Saturday, March 2, 2013

Ulangkagi: Keutamaan kedua ibubapa


Assalamualaikum,
Saudara, oleh kerana utamanya kedua ibubapa kita itu dalam usaha kita mencari keridhaan Allah (a.w) yakni sejayaaan dan kesejahteraan akhirat, mulai dari post ini dan dalam beberapa post yg akan datang kita teliti balik nas dan dalil al-Quran dan as-Sunnah mengenai perintah Allah (a.w) ini. Perintah Allah (a.w) mengenai mentaati serta berbuat baik kepada dan terhadap kedua ibubapa ini adalah sebahagian daripada pra-syarat mematuhi perintah induk Allah (a.w) pada Ayat 13, Surah an-Nisa' - iaitu kalau kita taatkan Allah (a.w) (i.e. ikuti ketetapan al-Quran) dan kita taatkan Rasulallah (s.a.w) (i.e. ikuti ketetapan as-Sunnah), pasti kita mendapat ganjaran syurga di akhirat kelak. Kalau sebaliknya pula kita terkena akibat tergolong dari kalangan mereka yang disebutkan dalam Ayat 14, Surah an-Nisa' itu, yg juga merupakan ketetapan pokok dalam Islam.

Buat Baik Kepada & Mengeluarkan Kata-kata Baik terhadap Ibu Bapa
(a) Ayat 83, Surah al-Baqarah

Firman Allah (a.w): ‘Wa-iza akhadna mithaqa bani Israila la ta’budna illallaa wa-bilwalidaini ihsana, wa-zil qurba, wal-yatama, wal-maskini, wa-qulu linnasi husna, wa-aqimus solata wa-atuz-zakata ...’ (Yang bermaksud: Dan, ketika Kami (Allah (a.w))mengambil perjanjian dari Bani Israil (kaum Yahudi): ‘Janganlah kamu menyembah/sembah selain Allah (a.w) dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah (yakni, bercakaplah) kata-kata yang baik kepada manusia, ..) [Ayat 83, Surah al-Baqarah]
[Nota: Allah (a.w) perintahkan kaum Bani Israil (yakni, anak ketuturunan Nabi Yaakub (a.s), sebelum zaman Musa (a.s), supaya patuh kepada perintah Allah (a.w) iaitu: pertama, hendaklah sembah sebagai tuhan hanya Allah (a.w), tuhan yang esa; kedua, berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka; ketiga, berbuat baik kepada kaum kerabat (yakni, adik beradik, saudara mara sebelah ibu dan sebelah bapa); keempat, berbuat baik terhadap anak-anak yatim (yakni, anak-anak di bawah umur baligh yang kematian bapa atau ibu mereka, atau yang ditinggalkan oleh kedua ibubapa mereka); kelima, berbuat baik kepada orang-orang yang miskin (dengan membantu mereka); dan keenam, apakala bergaul sesama manusia, Islam ataupun tak Islam, hendaklah bercakap atau berkata-kata di kalangan manusia – siapa sahaja – dengan kata-kata yang sofan, lemah lembut dan hormat serta bercakap dengan sopan santun. Itulah sebenarnya sifat seorang yang Islam dan beriman.]
 
Bercakap dengan sopan santun dan lemah lembut
(b) Ayat 23, Surah al-Isra’

Firman Allah (a.w): 'Wa qada rabbuka alla ta’budu illal … (hingga) … waqullahuma qaulan karima ...' [Yang bermaksud: ‘Dan telah memerintahkan Tuhan kamu jangan kamu sembah (sebagai tuhan) selain Allah (a.w) [yakni, jika disembah selain dari Allah (a.w) maka syiriklah kamu dan tinggal di Neraka selama-lamanya di Akhirat kelak] dan hendaklah kamu (kepada atau terhadap) kedua-dua ibu bapa kamu berbuat baik sebaik-baiknya; dan jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sudah lanjut umur (atau tua dan dhaif) di sisi kamu, jangan sekali-kali kamu berkata-kata ‘oof’ (yakni, bercakap atau berbahasa kasar atau menggunakan kata-kata bermaksud buruk, dan keji) dan jangan kamu mengherdik (atau membentak) mereka dan bercakaplah dengan kedua-dua mereka kata-kata (atau percakapan) yang mulia (yakni, ucapan yang baik lagi sopan santun dan hormat dan lembut bahasa dengan kata-kata yang baik-baik belaka serta merendah diri)] [Ayat 23, Surah al-Isra’]
[Nota: Perintah Allah (a.w) pada Ayat sebelum ini – Ayat 83, Surah al-Baqarah – diulangi dalam ayat di atas. Allah (a.w) perintahkan: pertama, jangan jadikan sembahan atau sembah selain Allah (a.w); maksudnya jangan diangkat sebagai tuhan apa saja, yang berhak disembah manusia adalah Tuhan semesta Alam, iaitu Allah (a.w); kedua, kalau kita sembah selain Allah (a.w), maka kita syirik. Apabila syirik pasti di dalam kubur kelak mendapat siksaan dan di akhirat kelak dicampakkan ke dalam neraka tanpa dihisab, kekal di dalamnya. Dosa syirik tidak akan diampunkan oleh Allah (a.w). Maka pastilah neraka tempat akhirnya. Ketiga, anak-anak itu diwajibkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka, bukan sekadar baik tetapi sebaik-baiknya. Anak-anak wajib mematuhi perintah dan suruhan kedua ibubapanya, kecualilah mereka menyuruh berbuat maksiat, yakni melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan Allah (a.w) dalam al-Quran dan ketetapan Rasulallah (s.a.w) dalam as-Sunnah. Keempat, apakala ibu bapa sudah dhaif dan lemah, ketika tua, Allah (a.w) larangi berkata-kata kasar atau meninggikan suara atau tidak menghormati mereka atau mencemoh mereka, malah tidak dibolehkanpun menyebut kata-kata kesat spt ‘uh’pun. Kelima, hendaklah becakap dengan kedua ibu bapa dengan sopan santun, lembut, penuh hormat, takzim dan merendahkan suara dan diri dalam pergaulan dengan mereka. Itu perintah Allah (a.w). Kalau diabaikan perintah tersebut, besar dosanya di sisi Allah (a.w). Malah tidak akan diridhai oleh Allah (a.w).
Disebutkan dalam sepotong hadith seorang sahabat Nabi (s.a.w) yang merupakan seorang ahli ibadah, rajin mengerjakan solat-solat sunat, ketika dipanggil oleh ibunya, dia sedang solat sunat, tidak dijawabnya. Maka disumpah oleh ibunya supaya dikenakan fitnah. Maka difitnah orang yang dianya berzina dengan perempuan. Maka leburlah nama baiknya. Dan, fitnah tersebut hanya terhapus apakala dia memohon ampun dari ibunya. Diceritakan juga seorang anak yang kerana tidak melayani ibunya, sukar nak mati – yakni rohnya sukar nak keluar dan mengalami sakratul maut yang berlarutan, sehinggalah Rasulallah (s.a.w) menasihatkan ibunya supaya mengampuninya, barulah dia mati. Demikianlah dalam Islam betapa utamanya kedua ibubapa itu kepada anak. Adalah dosa yang amat besar, apakala anak-anak melanggar ketetapan Allah (a.w) dalam ayat ini.]
 
Merendah Diri, Menyayangi & Mendoakan Mereka
(c) Ayat 24, Surah al-Isra’
Firman Allah (a.w): ‘Wahfid lahuma jana’al zulli minal rahmati wa-qul rabbir-hamhuma kama rabbayana saghira.’ [Yang bermaksud: Dan, merendah dirilah kamu (yakni, berlemah lembut, tundukkan dirimu, perlakuanmu dan kata-katamu) terhadap kedua-duanya dengan penuh kasih sayang dan berlemah lembutlah olehmu bagi keduanya dan berkatalah (i.e. doakanlah) olehmu bagi keduanya (dengan kata-kata atau doa) ‘rabbir-hamhuma kama rabayani saghira’ (Yang bermaksud: Ya Allah ya Tuhanku! Semoga Engkau merahmati (yakni, menyayangilah olehMu akan kedua ibu bapaku sebagaimana mereka berdua mengasihi dan menyayangi daku semasa memelihara akandaku semasa kecilku).’] [Ayat 24, Surah al-Isrya’]
[Nota: dalam Ayat ini Allah (a.w) memerintahkan manusia sebagai anak hendaklah merendahkan diri terhadap kedua ibu bapa mereka, siofan dan santun ketika berhadapan dengan mereka dan ketika berurus atau bercakap atau bergaul dengan mereka. Kedua, anak-anak diwajibkan mengasihi kedua bu bapa mereka setiap masa, terutama setelah mereka dhaif dan tua dan tidak berdaya lagi. Ketiga, apabila bergaul dan bercakap dengan mereka hendaklah sofan, tertib, lembut dan merendahkan suara serta menggunakan kata-kata yang sofan lagi hormat. Keempat, hendaklah anak-anak itu berdoa untuk kesejahteraan kedua mereka di dunia dan diakhirat. Dan, kalimah doa yang penting dilafazkan oleh anak-anak ketika berdoa untuk kebajikan ibu bapa mereka adalah ‘Allahhumma rabbir-hamhuma kama rabbayana soghira’ = Ya Allah ya Tuhanku! Semoga Engkau Allah (a.w) memberi kerahmatanMu (yakni, kasih sayangMu) kepada kedua ibubapaku sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangiku ketika aku kecil dahulu.).
 
Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment