faham (=bukan Islam dan sebahagian, juga Islam), maka mereka itu adalah orang yang tidak mengendahkan ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan Rasulallah (s.a.w). Termasuklah dalam kategori ini orang yang akui dirinya Islam, tapi dia takpun belajar ilmu untuk mempastikan dia benar-benar faham Islam dan laksanakan tanggung jawab keIslamannya, orang yang Islam tapi mengamalkan sesuatu yang ditegah oleh Islam dan sebagainya.
Saudara, antara orang yang tak faham juga adalah orang yang tidak mensyukuri pemberian Allah (a.w). Kita semua diberi Allah (a.w) pelbagai nikmat. Nikmat yang terbesar yang kita dianugerahkan oleh Allah (a.w) iaitu nyawa - peluang hidup di dunia. Kemudian kerana nikmat agung itu, yakni nyawa, kita pula diberi nikmat-nikmat tambahan. Apa dia? Kita memiliki sifat-sifat yang sempurna sebagai manusia -
ada otak, maka kita waras dan siuman, maka boleh  berfikir; ada mata, kita boleh melihat; ada mulut dan dua bibir, maka kita boleh bercakap, dan makan minum; ada telinga, kita boleh mendengar; ada hidung, maka kita yang boleh bezakan yang wangi dengan yang busuh dsbnya, ada dua tangan yang boleh menyuap makanan ke mulut; ada dua kaki yang boleh berjalan dan lari dari sesuatu yang bahaya; ada anggota kelamin yang sempurna, membolehkan kita berkahwin dan membanyakkan zuriat dan kesinambungan manusia,  dll. 
Saudara, kita sudah senaraikan nikmat yang kecil dan sedikit sahaja. Kerana kalaulah kita nak senaraikan betapa banyaknya nikmat yang Allah (a.w) berikan kepada kita, tak mungkin boleh. Inilah firman Allah (a.w): '... wa-in ta'uddu ni'matallahi la tuhsuha; ...' (Yang bermaksud: Jika kalian hendak hitung (=kira atau senaraikan dan cerakinkan) nikmat Allah (a.w) atas kalian, pasti tidak terhitung) - Ayat 34, Surah Ibrahim. Tapi, apakah kita bersyukur? Apakah bukti seorang yang syukur nikmat? Kali ini kita lihat beberapa panduan Islam mengenai tajuk syukur dan bersyukur.

Firman Allah (a.w) - Kalau Bersyukur atau Kufur

Saudara, kita diperingatkan oleh Allah (a.w) dalam firmanNya berikut supaya kita jangan abaikan. Banyak untungnya kalau kita bersyukur, kerana nikmat tersebut dilipatgandakan. Sebaliknya, kalau kita kufur nikmat (= lupakan nikmat yang kita terima), maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Begitu besarnya beza balasan antara bersyukur dan tidak bersyukur.
Berfirman Allah (a.w) yang maha perkasa lagi agung: ‘Wa-iza ta-azzana rabbukum lain syakartum la-azidannakum wa-la-in kafartum inna ‘azabi la-syadidun.’ (Yang bermaksud: Ketika memberi pengumuman/memberitahu Tuhan kalian (Allah (a.w)) jika bersyukur kalian nescaya (Aku (Allah (a.w)) menambah pada kalian dan jika kufur (nikmat) kalian sesungguhnya siksaanKu amat berat.) – Ayat 7, Surah Ibrahim dan Ayat 18, Surah an-Nahl.
Saudara, Allah (a.w) beri kita pilihan setelah diberi nikmat. Apakah kita bersyukur atau kita tidak (i.e. kufur).  Awal-awal lagi dahpun diberi kita tahu dalam firmanNya: 'Ma-ma khalaqtul jinna wal-insana illa liya'budini.' (Yang bermaksud: Tidaklah Aku (Allah (a.w) jadikan jin dan manusia kecuali untuk memperhambakan diri (=mengabdikan diri = beribadah) kepadaKu - Ayat 57, Surah az-Zariat. Itu tugas dan tanggungjawab manusia setelah diberi peluang hidup di dunia. 
Saudara, kita diberi peluang untuk hidup apabila diberi nyawa (=roh) ketika berumur 120 hari dalam kandungan ibu kita. Sebenarnya, kesemua roh manusia - anak Adam - telah membuat perjanjian 50,000 tahun sebelum Allah (a.w) cipta alam semesta ini. Allah (a.w) bertanya kepada kita dalam alam roh tersebut: 'Alastu birabbikum?' (Yang bermaksud: Bukankah Aku (Allah) tuhan kamu?), (roh) kita menjawab: 'Bala syahidna' (Yang bermaksud: Bahkan (=Ya)! Engkau Tuhanku dan aku naik saksi (Engkaulah Tuhanku).) -  - Ayat 172, Surah al-A'raf.  Jelaslah, kita mengakui dan berikrar bahawa Allah (a.w) itu tuhan kita yang esa. Kemudian, kita dilahirkan. Sama ada seseorang itu dilahirkan ke dunia oleh ibunya dalam persekitaran agama Islam atau agama kedua ibubapanya, tidak penting. Kerana, kita diberi otak dan akal serta pancaindera untuk berfikir dengan waras, mencari semula dan berusaha mengilmukan diir kita untuk menepati ikrar janji kita kepada Allah (a.w) dalam alam roh itu. Tidak kira apakah kita lahir - Islam atau tidak Islam, i.e. menganuti agama Yahudi, Nesrani, Majusi atau penyembah berhala atau tak percaya dengan wujudnya kuasa ketuhanan (athiest), tidak penting. Kerana, ketika seseorang itu dewasa, dia pernah mendengar tentang Islam, tentang Allah (a.w), tentang Rasulallah (s.a.w), tentang kematian, tentang alam kubur, alam akhirat, tentang kebangkitan, tentang syurga dan neraka dan seumpamanya. Manusia itu diberi akal untuk mencari dan memahami apakah maksud dan makna kehidupan. Apabila hidup manusia itu wajib mencari kebenaran dengan mempelajari ilmu. Kalau tidak maka dia telah mungkir janji yang dibuatnya di alam roh, ketika roh (=nyawa) ditiupkan ke dalam tubuh aslinya (halaqah = segumpal daging) dalam rahim ibunya. Mereka wajib belajar dan cari kebenaran. Tidak ada excuse kalau mereka tidak lakukan.

Sabda Rasulallah (s.a.w) - Kenapa Bersyukur

(-) Tanda kesyukuran

Saudara, dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) memberitahu kita bahawa sifat kesyukuran itu dapat dinilai dalam konteks mensyukuri manusia. Kenapa? Kalau kita menerima sesuatu dari manusia - katalah satu hadiah - kita nampak apa yng diberikan dan kita tahu kegunaan apa yang diberikan dan nilainya. Kalau pemberian yang nyata kita tak hargai, masakan pemberian yang tidak nampak kita akan  syukuri? Atau, pemberian yang sedia ada kita tidak syukuri, manakan mungkin kita syukurkan pemberian Allah (a.w) yang besar - nyawa!
Menceritakan hadith dari Rabi’ b Muslim hadith dari Muhammad b Ziad hadith dari Abi Hurairah dari Nabi (s.a.w) bersabda: ‘La yasykurulllaha man la yasykurun-nasa.’ (Yang bermaksud: Tidaklah bersyukur pada Allah (a.w) barangsiapa yang tidak bersyukur pada manusia.) – Hadith Abu Daud, Kitab Adab
[Nota: Allah (a.) tidak menerima kesyukuran seseorang kalaulah dia tidak boleh bersyukur kepada manusia. Ini amat fundamental. Kalau kita tidak berterima kasih atas kebaikan orang terhadap kita, maka pastilah kita tidak berterima kasih pada Allah (a.w). Justeru itu, tak mensyukuri nikmat, pasti tak dapat syurga, waliya zubillah. Nikmat yang paling utama pada kita adalah petunjuk - kita dilahirkan Islam kemudian kekal dalam Islam dan ingin mempersungguh pula dalam Islam. Kerana kalau tak Islam, mati disiksa dalam kubur dan di akhirat masuk neraka. Itu adalah nikmat yang besar - nikmat peluang untuk mendapatkan syurga. Dan, nikmat yang lebih utama adalah kita diberi hidayah oleh Allah (a.w) supaya mengikuti agamaNya yang benar iaitu Islam yang berdasarkan as-Sunnah dan dianuti secara berjema'ah. Kalau Islam berpandukan selain al-Quran dan as-Sunnah, pastilah gagal mendapat syurga. Itu nikmat yang amat utama, yang sering umat Islam lupakan atau remehkan.]

(-) Syukur nikmat & Kerahmatan

Saudara, Rasulallah (s.a.w) dalam hadith berikut pula memberi kita tahu satu dimensi lain dalam aspek mensyukuri kurniaan Allah (a.w). Seseorang itu pasti tidak diakui mensyukuri Allah (a.w), kalau dia tidak mensyukuri atau berterima atas pemberian atau nikmat yang sedikit. Sesiapa yang tidak mensyukuri pemberian atau nikmat yang sedikit, sudah pasti tidak mensyukuri = berterima kasih dengan nikmat yang banyak atau besar. 
Saudara, seorang yang hidup ala kadarnya, kalau dia beriman, dia bersyukur dapat akan setiap hari, dapat menyara keluarganya, dan sanggup mengeluarkan sedekah sedikit dari rezkinya. Manusia yang mendapat rezki melempah ruah, pasti lebih bakhil dan kikir, akan berkira untuk menginfaq sebahagian kekayannya untuk membela agama Allah (a.w). Kalau dia kafir dan bertaraf billionaire atau millionaire, dan melihat orang Islam yang ramai miskin, lagi kufur nikmat, kerana padanya Islam tidak menjamin kekayaan dan kesenangan di dunia! Orang yang kaya sukar menerima Islam, berbanding dengan orang yang miskin. Inilah realiti zaman awal Islam dulu.
Diriwayatkan hadith dari Nu’man b Basyir berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w) (ketika memberi nasihat) di atas mimbar: ‘Man lam yasykuril-qalila lam yasykuril-kathira wa-man lam yasykurin-nasa lam yaskurillaha wa-tahadduthu nikmatillahi syukrun wa-tarkuha kufrun wal-jama’atu rahmatun wal-firqatu ‘azabun.’ (Yang bermaksud: Barangsiapa yang tidak bersyukur dengan pemberian (=nikmat) yang sedikit, tidak akan menyukuri pemberian (=nikmat) yang banyak, dan barangsiapa yang tidak bersyukur (=berterima kasih) kepada (pemberian atau pertolongan) manusia, tidak bersyukur kepada (pemberian atau nikmat) Allah (a.w), dan menceritakan (atau, bercerita) tentang nikmat Allah (a.w) (yang diterimanya) (adalah tanda) kesyukuran, dan meninggalkan (ingatan terhadap nikmat) adalah tanda kekufuran (= kufur nikmat); dan berjema’ah (dalam Islam itu) adalah kerahmatan (= mendapat kasih sayang Allah = syurga), dan berfirqah (atau berpecah belah dalam agama itu) adalah mendapat azab (i.e. masuk neraka). – Hadith Imam Ahmad dalam Tafsir ibnu Kathir.
[Nota: Dalam hadith ini kita diberitahu beberapa perkara: pertama, sesiapa (orang iman) yang tidak mampu berterima kasih dengan suatu pemberian atau nikmat yang kecil, tak mungkin dia akan bersyukur atau berterima dengan pemberian yang banyak atau besar; kedua, seseorang yang tidak mampu bersyukur atau berterima kasih dengan pemberian manusia kepadanya, pasti tidak akan bersyukur atau berterima kasih kepada Allah (yang memberikan kepadanya nikmat yang tidak terhitung olehnya); ketiga, seseorang yang sering menceritakan atau berbangga mendapat nikmat yang ditermanya dari Allah (a.w) adalah tanda orang yang syukur nikmat, sebaliknya orang yang tidakpun menyebut kenikmatan yang diterimanya atau melupakan nikmat yang didapatinya atau meremehkan nikmat yang diterimanya adalah tanda-tanda orang yang kufur nikmat (=tak berterima kasih dengan pemberian dan kurniaan Allah (a.w)); dan keempat, orang Islam yang berjema’ah dalam Islam pasti mendapat rahmat Allah (a.w) (= syurga) dan orang yang berfirqah atau berpecahbelah atau tidak berjema’ah itu pasti mendapat azab Allah (a.w) (= masuk neraka). Inilah hakikat berjema'ah dalam Islam- syarat sahnya Islam.]

(-) Erti Ketaqwaan

Saudara, dalam aspek lain, kita harus faham bahawa kesyukuran adalah satu-satunya sifat ketaqwaan seseorang itu dalam Islam.
Firman Allah (a.w): ‘Wa-man yu’azzim sya-‘a-irallahi, fa-innaha min twal-qulubi.’ (Yang bermaksud: Dan, barangsiapa mengagungkan tanda-tanda (=syiar) keagungan Allah (a.w), maka sesungguhnya (mengagung-agungkan syairaNya) itu termasuk ketaqwaan hati.) – Ayat 32, Surah al-Haj.
[Nota: Sebahagian daripada asbubul-nuzul ayat ini adalah pada zaman Nabi (s.a.w) orang iman menunjukkan kesyukuran mengagungkan Allah (a.w) dengan membawa unta termahal – yang berwarna merah ke Baitullah dengan dihiasi dengan rumpai dikalungkan ke leher unta, kemudian ditoreh sedikit bonggolnya supaya keluar sedikit darah kemudian dijadikan kurban dan dijamu anak-anak yatim serta orang miskin makan dagingnya, sebagai bukti kesyukuran kepada Allah (a.w).]

(-) Mempersungguh dalam agama

Saudara, di dalam hadith berikut kita disuruh mempersungguh dalam Islam, supaya kita berjaya bukan sahaja di dunia tapi lebih penting di akhirat. Dalam post yang lalu kita telahpun diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) bahawa orang iman yang baik itu adalah orang Islam yang berusaha sebaik mungkin untuk berjaya di dunia dan di akhirat. Dan, orang yang bijak itu adalah orang yang mengira-ngira hidupnya (=menghisab dirinya) di dunia demi akhiratnya, bukan menghabiskan usianya dalam dunianya dengan melupakan akhiratnya - apakah akan terjadi padanya di akhirat nanti.
Firman Allah (a.w): ‘Wal-lazina jahadu fina lanahdiyannahum subulana wa-inallaha la-ma’al mukhsinina.’ (Yang bermaksud; Dan, orang-orang yang berjihad (maksudnya, mempersungguh) dalam agamaKu nescaya akan menunjukkan Aku (Allah) pada merka pada beberapa jalanKu dan sesungguhnya Allah (a.w) itu berserta dengan orang-orang yang berbuat baik/kebaikan.) – Surah al-Ankabut.
[Nota: Dalam Islam hidayah dan jalan lurus ke syurga (siraul mustaqim) itu akan hanya didapati jika seseorang iman itu mempersungguh dalam agamanya (mempersungguh bererti sekuat mampunya mengerjakan amal dan ibadah yang termampu dan sentiasa membuat penambahbaikan dalam amalannya dan ibadah dan akhlaknya supaya maju ke tahap yang lebih tinggi). Orang-orang yang sedemikian itu akan diberi petunjuk oleh Allah (a.w) jalan mendapatkan kejayaan akhirat (=syurga), berpuas hati dengan dunia dan tidak mengutamakan dunia tetapi memahami serta penuh yakin dia bahawa akhirat itu lebih utama dan lebih kekal dan penuh dengan nikmat. Dunia ini, sebagaimana yang disebutkan oleh Allah (a.w), adalah kesenangan atau keseronokan yang sedikit dan tidak akan kekal dan keseronokkan yang menipu semata-mata. Dengan itu, dunia tidak diutamakan olehnya, tetapi dunia adalah tempat untuk menyediakan sebanyak mungkin bekalan akhirat serta melabur untuk akhirat melalui pelbagai amaan dan infaq fi sabilillah, demi mencari keridhaan serta kerahmatan Allah (a.w) ketika di dunia, kerana dividennya adalah syurga dan selamat dari neraka kelak di akhirat.]

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment