Wednesday, April 3, 2013

Islam dan Amalan (Samb.)

Assalamualaikum,

Saudara, kita teruskan penelitian kita mengenai konsep atau hakikat 'kemurniaan' dalam mengamalkan agama atau dalam mematuhi ketetapan Islam berdasarkan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Sebelum saudara meneruskan melihat (atau, membaca) post ini, disyorkan atau diusulkan supaya saudara baca dan fahami terlebih dahulu dua posting sebelum yang ini. Hanya dengan cara itu saudara lebih mudah faham konsep dan hakikat 'kemurniaan dalam Islam' itu.

Jalan Lurus mendapatkan syurga

Ketetapan Allah (a.w)
Saudara, 'siratul mustaqim' itu kita pohonkan dari Allah (a.w) sekurang-kurangnya 17 kali sehari, kalaulah kita kerjakan ke-lima-lima solat fardu sehari semalam. Kalau ditambah pula dengan solat-solat sunat - seperti Solat Duha 12 rakaat sepagi dan Solat Malam (Tahajud) pula 12 rakaat - maka lebih banyaklah kita memohon diberikan atau diletakkan oleh Allah (a.w) kita di atas 'siratul mustaqim' - jalan yang lurus ke syurga di akhirat kelak. Kerana kita pohon dari Allah (a.w) dikurniakan 'siratul mustaqim' ini setiap kali kita baca Surah al-Fatihah (atau Ummul Quran). 
Firman Allah (a.w): ‘Wa-anna haza sirati mustaqima fat-tabi’uhu wa-la tat-tabi’us-subula fatafarraqa bikum ‘an sabilihi zalikum was-sakum bihi la’allakum tattaquna.’ (Yang bermaksud: Dan, sesungguhnya ini (al-Quran) adalah jalanKu yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah mengikuti beberapa jalan (selain jalan al-Quran) kerana beberapa jalan itu akan memecahbelahkan kamu sekelian dari jalan Allah (a.w), dan demikian itulah Allah (a.w) wasiatkan/perintahkan kepada kamu sekelian agar (atau moga-moga) kamu sekelian bertaqwa (i.e. takutkan Allah).) [Ayat 153, Surah al-An’am]
[Nota: Siratul mustaqim itu adalah jalan ke syurga, yang setiap umat Islam yang bersolat fardu (5 waktu sehari semalam) pohon sebanyak 17 kali itu diperjelaskan oleh Allah (a.w) dalam ayat ini. ‘Siratul mustaqim’ itu adalah al-Quran. Maksudnya ikuti al-Quran maka pasti akan ditemuinya dan akan sentiasa berada di atas jalan ke syurga tersebut. Pasti, tidak akan menyimpang atau tergelincir selagi setiap orang yang Islam itu berpandukan al-Quran (dan, as-Sunnah). Sekiranya seseorang yang Islam itu ikuti panduan dan tuntutan selain al-Quran (dan as-Sunnah) pastilah akan sesat atau menyimpang atau tergelincir dari jalan yang lurus tersebut. Dan, pastilah umat Islam itu akan berpecah belah tidak sehaluan dan tidak sejalan. Maka mereka yang berpuak-puak pula mengikuti pelbagai jalan apabila berpandukan dengan panduan lain dari al-Quran dan as-Sunnah. Mengapa as-Sunnah? Kerana, seperti yang telah diperjelaskan di atas itu, as-Sunnah diperintahkan oleh Allah (a.w) supaya umat Islam itu ikuti, kerana as-Sunnah memperincikan dan memperjelaskan ketetapan al-Quran yang concise itu. Sekiranya seseorang yang Islam itu ikuti ketetapan al-Quran, maka al-Quran akan memandunya kearah mencapai tahap ketaqwaan yang disebutkan dalam al-Quran. Disebutkan dalam al-Quran bahawa sifat ketaqwaan itu menjamin kejayaan akhirat seorang yang Islam dan beriman.
Allah (a.w) dalam firman ini memperingatkan hambaNya yang Islam dan beriman supaya ikuti hanya satu jalan, iaitu jalan al-Quran (dan as-Sunnah). Ketaqwaan serta kejayaan akhirat itu hanya tercapai melalui ketaqwaan dan panduan al-Quran (dan as-Sunnah).]

Ketetapan Rasulallah (s.a.w)
Saudara, dalam blog ini seringkali kita rujuk kepada firman Allah (a.w) pada Ayat 103, Surah ali-Imran, yang memerintahkan umat Islam supaya berjema'ah dalam Islam. Islam itu adalah mematuhi ketetapan Allah (a.w) supaya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dan dipraktikkan dalam bentuk berjema'ah. Dalam hadith ini, kita diperintahkan oleh Rasulallah (s.a.w) supaya berjema'ah dalam Islam. Kemurniaan Islam itu berjema'ah.
Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘… alaikum bil-jama’ati wa-iyakum wal-firqati …’ (Yang bermaksud: Menetapilah kamu sekelian pada jema’ah dan menjauhilah kamu sekelian pada firqah (i.e. perpecahan) [Hadith hasan sahih gharib at-Termidzi]
Saudara, dalam membincangkan hakikat berjema'ah itu, kita telahpun tahu sepotong hadith yang menyebutkan bahawa Rasulallah (s.a.w) memerintahkan umatnya yang Islam lima perkara, pertamanya, supaya berjema'ah,  kerana beliau diperintahkan oleh Allah (a.w) laksanakan 5 perkara tersebut, pertamanya supaya berjema'ah. Allah (a.w) perintahkan atas Rasulallah (s.a.w) supaya: pertama, berjema'ah, kedua, mendengar nasihat agama, ketiga, taat, keempat, berhijrah skitranya kemurniaan agama Islam itu tidak boleh dilaksanakan tanpa berhijrah; dan kelima, berjihad pada jalan Allah (a.w) dengan diri dan harta mereka.
[Nota: Dalam hadith ini Rasulallah (s.a.w) memerintahkan umatnya supaya berjema’ah, malah diwajibkan atas umatnya berjema’ah, dan ditegah umatnya supaya jangan berfirqah atau berpecah belah. Malah Allah (a.w) dalam al-Quran menyebut kerapkali melarang hambaNya jangan berfirqah atau berpecah belah. 
Diriwayatkan hadith dari Abdillah b Dinar hadith dari Ibnu Omar berkata: ‘Telah berkhutbah atas kami Omar (r.a) di tanah Jabiah, maka berkata dia (Omar): ‘Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku, berdiri aku di kalangan kamu sepertimana berdirinya Rasulallah (s.a.w) di kalangan kami (suatu masa dahlu), maka bersabda dia (Nabi): ‘’Aku wasiatkan atas kamu sekelian dengan (kehadiran) para sahabatku, kemudian orang-orang yang mendekati mereka (yakni, para tabi’in), kemudian orang-orang yang mendekati mereka (yakni, pengikut para tabi’in), kemudian tersebar luaslah dusta atau pendustaan sehingga bersumpah seorang lelaki dan tidak pula dia diminta bersumpah, dan menjadi saksi (seorang lelaki) walaupun dia tidak diminta menjadi saksi. Ingatlah janganlah menyepi (atau berkhalwat) seorang lelaki dengan seorang perempuan, kecuali ada yang ketiga dari mereka yang berdua adalah syaitan. Diwajibkan atas kamu sekelian dengan berjema’ah dan takutilah kamu akan berfirqah atau perpecahan, maka sesungguhnya syaitan itu adalah bersama-sama dengan orang yang berseorangan dan dia itu orang keduanya, lebih menjauhi dia (syaitan)(pada orang yang berjema’ah). Barangsiapa inginkan berada ditengah-tengah syurga, maka hendaklah dia menetapi jema’ah … ‘ [Hadith at-Termidzi.]
Saudara, hadith ini menyebutkan bahawa kalau seseorang yang Islam itu ingin kepastian yang dia pasti mendapat syurga - berada di tengah-tengah syurga - maka dia wajib berjema'ah dalam Islam. Di dalam hadith yang lain Rasilallah (s.a.w) memberitahu bahawa Allah (a.w) merahmati orangIslam yang berjema'ah, dan Allah (a.w) menjanjikan azab (i.e. neraka) kalau mereka berfirqah. Jelasnya, hanya dengan berjema'ah boleh mendapat syurga, dan kalau tidak pasti mendapat neraka!
Jazakallahu khairah


No comments:

Post a Comment