Saturday, March 2, 2013

Ulangkaji: Keutamaan kedua ibubapa (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, kita teruskan melihat rumusan apa yang telah disebutkan dalam al-Quran dan as-Sunnah mengenai tajuk yang amat penting ini - panduan bagi kita sebagai ibubapa dan panduan kepada kita sebagai anak, yang kedua ibubapa kita masih hidup.

(h) Buat Baik Kepada Ibu Bapa
(Keutamaan Amalan)

Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi (s.a.w), namanya Abdullah bin Mas’ud (r.a), katanya: ‘Telah aku tanya akan Rasulallah (s.a.w), maka kataku: ‘Ya Rasulallah (s.a.w) apakah dari segala amal itu lebih utama?’ Sabdanya ialah: ‘Solat pada awal waktunya [yakni, apabila sudah masuk waktunya dan orangpun bang (azan), kamupun solat, maka dapatlah kamu amal yang lebih utama (afdhal) telah kamu buat]’. [Kemudian bertanya Ibn Mas’ud lagi]: ‘Apakah setengah daripada amal yang lebih utama lagi kemudian daripada solat awal waktu itu, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Sabdanya: ‘Berbakti kepada kedua ibubapa.’ Berbakti kepada dua ibubapa itu lebih utama daripada solat-solat sunnat dan sedekah dan puasa (Ramadhan) dan haji dan umrah dan perang sabilillah. ‘Kemudian bertanya lagi aku [sambung Ibn Mas’ud lagi] akan Rasulallah (s.a.w), ‘Apa amal yang lebih afdhal kemudian daripada berbuat bakti kepada kedua ibubapa itu, ya Rasulallah (s.a.w)?’ Katanya: ‘Perang sabilillah (yakni, berjihad di jalan Allah (a.w)’. Kemudian daripada habis tiga pertanyaanku kepada Rasulallah (s.a.w) itu, lalu diam Rasulallah (s.a.w) daripadaku. Tiada lagi apa-apa cakapnya.’ [Hadith hasssan dan sahih at-Termidzi]
[Nota: Hadith ini menyebutkan bahawa amalan yang utama kepada orang iman adalah pertama, solat pada awal waktunya – ketika sudah diazankan solat, maka segeralah solat; kedua, berbakti kepada kedua ibu bapa; dan ketiga, berjihad pada jalan Allah (a.w). Jelaslah, berbakti kepada kedua ibubapa itu lebih utama daripada berjihad. Dalam suatu hadith di sebutkan seorang sahabat yang menemui Rasulallah (s.a.w) untuk sama-sama berjihad, tetapi dia melapurkan bahawa dia ada ibubapa yang sudah tua memerlukan bantuannya, maka Rasulallah (s.a.w) mengecualikannya dari berjihad dan menyuruh dia tinggal bersama mereka dan menjaga mereka.]

(i) Taatkan Ibu Bapa

Diriwayatkan daripada (seorang sahabat Nabi (s.a.w) (yang masyhor alimnya serta penulis wahyu Rasulallah (s.a.w) Abdullah bin ‘Amru bin ‘As (r.a) hadith daripada Nabi (s.a.w) sabdanya: ‘Bahawa keridaan Allah (a.w) itu pada [yakni terletak di atas] keridaan bapanya (dan ibunya). Maka apabila suka hati (yakni, rida) bapa (dan ibunya) itu dengan sebab (anaknya) menurut apa kemahuannya dan perintahnya, nescaya rida Tuhan (a.w), maka reda Tuhan (a.w) itu memasukkan [anak-anak] ke dalam Syurga. Dan murka Allah (a.w) itu atas kemarahan bapanya (dan ibunya). Maka apabila marah bapa (dan ibu) itu terhadap anaknya (dengan sebab tidak menurut kehendaknya dan suruhannya yang diizin Allah (a.w), yakni yang tidak bertentangan dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah) nescaya murka Allah Taala, maka (kerana itu) dimasukkan anak itu ke dalam Neraka. ‘Barangsiapa berpagi ia anak yang disukai oleh ibubapanya, nescaya berpagi ia dua pintu Syurga terbuka untuk dia masuk ke dalamnya, dan berpetang ia anak yang disukai oleh ibubapanya, nescaya ketika petang terbuka dua pintu Syurga untuk dia memasukinya; dan jika dia anak yang disukai oleh seorang daripada keduanya, nescaya terbuka satu pintu Syurga, walaupun ibubapanya itu zalim sekalipun [diulangi oleh Rasulallah (s.a.w) tiga kali ungkapan zalim itu] terhadap mereka, ‘Dan, jika berpagi-pagi ia orang yang dimurkai oleh kedua ibubapanya, maka terbuka dua pintu Neraka untuk dia masuk, dan barangsiapa berpetang seumpama demikian itu, jadi terbuka dua pintu Neraka baginya, dan jika seorang [daripada keduanya] murka, terbuka satu pintu Neraka. [Ini pasti berlaku] walaupun kedua-dua atau seorang daripada keduanya itu zalimpun terhadap anaknya (ungkapan ini diulang Rasulallah (s.a.w) tiga kali).’ [Hadith at-Termidzi]
[Nota: hadith ini menyebutkan ketetapan Allah (a.w) bahawa keridhaanNya terletak di atas keridhaan kedua ibubapa kepada/terhadap anak.]

(j) Ketaatan Terhadap Ibubapa Itu Mutlak
(Taat kalaupun Disuruh Ceraikan Isteri)

Telah diriwayatkan hadith dari seorang sahabat Rasulallah (s.a.w) (yang juga ipar Nabi (s.a.w), seorang ulama’ yang hebat zamannya) Abdullah bin Omar bin al-Khatab (r.a) katanya: ‘Adalah bagiku seorang perempuan yang dibawah perintahku (yakni, isterinya) ialah perempuan yang kasih aku akandia dan adalah bapaku, Omar bin Al-Khatab (r.a), benci ia akan isteriku yang aku kasih akandia itu, maka disuruhnya oleh bapaku akandaku bahawa aku ceraikan dia. [Maka kata Abdullah]: ‘Maka enggan aku menceraikan isteriku itu (yakni tidak mahu menurut suruhan bapanya, hingga menjadikan hal yang demikian itu susah hatinya), maka pergi aku kepada Nabi (s.a.w) dan aku sebutkan demikian itu bagi Nabi (s.a.w), kataku: ‘Ya Rasullah (s.a.w)! Adalah bapa hamba menyuruh hamba ceraikan isteri yang hamba kasih akandia.’ Maka Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Ya Abdullah bin Omar (r.a), ceraikan olehmu akan isterimu kerana taatkan bapamu.’ [Hadith hasan lagi sahih at-Termidzi]
[Nota: Hadith ini menyebutkan betapa mutlaknya perintah kedua ibubapa itu terhadap anaknya dalam Islam, selagi perintah kedua ibubapa itu tidak melanggar ketetapan al-Quran dan as-Sunnah.]

(k) Hukum Membenci Ibubapa
(Jatuh Kafir)

Menceritakan hadith dari ‘Amru hadith dari Jaafar b Rabi’ah hadith dari ‘Irak b Malik bahawasanya dia mendengar Aba Hurairah berkata: ‘Sesungguhnya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘La targhabu ‘an abaikum, faman raghiba ‘an abihi fahua kufrun.’ (Yang bermaksud: Jangalah kamu membenci pada bapamu (dan lebih-lebih lagi ibumu), maka barangsiapa (atau sesiapa) yang membenci pada bapanya (dan ibunya), maka dia kafir (yakni, keluar dari Islam).) [Hadith Muslim, Kitab Iman]
[Nota: Hadith ini menghukum seorang anak yang membenci ibubapanya jatuh kafir secara otomatis.]

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment