Thursday, September 3, 2015

Amalan terbaik dalam bulan Zulhijjah

Assalamualaikum,
Saudara, kita tengok sebentar dalam pos ini tajuk di atas. Kita tau bahawa amalan utama dalam bulan Zulhijjah adalah mengerjakan haji bagi mereka yang belum berhaji dan jika mereka mampu. Balasan ibadah haji yang sempurna adalah mendapat syurga jika kita yang mengerjakan haji menepati as-Sunnah maka terhakis segala dosa kita dan kita kembali dalam keadaan fitrah - seumpama ketika dilahirkan oleh ibu kita dahulu. Kedua, adalah ibadah Solat Aidil Adha,pada pagi 10 Zulhijjah; ketiga, adalah menyembelih kurban/qurban(ibadah kurban/qurban) - sama ada seekor unta atau lembu atau kibas/kambing selepas Aidil Adha atau pada 11 dan 12 Zulhijjah; dan keempat adalah berpuasa sehari pada 9 Zulhijjah - iaitu hari umat Islam yang mengerjakan ibadah Haji Wukuf di Arafah. Orang yang sedang mengerjakan ibadah haji dilarang berpuasa pada hari itu.
Saudara, ibadah menyembelih kurban itu amat utama dan amat disukai oleh Allah (a.w). Allah (a.w) menguji Nabi Ibrahim (a.s) dalam mimpinya bahawa Allah (a.w) memerintahkannya untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail (a.s). Ketika hendak menyembelihnya Allah (a.w) tukarkan dengan seekor kibas yang besar. Inilah permulaannya syiar kurban dalam Islam. Kemudian secara resminya Allah (a.w) perintahkan Rasulallah (s.a.w) supaya mengerjakan Solat Aidil Adha dan menyembelih kurban ketika turunnya Surah al-Kauthar.

Peringatan yang sering diremehkan
(Ketetapan Surah al-Kauthar) 

(-)  Solat Aidil Adha
(-)  Menyembelih qurban
(-)  Akibat menolak as-Sunnah

Saudara, syariat menyembelih kurban itu serta syariat bersolat Solat Aidil Adha itu bermula dengan turunnya Surah al-Kauthar di bawah ini. Allah (a.w) mengurniakan Telaga al-Kauthar kepada Rasulallah (s.a.w) di akhirat kelak. Sesiapa yang diiktiraf umat beliau, diberi laluan oleh malaikat yang menjaga minum airnya, ketika berhimpun dalam keadaan yang amat panaslagi dahaga di padang makhsyar menunggu diserahkan Kitab Catatan Amalan kita. Sesiapa yang minum airnya tidak akan terasa haus ketika berhimpun di Padang Makhsyar selama 50,000 tahun untuk menerima Kitab Catatan Amalan masing-masing.
Telah berfirman Allah (a.w) dalam al-Quran: ‘Sesungguhnya Kami (Allah (a.w)) memberi kepadamu (yakni, Muhammad (s.a.w)) telaga al-Kauthar @ Maka solatlah kamu kepada Tuhanmu dan menyembelihlah kamu (yakni, berqurbanlah) @ Sesungguhnya orang yang benci terhadapmu (yakni, tidak mahu mendengar, atau menerima dan mematuhi ajaranmu (Nabi Muhammad (s.a.w)) dia (yakni, orang itu) terputus kebaikkannya (dari Allah (a.w) dan terputus darimu (yakni, tidak menjadi umatmu)).’ [Surah al-Kauthar, Ayat 1 hingga 3] 
Saudara, perhatikan mesej dalam ayat terakhir surah ini - Ayat ke-3 - yang menyatakan sesiapa yang membenci Nabi Muhammad (s.a.w) terputus dari sebarang kebaikan. Apa dia 'putus kebaikan' yang dimaksudkan?
Sesiapa yang tidak Islam, sesiapa yang yang meninggalkan suatu ketetapan tentang yang wajib dikerjakan dan telahpun diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) apa yang boleh dan dibolehkan dan apa yang ditegah dan tidak dibolehkan, tapi dilanggar atau dibuat, maksudnya engkar atau diengkari. Antara keengkaran yang nyata dalam Islam adalah membuat bida'ah atau mengamalkan bida'ah kerana Rasulallah (s.a.w) menegah umatnya mengamalkan bida'ah. Dia memberitahu setiap pembaharuan dalam agama i.e. menyentuh syariat Islam adalah bida'ah dan setiap bida'ah adalah kesesatan; dan setiap kesesatan yang dilakukan menempatkan pelakunya dalam neraka. Amalan dan ibadah yang dicemari oleh bida'ah tidak diterima Allah (a.w). 
Panduannya jelas dalam sabda Rasulallah (s.a.w): ' Man 'amala 'amilan laisa amruna fahua raddun' (Yang bermaksud: Barangsiapa atau sesiapa yang mengamalkan suatu amalan yang tidak didatangkan dari aku (maksudnya, tiada dalam as-Sunnah) maka amalan itu ditolak) oleh Allah (a.w)) - al-Hadith. Maksudnya tidak diterima Allah (a.w). Malah dalam hadith lain disebutkan bahawa sesorang yang melakukan atau mengamalkan bida'ah - sama ada secara sedar atau dalam kejahilan - kesemua amalannya - yang fardhu maupun yang sunat - tidak diterima Allah (a.w) dan dia, tanpa dia sedari sendiri, TERKELUAR dari Islam! Wal iya zubillah.

Besarnya ganjaran pahala menyembelih qurban

Saudara, mesej dalam Surah di atas itu memberitahu ketetapan Allah (a.w) iatu mana-mana umat Islam yang amalkan bida'ah (setelah diberitahu oleh Rasulallah (s.a.w) tidak dibolehkan atau ditegah lakukan), adalah orang yang tidak diiktiraf oleh malaikat sebagai umat Muhammad (s.a.w) kelak di akhirat. Maka tidak diberikan laluan minum air al-Kauthar. Oleh itu waspadalah. Jangan ikut cakap-cakap ulama' dan tok-tok guru dalam kejahilan. Ilmu yang haq atau benar itu adalah al-Quran dan as-Sunnah. Ijtihad 'kepimpinan' Islam atau ulama' hanyalah benar jika ada sandaran nas dan dalil as-Sunnah!
Diriwayatkan hadith dari Aisyah (r.ah) (berkata dia): ‘Bahawasanya Rasulallah (s.a.w) telah bersabda: ‘Tidak beramal anak Adam dari amalan pada hari menyembelih (yakni, hari raya Qurban) yang lebih menyenangkan pada Allah (a.w) (yakni, disukai oleh Allah (a.w)) daripada mengalirkan darah (yakni, menyembelih Qurban). Sesungguhnya (sesiapa yang) berqurban nescaya pada hari Qiamat dimana tanduknya dan bulunya dan kukunya (ternakan qurban itu menjadi saksi), dan sesungguhnya sebelum jatuh darahnya (ke bumi) nescaya daripada Allah (a.w) (mendapat ganjaran pahala), maka bersenanglah (yakni, bergembiralah) sekelian kamu dengan Qurban bagi dirinya.’ [Hadith sahih at-Termidzi] 
Menyebut tentang Qurban itu, di zaman Nabi (s.a.w) ada para sahabat yang ragu-ragu atau kurang jelas mengenai amalan tersebut.  Mereka bertanya kepada Rasulallah (s.a.w) untuk mendapatkan penjelasan.  Misalnya seorang sahabat bernama Zaid bin Arqam telah meriwayatkan satu hadith tentang pertanyaan tersebut. Maka Rasulallah (s.a.w) menjelaskan dalam urusan kurban itu, maka pahalanya disebutkan dalam hadith berikut. Jumlah pahala yang didapati.
Diriwayatkan hadith daripada Zahid bin Arqam (r.a) berkata dia: ‘Berkata seorang sahabat Rasulallah (s.a.w) kepadanya (yakni, bertanya): ‘Ya, Rasulallah (s.a.w), apakah ini beberapa Qurban?’  Menjawab Rasulallah (s.a.w): ‘Telah disunatkan oleh bapa kamu sekelian, Nabi Ibrahim (a.s)’. Maka berkata sahabat lagi: ‘Maka apakah bagi kami (i.e. apakah pahalanya) dalam Qurban, ya Rasulallah (s.a.w)?’  Maka dijawab Rasulallah (s.a.w): ‘Dengan tiap-tiap sehelai rambut (yakni, bulu binatang Qurban itu) satu kebaikan (yakni, pahala dari Allah (a.w)’. Bertanya lagi sahabat tersebut: ‘Maka bagaimana pula dengan bulu-bulu halusnya, ya Rasulallah (s.a.w)?’  Dijawab oleh Rasulallah (s.a.w): ‘Tiap-tiap satu rambut dari bulu halusnya satu kebaikan.’  [Hadith sahih Ibnu Majjah] 
Hadith di atas menyebutkan begitu banyaknya pahala yang diberi ganjaran oleh Allah (a.w) kepada mereka yang mengerjakan Qurban itu. Pahala yang didapatinya adalah sebanyak bulu-bulu binatang Qurban itu – kesemua bulunya termasuk bulu-bulu yang halus – setiap satu mendapat atau memberikan pahala oleh Allah (a.w) kepada mereka yang berkorban! 
Di dalam sepotong hadith berikut pula dijelaskan lagi betapa besarnya pahala orang yang menyebelih qurban pada 10 Zulhijjah itu. Lebih besar dari pahala orang berhjihad. Kalaulah orang berjihad pada jalan Allah (a.w) mendapat syurga ditempakan bersama-sama dengan para nabi dan rasul dalam syurga Firdaus, apatah lagi mereka yang benar-benar ikhlas dan murni menyembelih kurban!
Saudara, dalam hadith berikut Rasulallah (s.a.w) memberitahu pahala menyembelih qurban itu hanya ditandingi oleh pahala yang didapati oleh orang yang berjihad kerana berperang fi sabilillah yang membawa kesemua harta miliknya, dan akhirnya dia terbunuh dan kesemua hartanya habis.
Diriwayatkan hadith dari said b Khubairin hadith dari Ibnu Abbas (r.a) berkata: Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Tidak ada dari beberapa hari, yakni hari kesepuluh (bulan Zulhijjah) yang di dalamnya (ada amalan) yang lebih disukai Allah (a.w).’ Berkata mereka (para sahabat): Wahai Rasulallah (s.a.w)! Tidak berjihad fi sabilillah (i.e. membela ugama Allah (a.w))?’ Bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Dan tidak juga berjihad fi sabilillah.’ (Kemudian Rasulallah (s.a.w) menyambung sabdanya): ‘Kecuali seorang lelaki (yang berjihad itu) keluar dengan dirinya dan hartanya, maka tidak kembali dia dari demikian (jihad) dengan sesuatupun.’ (Yakni, lelaki yang berjihad dengan diri dan hartanya itu habis hartanya dan mati dia dalam jihad tersebut. Orang sedemikian itu mendapat pahala yang dapat mengatasi amalan pada 10 Zulhijjah itu.).’ [Hadith Abu Daud]
Saudara, ramai orang Islam yang mengerjakan kurban hilang pahala kurbannya kerana menyembelihnya secara tidak murni, apakala dibaca kalimah-kalimah yang tidakpun dicontohkan oleh Rasulallah (s.a.w). Bacaan kalimah tambahan seperti berselawat, atayu membaca 'Basamalah' atau menyebutkan lain-lain kalimah ketika menyembelih. Yang wajib dibaca hanyalah 'Bismillah, Allahu Akbar, dan qurban itu untuk siapa? ini adalah bentuk-bentuk bida'ah - mengada-adakan sesuatu yang tiada tuntuan dalam Islam berdasarkan as-Sunnah.
Diriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdullah (r.a.) berkata dia: ‘Telah datang kami atas Rasulallah (s.a.w) semasa (Aidil) Adha pada tempat bersolat, maka ketika selesai Nabi (s.a.w) pada kutbahnya maka turun dari mimbarnya dan diberikan seekor kambing (kibas) maka menyembelih Rasulallah (s.a.w) dengan tangannya sendiri dengan menyebut: ‘Bismillah, Wallahu Akbar’ atas ini Qurban dariku dan dari orang-orang yang belum menyembelih Qurban dari umatku’. [Hadith sahih Abu Daud] 
Saudara, bagi sesiapa yang mnegerjakan ibadah kurban itu, mereka ditegah memotong rambut atau memotong kuku dan membuat bulu di tubuh mulai 1 Zulhijjah hinggalah selesan penyebelihan haiwan kurban milik kita. 

Puasa Hari Arafah 

Saudara, suatu lagi amalan yang digalakkan Islam berdasarkan sunnah Rasulallah (s.a.w) adalah berpuasa sunat sehari pada Hari Wukuf iaitu 9 Zulhijjah. Dengan hanya berpuasa sehari, kita mendapat pahala dan menghakis pula dosa kita setahun sevelum Hari Wukuf itu dan setahun selepas Hari Wukuf itu pula. Begitulah pemurahnya Allah (a.w) kepada kita hambaNya mengerjakan suatu amalan yang mudah namun tidak remeh, menghasilkan dividen akhirat yang amat besar. 
Diriwayatkan sepotong hadith dari Abi Qatadah (r.a), katanya: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Puasa pada Hari Arafah, sesungguhnya mencari pahala aku pada Allah (a.w) agar menghapus dosa (oleh Allah (a.w)) setahun yang sebelum Hari Arafah dan setahun sesudah Hari Arafah.’ [Hadith sahih riwayat at-Termizi]
Saudara, hadith ini memberitahu kepada kita besarnya pahala berpuasa sehari pada 9 Zulhijjah (hari Jema'ah haji Wukuf di Arafah), iaitu terhapus dosa setahun sebelum hari Arafah tahun ini dan setahun pula selepas hari Arafah tahun ini. Begitu banyaklah dosa yang terhakis - yang disengaja, yang tidak disenagaja, yang diketahui dan yang tidak diketahui dllnya. Mengapakah kita tak ambil peluang ini?

Jazakallahu khairah

No comments:

Post a Comment