Wednesday, September 2, 2015

Cara mengerjakan ibadah haji dan umrah (Samb.)

Assalamualaikum,
Saudara, penulis memohon maaf kerana tertinggal perkara niat ini sebelum menulis pos yang terdahulu itu. Dalam mukddimah ini kita teliti beberapa perkara.

Cara dan Kaedah mengerjakan Haji dan Umrah

Lafaz niat haji/Umrah 

Saudara, yang wajib diingati adalah segala ritual atau proses pengabdian yang sah itu ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kenapa? Islam itu agama yang ditetapkan oleh Allah (a.w) untuk manusia yang inginkan kejayaan dunia dan akhirat. Rsulallah (s.a.w) itu diutus Allah (a.w) sebagai Rasul untuk mengajarkan manusia bagaimana mengabdikan diri kepada Allah (a.w), terutama dalam konteks aqidah dan syariah. Kerana, manusia tidak dapat berkomunikasi dengan Allah (a.w). Manusia hanya berkomunikasi dengan Utusan Allah (a.w). Rasulallah (s.a.w) diilmukan oleh Allah (a.w) - melalui wahyu dan melalui perantaraan malaikat Jibril (a.s) - bagaimana mengabdikan diri kepada Allah (a.w) menepati kehendak dan spesifikasi pengabdian yang ditetapkan oleh Allah (a.w).
Sehubungan itu, tidak ada sesuatu perlakuan atau perbuatan atau pertuturan yang melibatkan ibadah dan amalan yang boleh dipreskripsikan oleh manusia,, kecuali atas dasar ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Maka dengan itulah dalam konteks niat, Rasulallah (s.a.w) memberitahu dan mengejarkan kita. Apa-apa ajaran para ulama' yang berbeza dengan ketetapan as-Sunnah adalah batil. Sebab? Ulama' tidak mendapat mandat untuk membuat ketetapan tentang aqidah dan syariah. Hanya Rasulallah (s.a.w) yang diberi haq. Dan, Allah (a.w) memberitahu kita bahawa Rasulallah (s.a.w) itu adalah 'uswatun hasanah' - contoh atau model ikutan terbauk bagi orang Iman.
Dalam Islam Lafaz niat tidak dizahirkan, kecualilah dalam dua ibadah, iaitu berwudu’ dan dalam ibadah umrah dan haji, yang wajib dilafazkan. Kita diwajibkan menyebut kalimahBismillahketika memulakan wuduk. Dan, Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa lafaz haji dan umrah itu hanyalah kalimah-kalimah berikut. Jika kita lafazkan niat yang berlainan dari yang ditetapkan oleh Rasulallah (s.a.w) maka trbatallah ibadah haji dan umrah kita.
Setelah memakai ikhram di Miqat, mengerjakan solat sunat dua rakaat, kemudian selepas berdo’a maka melafazkan niat haji/umrah; 
Lafaz Niat haji – ‘Labbaika Allahumma Hajjan’ (Aku datang kepadaMu ya Allah ya Tuhanku untuk mengerjakan ibadah haji) 
Lafaz Niat Umrah – ‘Labbaika Allahumma Umratan’ (Aku datang kepadaMu ya Allah ya Tuhanku untuk mengerjakan ibadah umrah) 
Kita boleh menghajikan orang lain – sama ada masih hidup terhalang untuk menunaikannya sendiri, atau orang yang berwasiat supaya kita mengerjakan haji untuknya jika dia tidak berkesempatan dalam hidupnya, dan kepada saudara Islam lain yang meninggal sebelum sempat mengerjakannya. Lafaz niat jika kita menghajikan orang lain:
Diriwayatkan hadith dari Said b Jubairin hadith dari Ibnu Abbas (r.a) sesungguhnya Nabi (s.a.w) mendengar seorang lelaki berkata: ‘Labaika ‘an Syubrumah.’ (Yang bermaksud: Aku datang kepadaMu ya Allah dari/kerana Syubrumah’) (i.e niat haji).’ Maka bersabda Nabi (s.a.w): ‘Siapa Syubrumah?’ Berkata (lelaki): ‘Saudaraku’ atau ‘Kerabatku’. Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Adakah sudah haji engkau atas diri engkau?’ Berkata (lelaki): ‘Belum.’ Bersabda Nabi (s.a.w): ‘Hajikanlah dari dirimu (dahulu), kemudian hajikanlah dari (i.e untuk) Syubrumah.’ - Hadith Abu Daud, Kitab Manasik. 
Islam membolehkan kita menghajikan orang lain. Tapi, hendaklah kita trlebih dahulu hajikan diri kita sendiri. Orang yang menghajikan orang lain – sama ada yang dihajikan itu masih hidup atau sudah meninggal – yang dihajikan mendapat pahala haji dan yang menghajikannya juga mendapat pahala haji.

Memakai Ikhram dan Berniat di Miqat 

Rasulallah (s.a.w) memberitahu bahawa do'a orang yang memakai ikhram – setelah meniatkan haji atau umrahnya – dikabulkan Allah (a.w).
Diriwayatkan hadith dari ibnu Abbas (r.a) bahawasanya Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Ketika memakai ikhram salah seorang kamu maka diaminkan (oleh Allah (a.w)) atas do’a orang yang berdo’a (i.e. dikabulkan) ketika berkata (i.e. berdo’a) dia: ‘Allahumaghfirli’ maka berfirman Allah (a.w): ‘Amin’, dan jangan melaknat haiwan dan jangan melaknat beberapa manusia, sesungguhnya doa orang yang berikhram mustajab (i.e. dikabulkan), dan sesiapa yang sengaja berdoa untuk orang-orang mukmin lelaki dan perempuan (lain) dikabulkan bagi mereka.’ - Hadith riwayat ad-Dalami dalam Kanzil Umal. 
Nota: Kalimah ‘Amin’ dalam Islam bermaksud: ‘Semoga dikabulkan Allah (a.w)’. Dan, apabila Allah (a.w) yang menyebut ‘Amin’ pastilah maksudnya ‘Aku (Allah (a.w)) kabulkan’.

Miqat untuk berikhram 

Saudara, proses Haji dan Umrah itu bermula berikhram dan melafazkan niat Ikhram di Miqat. Bagi kita yang terbang ke Mekah, Miqat adalah di Ya Lam Lam - yang akan diumumkan oleh juruterbang atau pramugara - bila. 
Diriwayatkan hadith dari Ibni Abbas (r.a): ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) membuat (i.e. menetapkan) tempat miqat untuk ahli Madinah di Zulhulaifah dan ahli Syam di Juhfah dan ahli Yaman di Ya-lam-lam dan ahli Najd di Qarnan (i.e. Qarnu Manazil) dan miqat untuk mereka bagi orang yang datang atas tempat-tempat tersebut dari selain ahlinya (ahli Mekah), sehingga sungguh-sungguh ahli Mekah berpakaian ikhram darinya (i.e. Mekah) (maksudnya di Bir Ali – Kerana Rasulallah (s.a.w) menyuruh Aisyah (r.ah) bermiqat di sana ketika hendak mengerjakan umrah selepas bersih dari haidnya). - Hadith Bukhari. 
[Nota: ‘Miqat’ tempat mengenakan/memakai kain ikhram dan kemudian melafazkan niat haji atau umrah. Bagi jema’ah haji Malaysia miqatnya adalah di Ya Lam-lam dalam kapal terbang. Setelah memakai ikhram berniat, maka bermulalah pantang larang haji/umrah. Bagi mereka yang sudah berada di Mekah, miqatnya adalah di kediamannya, maksudnya di hotel. Untuk tujuan umrah bolehlah keluar ke Bir Ali (atau, Zulhulaifah) atau ke Jahranah atau Tanim untuk miqat umrah dan berniat umrah sambil memakai ikhram, dan meniatkan umrah.] 
Menceritakan hadith dari Zaid bin Jubairin bahawasanya dia datang kepada Abdullah bin Omar (r.a) di tempat (i.e. khemahnya), maka bertanya kepadanya: ‘Dari manakah diperbolehkan apabila mengerjakan umrah.’ Berkata (ibnu Omar): ‘Difardukan atasnya oleh Rasulallah (s.a.w) (miqat) bagi ahli Najad di Qarnan (Manazil), bagi Ahli Madinah di Zulkhulaifah (atau Bir Ali) dan ahli Syam di Juhfah.’ - Hadith Bukhari, Kitab Haji. 
Diriwayatkan hadith dari Taus hadith dari Ibnu Abbas (r.a) bahawasanya Nabi (s.a.w) menetapkan miqat ahli Madinah di Zulkhulaifah dan ahli Syam di Juhfah dan ahli Yaman di Ya-lamlam dan ahli Najad di Qarnan (Manazil) maka dengannya baginya dan bagi barangsiapa yang datang atasnya dari selainnya yang melalui tempat itu berkehendakkan mengerjakan haji dan umrah. Bagi orang yang lebih dekat dari tempat itu, maka berikhram di rumahnya masing-masing (i.e. dihotel/kediaman). Dan, barangsiapa selain itu, maka mulailah ikhramnya dari mana dia berada, seperti orang Mekah dari Mekah (seperti Tan-‘im).’ - Hadith Bukhari. 
Nota: Bagi jema'ah Haji yang datang dari Malaysia, miqatnya adalah ketika melintas Ya Lam Lam (ketika itu kita dalam kapalterbang). Bagi kita yang datang awal, hendaklah memakai Ikhram ketika di Malaysia dan hanya melafazkan niat ketika diberitahu kita telah melepasi Ya Lam Lam untuk berniat Umrah sahaja. Kalau keadan di mana akan sampai waktu Wukuf dalam beberapa hari lagi, maka kita berniat Haji di Ya Lam Lam kerana mngerjakan Haji Ifrad. Jika masih lama msanya untu Wukuf, maka kita hanya berniat untuk Umrah. Dan, kemudian setelah mengerjakan Umrah, kita berehat menunggu 9 Zulhijjah untuk pergi ke Arafah, untuk Wukuf. Miqat kita adalah di hotel/rumah tumpangan kita. Pada pagi 9 Zulhijjah, mandi junub/hadth besar, memakai ikhram, seterusnya mengerjakan solat sunat ikhram dan melafazkan nit Haji, dan kemudian berlepas ke Arafah 
Kita bertolak waktu pagi supaya sampai ke Arafah sebelum masuk waktu Zohor, untuk Wukuf, kerana waktu Wukuf itu bermula pada waktu Zohor (atau, ketuka tergelincir matahari) dan berakhir ketika masuk waktu Maghrib. 
Bagi mereka yang mampu ingi mengerjakan Haji Masian(i.e. Haji dengan berjalan kaki), bolehlah bermula berjalan dari Mekah ke Arafah sambil membaca Talbiyah.

Jazakallahu khairah

1 comment:

  1. Hajj is an annual religious pilgrimage to Mecca undertaken each year by 2-3 million people. The approximate dates for the 2017 Hajj are August 30 to September 4..
    If You are From Muslim Community of United Kingdom and wants to perform Hajj or Umrah then you can choose our
    Cheap Hajj & Umrah Packages 2017

    ReplyDelete