Thursday, May 30, 2013

Pedoman Hidup Mukmin

Assalamualaikum,
Saudara, mulai post hari ini, kita akan ulangkaji beberapa mutiara kata daripada Rasulallah (s.a.w) untuk kita semua. Harus atau wajib diingat bahawa Rasulallah (s.a.w) adalah 'uswatun hasanah' dalam perkara Islam dan syariat Islam, malah dalam perkara duniawi sekalipun. Kerana Rasulallah (s.a.w) yang menjelaskan kepada manusia - khususnya orang iman - perincian tentang tuntutan Islam dan bagaimana melaksanakan hukum dan ketetapan Allah (a.w) dalam hidupnya. Allah (a.w) menjanjikan kepada kita orang Islam yang beriman, yang bertaqwa, yang mengerjakan amalan dan ibadah sejajar dengan perintah Allah (a.w), bahawa kalau kita akur dengan ketetapan Allah (a.w) (i.e. ketetapan al-Quran) dan kita juga akur dengan ketetapan Rasulallah (s.a.w) (i.e. ketetapan as-Sunnah), maka pasti kita mendapat syurga di akhirat kelak. Ini janji Allah (a.w). Janji Allah (a.w) adalah janji yang pasti.
Jelasnya, kalau saudara berangan-angan kelak di akhirat mendapat syurga, saudara wajib patuhi prinsip/panduan mutlak dan fundamental ini - Ayat 13, Surah an-Nisa'. Mentaati Rasulallah (s.a.w) bermaksud sentiasalah berpandukan as-Sunnah dalam kehidupan, terutama dalam mengerjakan amalan dan ibadah. Kerana, amalan dan ibadah yang berlainan dari atau berbeza dari atau tak sama dengan apa yang didemokan atau dicontohkan atau disuruh oleh Rasulallah (s.a.w) pasti batal dan batil - tidak diterima Allah (a.w)! Oleh itu, jadilah orang yang bijak ketika masih hidup, kerana orang yang bijak itu fikirkan kematiannya dan dimana dia berada ketika sudah kiamat dunia. 
Malangnya hari ini begitu ramai umat Islam - termasuklah majoriti orang Melayu - yang memimpin dan yang dipimpin - lupa akan akhirat mereka, mereka diklembayun oleh dunia penuh 'kenikmatan', walhal tiada nikmat yang boleh menandingi atau mengatasi nikmat akhirat dan kekalnya nikmat di akhirat itu ...

Orang Yang Bijak

Saudara, jadilah orang Islam dan orang iman yang bijak. Siapa? Cuba kita teliti hadith berikut.Di dalam hadith ini disebutkan bahawa seseorang Islam yang baik itu adalah orang yang baik akhlaknya. Dan, orang Islam yang bijak itu adalah mereka yang sentiasa ingatkan kematian, kerana apakala mengingatkan kematian itu, dia akan sentiasa berwaspada dalam hidupnya, sentiasa mengmuhasabah diri, sejajar dengan sabda Rasulallah (s.a.w): 'Hasibu anfusahaum qabla an tuhasabu' (Yang bermaksud: Hisablah diri kamu (semasa masih hidup) bahawa sebelum kamu dihisab (diakhirat kelak); supaya diperbaiki ibadat dan amalannya dan tinggalkannya segala larangan Allah (a.w) dan RasulNya:
Diriwayatkan hadith daripada ibnu Omar (r.a) berkata: ‘Sesungguhnya adalah aku berada bersama-sama Rasulallah (s.a.w, maka datanglah seorang lelaki dari kaum Ansar datang kepadanya, maka memberi ‘salam’ dia atas Nabi (s.a.w), kemudian berkata dia (bertanya): ‘Wahai Rasulallah (s.a.w)! Manakah orang mukmin yang afdhal (yakni, baik)?’ Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Orang yang bagus akhlaknya.’ Berkata dia (lagi bertanya): ‘Siapakah orang mukmin yang pandai (atau bijak)?’ Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Orang yang banyak atasnya ingatkan kematian dan memperbagusi (memperbaiki) mereka apa-apa yang (baik kepadanya) sesudah matinya (yakni, mereka yang bersedia untuk akhirat dengan mengerjakan dan memperbanyakkan persiapan amalan dan ibadah semasa hidupnya untuk dijadikan bekalan pada hari akhirat, supaya Berjaya mendapat syurga), dia itulah orang yang pandai (bijak).’ [Hadith Ibnu Majah]
Saudara, hadith di atas itu menjelaskan beberapa perkara yang wajib menjadi panduan dan pegangan hidup kita (kalau kita inginkan kejayaan dan selamat di akhirat); iaitu, pertama, jadilah orang yang yang iman yang beruntung di akhirat. Orang iman yang beruntung di akhirat itu akhlaknya baik. Akhlaknya dengan Allah (a.w), dengan Rasulallah (s.a.w), dengan saudara sesama iman dan Islam, dengan manusia biasa, dengan kedua ibu bapa mereka, sahabat handai, rakan taulan, saudara mara, jiran tetatangga dan sebagainya. Bagimana menjadi baik, kita diberikan panduan terperinci dalam al-Quran dan as-Sunnah. Kita hanya tahu dan faham kalaulah kita mengaji atau belajar ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Kedua, Jadilah orang yang bijak. Siapa yang bijak? Orang yang bijak itu kata Rasulallah (s.a.w) adalah orang yang sentiasa ingatkan kematian. Orang yang sentiasa ingat bahawa kematian itu suatu realiti hidup. Semua manusia akan mati, hanya masanya dan ketikanya tidak diketahui. Malah malaikat Izrail yang mengambil nyawa manusiapun tak tau bila kita akan mati.
Namun, sekiranya seseorang itu ingat mati atau ingatkan kematian, dan dia Islam dan beriman, dia tahu bahawa apakala dah mati, putuslah kemungkinan dia menyediakan diri untuk selamat di akhirat kalau selama ini dia tidak bersedia. Mati itu datang sewaktu-waktu - tak semestinya orang tua mati dulu dan orang muda mati kemudian? Kematian tidak dapat dielakkan, tapi yang boleh dielakkan adalah selamat dari siksaan neraka dan berjaya mendapat syurga, selagi nyawa masih di badan! Itu yang utama.
Apakah kita yang Islam ingin menjadi sebagaimana orang kafir? Tak percaya adanya syurga neraka. Tak percaya adanya siksaan kubur? Tak percaya adanya hisaban. Tak percaya bahawa syurga hanya diperolehi dengan beramal dan beribadah dengan mukhlis dan amalan yang dikerjakan menepati ketetapan Allah (a.w) dan Rasulallah (s.a.w)? Tak guna amalan dan ibadah yang banyak kalaulah tidak secocok dengan ketetapan Allah (a.w) dan ketetapan atau panduan yang diperincikan oleh Rasulallah (s.a.w)! Kita hanya tahu amalan dan ibadah kita benar dan diterima Allah (a.w) kalau kita berilmu - cukup ilmu al-Quran dan cukup ilmu as-Sunnah. Jika tidak, pastilah amalan dan ibadah kita takda gunanya. Syarat pertama sebagai orang Islam adalah mengilmukan diri, kemudian mengamalkan apa yang kita tahu, memohon keampunan atas dosa-dosa yang lalu, dan bersedia membantu melestarikan atau memakmurkan agama Allah (a.w) dan membantu menyediakan umat Islam untuk berjaya di akhirat. Dan sebagainya ...
Saudara, bahagian kedua hadith itu menyuruh atau memperingatkan kita bahawa orang yang pintar itu adalah dia seniasa berwaspada atas segala sesuatu yang dikerjakan dan dikatakan olehnya semasa hidup. Supaya dosanya minimum dan pahalanya maksimum. Pahala diperolehi apakala kita patuhi ketetapan Ayat 13, Surah an-Nisa, dan lain-lan ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah. Jika akur dengan  ketetapan tersebut dijamin syurga. Amalan dan ibadah - dan segala kebaikan yang kita lakukan di dunia ini diakui sah dan diberi pahala kalau kita dasari amalan dan ibadah tersebut atas ilmu - ilmu al-Quran dan ilmu as-Sunnah. Segala amalan dan ibadah itu kalau menepati as-Sunnah pasti benar dan diterima Allah (a.w) kerana Rasulallah (s.a.w) yang diperintah Allah (a.w) mengilmukan manusia bagaimana mengabdikan diri kepada Allah (a.w) atau bagaimana mengerjakan amalan dan ibadah - kerana dia 'uswatun hasanah'. Beramal dan beribadah tanpa didasari oleh ilmu atau kefahaman tuntutan Islam, tak guna. Tak diterima Allah (a.w), masya Allah. Oleh itu, orang yang bijak itu pastilah dia belajar tuntutan Islam sebelum mengamalkannya. Meninggalkan tegahan Islam supaya terkawal segala prilaku dan geraklakunya.Orang yang bijak itu ketika masih hidup dia bersedia untuk mati, bukan memaksimumkan kepuasan nafsunya semasa hidup, kemudian mengharapkan Allah (a.w) ampuni dia dan berikan syurga! Mustahil. Kerana, syurga hanya didapati melalui amalan dan ibadah dan amalan dan ibadah yang didasari dengan ilmu dan dikerjakan amal dan ibadah itu tanpa sebarang pencemaran terhadap amalan dan ibadah tersebut.
Saudara, mengikut hadith di atas orang yang sering ingatkan kematiannya itu akan berusaha membuat secukup persiapan untuk hidup bahagia di akhirat kelak. Maka akan kuatlah dia menyediakan bekalan akhiratnya. Sentiasalah dia berwaspada dalam segala perkara yang dilakukannya dan yang dikatakannya setiap saat dan ketika. Di dalam hadith lain disebutkan seseorang iman itu sering lupa bahawa sesuatu yang cakapkannya boleh menjerumuskannya ke dalam neraka selama 40 tahun. Ingatlah sehari di akhirat bersamaan dengan 1,000 tahun kiraan waktu dunia. Di dalam hadith lain disebutkan pula bahawa,jika tiada sesuatu yang memanfaatkan kepada kita dan kepada orang lain kita cakapkan sesuatu, lebih baiklah kita tutup mulut kita dan jangan berkata-kata. Kerana besar keburukan akibatnya kita bercakap bohong, berdusta, atau mendustakan orang orang, atau memfitnah orang lain kerana berkata sesuatu yang kita sendiri tak tahu dan kita punya mengiyakan sesuatu yang bohong atau batil, atau kita mencaci hamun, perbuatan yang menghakis segala pahala amalan. Atau, kita mengaibkan orang lain atau kita membocorkan rahsia peribadi orang lain. Atau, kita menjatuhkan imej atau marwah atau kedudukan orang lain dengan membukakan rahsianya. Orang iman itu disuruh bercakap benar, baik, merahsiakan keburukan saudaranya sesama Islam, malah disuruh hebahkan kebaikan seseorang itu, walaupun sedikit. Kita orang iman ditegah memperkecilkan orang lain, lebih-lebih lagi menghina orang lain.

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment